SN533 – GST VS SST: Kutipan Tidak Patuh Syariah

Bil: SN533 – 23 Ramadhan 1439 / 8 Jun 2018

SN533 - GST vs SST: Kutipan Tidak Patuh Syariah

Selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH), antara manifesto yang menjadi tumpuan adalah pengha­pusan GST dan pengenalan semula SST. Cukai Ba­rangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan oleh kerajaan BN pada kadar 6 % menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Kini, kerajaan PH telah mengumumkan kadar 0% GST bermula 1 Jun 2018, sedikit berbeza dari penghapusan GST yang dijanjikan sebelumnya, dengan harapan ia akan dapat mengurangkan beban rakyat meskipun langkah ini akan mengurangkan kadar pendapatan cukai negara. Pada masa yang sama, kadar hutang negara dikatakan telah mencecah RM 1 trillion. Bagi mengurangkan hutang ini ada ura-ura untuk menyenaraikan syarikat Petronas dalam Saham Terbitan Awam (IPO). Dengan penjualan minimum 25% saham Petronas (syarat minimum untuk penyenaraian), setidaknya kerajaan dapat memperoleh sehingga RM 200 billion. Ura-ura ini telah mengundang pel­bagai kritikan dari kalangan ahli ekonomi dan rakyat secara umumnya.

Segala isu ini timbul kerana cukai dan hutang berkait rapat dengan pendapatan dan pengeluaran negara dalam menguruskan hal ehwal rakyat. Cukai merupakan amalan sistem Kapitalisme dalam menjana pendapatan negara manakala berhutang adalah bagaikan satu “kewajiban” dalam rangka membangunkan negara. SN kali ini akan membincangkan perspektif Islam dalam persoalan pen­dapatan dan perbelanjaan negara.

Cukai Dalam Perspektif Islam

Cukai secara umum termasuk dalam kategori yang disebut­kan sebagai maks yang diharamkan oleh Islam seperti yang diungkapkan dalam hadis:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ صَاحِبُ مَكْسٍ

Tidak akan masuk syurga para pengutip cukai” [HR. Abu Daud, Ahmad dan Ad-Darimi].

Menurut Imam Ahmad dan Ibn Ishaq, sâhib maksin adalah orang yang memungut ‘usyr (kutipan nisbah per sepuluh).  Di sini ‘usyr adalah maks, jamaknya mukûs, iaitu cukai. Cukai yang dikenakan merupakan kezaliman terhadap harta milik individu, yang memerlukan kerelaan dan keredaannya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang beriman adalah bersaudara, tidak halal bagi seorangpun mengambil harta saudaranya melain­kan dengan kerelaannya” [HR. Bukhari dan Muslim].

Namun begitu, terdapat beberapa jenis kutipan khusus yang dikira sebagai cukai tetapi berdasarkan pada kewajiban dan keizinan syariat. Kutipan tersebut dikategorikan sebagai jizyah, ‘usyr, kharaj dan dharibah.

Jizyah adalah kutipan khusus yang dikenakan terhadap kafir zimmi (orang kafir yang menjadi rakyat Negara Islam) ber­dasarkan dalil Surah al-Taubah ayat 29. Kutipan ini adalah hak yang Allah SWT berikan kepada kaum Muslimin daripada orang-orang kafir sebagai tanda bahawa mereka tunduk kepada kekuasaan Islam dan negara wajib melindungi jiwa dan harta mereka [Abdul Qadim Zallum, Al-Amwal fi Daulah al-Khilafah].

‘Usyr pula mempunyai beberapa maksud bergantung pada konteks penggunaannya termasuklah cukai maks. ‘Usyr yang dikategorikan sebagai kutipan cukai yang diizinkan adalah bayaran yang dikenakan terhadap dagangan ahlul harbi (perdagangan rakyat negara kafir) sebagai balasan setimpal terhadap pungutan mereka kepada pedagang Muslim. Se­bagai tambahan, ‘usyr juga dikenakan kepada kafir zimmi jika terdapat klausa tersebut dalam perjanjian zimmah antara mereka dan negara. Dalilnya adalah ijmak (kesepakatan) sahabat ketika zaman Umar al-Khattab RA. [An-Nabahani, Nizham al-Iqtishad fi al-Islam].

Bagi kharaj, Syeikh Abdul Qadim Zallum mendefinisikannya sebagai hak umat Islam ke atas tanah yang diperoleh (dan menjadi bahagian dari ghanimah) daripada orang kafir baik melalui peperangan mahupun perjanjian damai [Al-Amwal fi Daulah al-Khilafah]. Bayarannya dikenakan pada tanah yang dikategorikan sebagai tanah kharajiyah, iaitu tanah yang dibuka dan dibebaskan dengan ekspedisi jihad. Tanah ter­sebut tetap diserahkan kepada pemilik asalnya, tidak dibahagi-bahagikan dan status tanah kharajiyah tetap berlaku walau­pun penduduknya kemudian memeluk agama Islam [An-Nabhani, al-Syakhsiyah al-Islamiyah, jilid 2]. Dalilnya adalah surah al-Hasyr ayat 7 hingga 10 dan dari kesepakatan sahabat pada zaman Umar RA.

