SN666 – Ibrah Rejab (Siri 2) Refleksi Israk Mikraj 1446H
Bil: SN666 (PDF/Print) – 2 Sha’aban 1446 / 1 Februari 2025
Bulan Rejab baru sahaja meninggalkan kita. Sepanjang bulan tersebut, pelbagai aktiviti keagamaan telah diadakan seperti ceramah, tadarus Al-Quran, serta pelaksanaan amalan-amalan sunnah. Selain dianggap sebagai bulan persediaan bagi menghadapi Ramadan, bulan Rejab turut dikenali dengan peristiwa agung Israk dan Mikraj—perjalanan luar biasa Rasulullah SAW dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis, sebelum diangkat ke langit dengan izin Allah SWT.
Peristiwa ini sering ditafsirkan sebagai suatu mukjizat yang penuh dengan hikmah dan motivasi bagi umat Islam untuk meningkatkan amal ibadah serta memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT. Namun, di sebalik keagungan peristiwa ini, terdapat satu ibrah yang besar dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW untuk menegakkan Daulah Islam. Israk dan Mikraj bukan sekadar mukjizat, malah menjadi pemangkin kepada fasa baharu dalam perjuangan dakwah Baginda.
Israk Mikraj: Titik Anjakan dalam Dakwah Rasulullah SAW
Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku dalam situasi getir bagi Rasulullah SAW. Baginda baru sahaja kehilangan dua insan terpenting dalam hidupnya—Saidatina Khadijah RA, isteri yang menjadi pendukung utama dakwahnya, serta Abu Talib, bapa saudara yang selama ini menjadi pelindungnya. Dalam keadaan kesedihan dan tekanan yang mendalam, ancaman kaum Quraisy terhadap Baginda dan para sahabat semakin memuncak. Kekejaman yang menimpa umat Islam semakin dahsyat, manakala ruang dakwah di Mekah menjadi semakin sempit. Pada saat genting inilah Allah SWT mengurniakan Israk dan Mikraj, yang bukan sahaja merupakan mukjizat tetapi juga satu isyarat bahawa perjuangan Rasulullah SAW akan memasuki fasa baru. Peristiwa ini menggemparkan kota Mekah—kaum Quraisy dikejutkan dengan pengakuan Rasulullah SAW bahawa Baginda telah diperjalankan ke Baitul Maqdis dan diangkat ke langit dalam satu malam. Kejadian ini menjadi bahan perdebatan hangat di kalangan penduduk Mekah, mengalihkan perhatian mereka seketika daripada terus menekan umat Islam.
Dalam tempoh ini, Rasulullah SAW menggunakan ruang yang ada untuk merangka strategi dakwah baharu yang akhirnya membawa kepada perintah berhijrah ke Madinah. Di sana, Islam bukan sahaja berkembang pesat, malah sebuah negara yang berlandaskan syariah Islam telah berjaya ditubuhkan. Kemuncaknya, Daulah Islam yang dibina oleh Rasulullah SAW ini berkembang sehingga menjadi sebuah kuasa dunia yang memberikan rahmat kepada sekalian alam selama lebih 1400 tahun.
Kejatuhan Daulah Islam dan Implikasinya terhadap Dunia Islam
Namun, dengan takdir Allah SWT, pemerintahan Islam yang telah menaungi umatnya selama lebih satu alaf akhirnya diruntuhkan pada 28 Rejab 1342H (3 Mac 1924). Kejatuhan ini bukan sekadar menandakan kehilangan sebuah pemerintahan, tetapi turut membawa perubahan besar dalam hala tuju umat Islam secara keseluruhan.
Kuasa kuffar mengambil kesempatan untuk mengukuhkan pengaruh mereka dalam dunia Islam. Wilayah-wilayah Islam yang dahulunya bersatu di bawah satu pemerintahan mula dipecah-pecahkan menjadi negara-negara bangsa yang berasingan. Dengan berakhirnya Khilafah, hegemoni dunia beralih kepada kuasa Barat yang bukan sahaja mengawal politik dan ekonomi dunia, tetapi juga memaksakan sistem kehidupan sekular ke atas umat Islam.
Sejak itu, penderitaan umat Islam tidak pernah surut. Dari Palestin hingga ke Kashmir, dari Syria hingga ke Arakan, kita menyaksikan bagaimana umat Islam terus ditindas, dijajah, dan dinafikan hak mereka. Kejatuhan Khilafah membuka ruang kepada kuasa kuffar untuk melaksanakan penjajahan dalam pelbagai bentuk—bukan sekadar penjajahan fizikal, tetapi juga penjajahan pemikiran dan budaya.
