SN683 – Mengungkap Kedatangan Trump: Ilusi Sebuah Diplomasi

Bil: SN682 (PDF/Print) – 15 Jamadilawwal 1447 / 6 November 2025

Di sebalik pelbagai bantahan terhadap keputusan kerajaan menjemput Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ke Malaysia, beliau akhirnya tiba di negara ini pada 25 Oktober yang lalu. Ketibaan Presiden AS itu disambut dengan penuh meriah oleh pihak kerajaan. Sebagai langkah keselamatan, beberapa jalan utama di ibu kota ditutup bagi memberi laluan kepada konvoi rasmi Trump. Dalam masa yang sama, pelbagai persembahan kebudayaan seperti tarian tradisional dan nyanyian turut dipersembahkan bagi meraikan kedatangan beliau serta para pemimpin ASEAN yang lain. Langkah ini bertujuan menonjolkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang mesra, harmoni, dan kaya dengan budaya ketika menyambut tetamu kehormat.

        Bagi pihak kerajaan dan para penyokong parti pemerintah, kedatangan Donald Trump sememangnya tidak dapat dielakkan kerana ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN. Malah, lawatan Trump baru-baru ini dikatakan telah membawa kesan positif terhadap hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat. Antara hasil yang diperoleh ialah pengecualian tarif terhadap lebih 1,700 jenis barangan keluaran Malaysia yang dieksport ke Amerika Syarikat. Langkah ini dianggap sebagai timbal balas terhadap kemudahan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada syarikat-syarikat Amerika Syarikat dalam mendapatkan bekalan logam nadir bumi dari Malaysia. Selain aspek ekonomi, terdapat juga pandangan bahawa lawatan tersebut memberikan peluang penting kepada Malaysia untuk menyuarakan pendirian tegas terhadap Trump berhubung tindakan kerajaan Amerika ke atas umat Islam di Gaza.

        Walau apa pun alasan yang dikemukakan, hujah yang menyatakan bahawa jemputan ini merupakan tanggungjawab Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN hanyalah retorik politik bagi mengabsahkan keputusan-keputusan Perdana Menteri (PMX). Hakikatnya, sebagai Pengerusi ASEAN, inilah sebenarnya masa terbaik untuk Malaysia memimpin usaha rantau ini dalam menentang hegemoni AS yang selama ini sering mempergunakan sekatan tarif dan dasar ekonomi berat sebelah terhadap negara-negara ASEAN. Pendekatan yang lebih berprinsip dan berani amat diperlukan bagi memastikan ASEAN tidak terus menjadi mangsa dominasi ekonomi dan geopolitik kuasa besar tersebut – bukannya tunduk dan memberikan kelebihan besar kepada AS yang kini lebih memerlukan pasaran ASEAN untuk mengekalkan daya saingnya dalam menghadapi kebangkitan ekonomi China.

        Agak mengecewakan apabila Perdana Menteri (PMX) memperlihatkan dua wajah politik yang bertentangan. Dalam satu masa, beliau tampil bersama aktivis Sumud Flotilla mengecam kekejaman rejim Zionis di hadapan khalayak ramai, namun dalam masa yang sama beliau dilihat menyambut dengan penuh mesra kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump — tokoh yang sering dianggap sebagai penyokong utama rejim Zionis — sebaik sahaja beliau turun dari pesawat Air Force One. Walaupun PMX dikatakan telah menyampaikan mesej tegas kepada Trump berhubung peranan dan penglibatan Amerika Syarikat dalam konflik Gaza semasa lawatan tersebut, tindakan itu kelihatan tidak lebih daripada usaha simbolik semata-mata. Ia seolah-olah seperti mencurah air di atas daun keladi — tidak membawa sebarang kesan nyata terhadap dasar luar AS mahupun terhadap nasib umat Islam di Gaza.