Kategori terakhir adalah dharibah dan ia merupakan kutipan yang dikenakan negara terhadap rakyat dalam rangka menampung kekosongan Baitul Mal. Dharibah tidak dikenakan sesuka hati tetapi wajib memenuhi beberapa syarat iaitu; 1) bersifat sementara; 2) dipungut daripada umat Islam sahaja; 3) dipungut dari Muslim yang kaya; 4) untuk menampung perbelanjaan yang asalnya merupakan satu kewajiban ke atas kaum Muslimin seperti perbelanjaan untuk jihad dan yang perkara yang terkait dengannya, perbelanjaan untuk fakir-miskin-ibnu sabil, gaji para penjawat awam, bencana alam dan keperluan darurat; 5) dipungut pada kadar yang diperlukan sahaja [Al-Waie, Mei 2005]. Dharibah ini hanya dikutip ketika dana Baitul Mal telah habis dibelanjakan oleh negara dalam menjalankan tanggungjawabnya sehingga tidak mencukupi untuk menampung salah satu atau be­berapa kewajiban seperti yang disebutkan. Dalil dalam mengenakan dharibah ini diambil dari keumuman hadis;

“Tidak boleh mencelakakan orang lain dan tidak boleh mencelakakan diri sendiri” [HR Ibn Majah dan Ahmad].

Ada yang berhujah bahawa GST atau SST atau pelbagai macam cukai yang lain dalam sistem Kapitalisme dibenarkan syarak atas alasan kemaslahatan negara bahkan ada yang menganggapnya sebagai jihad harta.

Mereka yang beranggapan sebegini mendasarkan pandangan mereka kepada dalil mengenai jizyah, kharaj, ‘usyur bahkan dharibah. Perlu diketahui, sebagaimana yang dijelaskan sebelumnya, hukum asal cukai termasuk maks adalah di­haramkan oleh Allah SWT, sedangkan jizyah, kharaj, ‘usyur dan dharibah adalah kutipan khusus yang langsung tidak ada kaitannya dengan kutipan cukai yang dijalankan dalam sistem Kapitalisme. Bayaran tambahan selain zakat yang di­wajibkan atau diizinkan syarak hanyalah empat perkara ter­sebut, tiada yang lain. GST atau SST atau cukai-cukai lain dalam sistem hari ini tidak boleh dianalogkan dengan empat kategori cukai yang dibenarkan dalam Islam. Alasan maslahat yang digunakan adalah sangat subjektif bahkan tanggapan bahawa cukai hari ini adalah satu bentuk jihad harta tersasar jauh dari permasalahan sebenarnya!

Pendapatan Negara Dalam Kacamata Islam

Pendapatan dan sumber kewangan Negara Islam terdiri daripada zakat, fa’i (anfal, ghanimah, khumus), kharaj, jizyah, pengelolaan harta milik umum, harta negara, harta tidak sah dan terlarang, harta orang murtad, ‘usyur, seperlima rikaz, harta tanpa waris, dan dharibah. Jika dikelaskan, pendapatan tetap adalah daripada zakat (hanya untuk lapan asnaf), jizyah, kharaj dan harta negara. Harta milik umum adalah tanggung­jawab negara dari sudut pengelolaan sahaja bukan kepemilikan. Oleh itu, harta galian seperti petroleum adalah merupakan harta milik umum dan tidak boleh diswastakan kepada pihak tertentu. Hasil dari harta ini mesti dikembalikan keuntungannya kepada warganegara dalam menjaga ke­maslahatan mereka. Negara juga tidak boleh memiliki harta ini secara mutlak tetapi harus bertindak sebagai pengelola semata-mata. Penyenaraian Petronas dalam bursa saham se­bagai contoh, hanya akan menjadikan keuntungan hasil galian berlegar secara eksklusif buat pemegang saham. Ini sudah tentu menyalahi hukum harta awam dalam Islam, apatah lagi mengambil kira permasalahan saham secara syar’i. Disebabkan penerapan sistem Kapitalisme, sistem percukaian merupakan tonggak asas perekonomian negara. Jika suatu cukai dimansuhkan atau dikurangkan, maka pendapatan negara akan merosot dan pelbagai cara lain, dalam rangka sistem Kapitalisme, perlu dicari bagi menampung kekurangan ini. Maka muncullah idea untuk memperdagangkan harta milik negara atau milik umum di mana pelbagai bentuk kepemilikan dapat diswastakan, atau diniagakan kepada pihak luar. Ini adalah suatu yang sangat bertentangan dengan Islam.