Kesan Kejatuhan Khilafah terhadap Nusantara
Tanah Melayu tidak terkecuali daripada kesan kejatuhan Khilafah. Hakikatnya, penjajahan Barat telah lama bertapak di wilayah ini, dengan British memainkan peranan utama dalam mencorak hala tuju sistem pemerintahan dan kehidupan masyarakat Melayu. Seawal Perjanjian Pangkor 1874, British telah memperkenalkan sistem Residen di Perak, yang menjadi titik tolak kepada penghakisan peranan Islam dalam sistem pemerintahan. Perjanjian tersebut menetapkan bahawa Sultan Perak, Raja Abdullah, hanya boleh menaiki takhta dengan syarat menerima seorang Residen British. Ini menandakan bermulanya campur tangan langsung penjajah dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu.
Setelah berjaya mengukuhkan kedudukan mereka, British melaksanakan perubahan besar dalam aspek pemerintahan, ekonomi, dan pendidikan di Tanah Melayu. Sistem perundangan berteraskan Islam digantikan dengan sistem sekular, manakala ekonomi negeri-negeri Melayu diorientasikan kepada kepentingan British, terutamanya dalam sektor perlombongan dan perdagangan.
Menjelang kemerdekaan Tanah Melayu, British sedar bahawa mereka tidak akan dapat mengekalkan penjajahan fizikal untuk selama-lamanya. Justeru, mereka menyiapkan satu generasi Melayu yang akan mempertahankan sistem sekular yang ditinggalkan. Salah satu strategi utama yang digunakan adalah melalui sistem pendidikan. Laporan Barnes 1951, yang diluluskan oleh Kerajaan Kolonial British, adalah antara contoh bagaimana pendidikan di Tanah Melayu disusun semula bagi memastikan kesinambungan pengaruh penjajah. Walaupun Laporan Razak 1956 kemudian diperkenalkan bagi menyatukan kaum dalam satu sistem pendidikan nasional, hakikatnya sistem yang diwarisi masih berakar umbi kepada falsafah pendidikan sekular Barat.
Realiti Semasa dan Kesannya terhadap Masyarakat Melayu
Selepas lebih enam dekad merdeka, masyarakat Melayu masih terperangkap dalam kesan warisan sistem yang ditinggalkan oleh penjajah. Golongan elit Melayu yang mempertahankan sistem ini bukan sekadar kerana mereka mengagungkan penjajah, tetapi juga kerana kepentingan peribadi yang mereka peroleh.
Sebaliknya, rakyat terus bergelut dengan pelbagai tekanan kehidupan—kenaikan kos sara hidup, pengangguran, gejala sosial, rasuah, penyelewengan dana awam, serta penyalahgunaan kuasa yang seolah-olah tiada penghujung. Walaupun kerajaan dan pemimpin bertukar ganti, keadaan rakyat tetap tidak berubah. Ironinya, permasalahan ini bukan sekadar berpunca daripada individu atau parti politik tertentu, tetapi lebih kepada sistem yang diterapkan hari ini. Sistem pemerintahan demokrasi dan ekonomi kapitalis saling berkaitan, membuka ruang kepada eksploitasi politik dan kepentingan peribadi dalam kalangan pemimpin.
Namun, masih ramai yang berpegang kepada sistem ini, sedangkan dalam Islam, pemerintahan demokrasi bertentangan dengan kehendak syariah. Allah SWT berfirman:
“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah” [TMQ Al-An’am: 57]
“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada thaghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu.” [TMQ An-Nisaa’: 60]
Berhakim kepada thaghut bermaksud berhukum dengan selain hukum Allah SWT, dan selama umat Islam terus mempertahankan sistem ini, mereka akan terus berada dalam kemelut tanpa penyelesaian.
Kesimpulan
Sebagaimana peristiwa Israk dan Mikraj menjadi pemangkin kepada perubahan besar dalam perjuangan Rasulullah SAW untuk menegakkan Daulah Islam, begitu juga kaum Muslimin di Tanah Melayu perlu melakukan anjakan pemikiran. Mereka harus menyedari bahawa penyelesaian kepada segala masalah yang mereka hadapi hanya boleh dicapai dengan kembali kepada Islam secara menyeluruh. Keimanan, keberanian dan pengorbanan diperlukan untuk merealisasikan perubahan ini. Dengan mengambil inspirasi daripada perjuangan Rasulullah SAW dan para pahlawan Melayu Muslim silam, kaum Muslimin di dunia Melayu khususnya, dan umat Islam secara umumnya, perlu bangkit sebagai pejuang yang gagah dan bertaqwa dalam menegakkan agama Allah SWT, menjadikan Islam sebagai satu-satunya sistem kehidupan yang sempurna dan membawa rahmat kepada seluruh alam.