Selama mana sistem Kapitalisme masih diterapkan, selama itu­lah kita tidak akan terlepas dari kerangka berfikir yang men­jadi­kan cukai sebagai sumber pendapatan terbesar negara. Hakikatnya, negara mampu menjana pendapatan dari pelbagai sumber lain seperti petroleum dan hasil semulajadi lainnya sekiranya ia dikelola secara syar’i. Ini belum lagi mengambil kira sumber manusia negara yang sekiranya digarap dengan cara yang benar dan efektif akan dapat me­lahirkan masyarakat yang kreatif, progresif dan berdaya saing tinggi.  Cara berfikir dalam pengelolaan ekonomi negara harus diubah. Sekiranya negara benar-benar inginkan kesejahteraan untuk rakyat, perekonomian harus dikembalikan kepada syariat Islam – dengan fokus terhadap pengagihan kekayaan dan bukannya semata-mata peningkatan produksi barangan. Setiap keperluan asas warganegara mesti dipenuhi dengan pengagihan harta yang efektif dan efisien. Dalam pada masa yang sama, negara juga harus menyediakan peluang bagi rakyat untuk meraih keperluan sekunder dan menikmati kualiti kehidupan yang tinggi. Islam telah menyediakan kerangka kenegaraan yang membolehkan umat mencapai taraf berfikir dan kehidupan yang tinggi. Ini hanya akan dapat dicapai sekiranya Islam diterapkan secara menyeluruh di bawah Negara Khilafah atas jalan kenabian, insyaAllah. Wallahu a’lam.


KOLUM TSAQAFAH

Perang Ahzab Meniti Kemenangan Hakiki

Perang Ahzab (Khalil, Atlas of the Qur’an)

Setiap tahun umat Islam akan mengumandangkan kalimah  takbir, tahlil dan tahmid seiring dengan berakhirnya bulan suci Ramadhan dan datangnya 1 Syawal 1432 H.  Laungan ini sesungguhnya merupa­kan ungkapan kemenangan yang diraih umat Islam setelah menjalankan ibadah shaum di bulan Ramadhan.  Ramai umat Islam merasa telah layak diberi gelaran takwa dan meraih ke­menangan setelah melaksanakan shaum sebulan penuh. Pernahkah kita tanyakan kepada diri sendiri,  adakah shaum kita telah ber­jaya?  Apa ukuran ke­jayaannya? Rasulullah SAW dan para sahabat telah melalui sembilan kali Ramadhan dengan penuh keber­samaan.  Sungguh, mereka telah melewati bulan Ramadhan dengan pelbagai macam peristiwa yang dapat dijadikan contoh pengorbanan dan penyerahan diri kepada Allah SWT.

Menelusuri sejarah, lantunan takbir selalu dikuman­dangkan ketika kaum Muslimin meraih kemenangan. Inilah takbir yang dikumandangkan pertama kali saat Perang Ahzab yang mana kaum Muslimin yang hanya berjumlah 3000 orang ber­hadapan dengan tentera pakatan (Ahzab) kafir Quraisy beserta beberapa kabilah Yahudi dan Arab di sekitar Makkah berjumlah 10000 orang. Allah SWT mengabadikan kisah perang ini dalam al-Quran menunjukan perihal penting dan banyaknya pelajaran yang dapat diambil dari kisah perang Ahzab. Perang ini juga membezakan sifat dan keadaan kaum yang beriman [Al-Ahzab:33] dengan kaum munafik [Al-Ahzab:12]. Bagaimana kekhawatiran dalam jiwa orang munafik, dan sifat pengecut serta tidak adanya keyakinan kepada Allah ta’la ketika datang ujian. Bahkan, selain berusaha untuk meminta izin kepada Rasulullah untuk pulang ke rumah mereka –dengan alasan rumah mereka kosong, terbuka untuk musuh- mereka juga berusaha memaksa dan  dan memprovokasi kaum Muslimin untuk mengikuti mereka. Hal ini tidak lain karena ketakutan mereka terhadap kematian.

Maha Perkasa Allah yang telah menurunkan ribut pada malam itu yang telah memecah dan memporak-porandakan barisan musuh dan segala kelengkapan serta peralatan mereka. Kaum kafir telah berjaya dikalahkan se­mata-mata dengan kekuatan dan pertolongan Allah yang Maha Esa. Inilah di antara janji Allah kepada kaum Muslimin iaitu kemenangan kepada mereka yang me­nolong agamaNya. Kuat mana sekalipun go­longan yang menentang agama Allah, sesungguhnya amat mudah bagi Allah untuk menghancurkan mereka. Firman Allah SWT, ”Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu me­nolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguh­kan kedudukanmu” [TMQ Muhammad (47):7].

Adakah kita telah benar-benar berusaha untuk menegakkan agama Allah? Marilah kita tunduk dengan penuh kerendahan hati, berdoa agar diberikan taufiq dan hidayah.

Download PDF