        Hakikatnya, PMX sendiri sedar bahawa sebarang teguran atau desakan dari Malaysia tidak akan mengubah pendirian strategik Amerika Syarikat yang terus mempertahankan kepentingan entiti haram Yahudi Zionis di Timur Tengah. Dalam konteks ini, tindakan beliau dilihat lebih sebagai usaha mengekalkan keseimbangan imej politik — antara memenuhi tuntutan moral dan solidariti umat Islam di satu pihak, serta menjaga hubungan diplomatik dengan kuasa besar di pihak yang lain

        Umat Islam telah banyak berjuang melalui berbagai cara menentang apa yang AS lakukan ke atas kaum Muslimin di Gaza, namun pada masa yang sama Kerajaan Malaysia meraikan kedatangan pengganas no. 1 dunia itu dengan penuh kebesaran! Sebagai negara pengganas no.1 dunia, AS memainkan peranan secara langsung menyokong Israel membunuh umat Islam di Gaza. Ini telah terbukti dengan kenyataan para pemimpin Amerika sendiri yang secara terang-terangan menyokong entiti haram Yahudi atas dasar mempertahankan diri dari para pejuang Hamas yang dianggap sebagai pengganas. Bukan sekadar janji dan kata-kata, bahkan Amerika telah membekalkan senjata dan anggota untuk memastikan keselamatan entiti haram itu terjamin. Contohnya di dalam satu laporan,  Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Biden dan Trump telah memperuntukkan sekurang-kurangnya USD21.7 Billion dalam bentuk bantuan ketenteraan kepada entiti haram tersebut sejak dua tahun lepas [https://www.military.com/daily-news/2025/10/07/us-has-given-least-217-billion-military-aid-israel-war-gaza-began-report-says.html]. Bahkan, banyak lagi kenyataan daripada para pemimpin AS sebelum ini yang menyatakan sokongan mereka terhadap kekejaman rejim Zionis ke atas umat Islam Gaza – kononnya atas dasar mempertahankan diri.  Hakikatnya, Amerika Syarikat secara konsisten memainkan peranan langsung dalam menyokong rejim Zionis Yahudi, baik dari segi diplomatik mahupun ketenteraan.

        Sokongan berterusan ini membuktikan bahawa Amerika Syarikat bukan sekadar sekutu entiti haram itu, bahkan merupakan pelindung utama rejim tersebut di peringkat global. Oleh itu, tindakan Malaysia meraikan kehadiran pemimpin AS amatlah bercanggah dengan sentimen dan perjuangan umat Islam yang menentang kekejaman Zionis. Ia sekali gus menimbulkan persoalan tentang sejauh mana PMX benar-benar berpegang pada prinsip solidariti kemanusiaan dan keadilan sejagat dalam dasar luarnya terhadap isu Palestin.

        Apa yang berlaku sebenarnya membuktikan bahawa PMX  telah tunduk kepada kehendak dan tekanan Amerika Syarikat (AS). Segala bentuk sambutan, diplomasi, serta naratif positif yang digambarkan melalui perjanjian perdagangan dua hala yang nyata berat sebelah itu hanyalah alasan untuk menutup realiti sebenar di sebalik tindakan tersebut.

Pandangan Islam

        Umum mengetahui dengan jelas siapakah Donald Trump sebenarnya dan negara yang beliau wakili. Amerika Syarikat (AS) adalah negara yang secara terang-terangan terlibat dalam tindakan memusuhi, menzalimi serta membunuh umat Islam di berbagai wilayah, khususnya di Gaza dan Timur Tengah. Justeru, amat tidak wajar bagi umat Islam — apatah lagi sesebuah negara kaum Muslimin — untuk menjadikan AS sebagai rakan, sama ada dalam konteks politik mahupun perdagangan.

        Pandangan Islam terhadap hubungan antarabangsa meletakkan nas syarak sebagai paksi dalam membuat keputusan. Dalam konteks hubungan antara negara, Islam meletakkan garis panduan khusus tentang bagaimana sebuah Negara Islam harus berinteraksi dengan negara-negara lain, bergantung kepada status dan sikap negara tersebut terhadap Islam dan umatnya.

Allah SWT telah berfirman yang membawa maksud:

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang belaku zalim maka (kalau kamu lakukan yang demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebaga kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” [TMQ Al Hud : 113]

Di dalam ayat yang lain Allah berfirman:

 “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil teman kepercayaan dari orang-orang di luar kalangan (agama)-mu (karena) mereka tidak henti-hentinya (mendatangkan) kemudaratan bagimu. Mereka menginginkan apa yang menyusahkanmu. Sungguh, telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang mereka sembunyikan dalam hati lebih besar” [TMQ Al Imran (3):118].

Imam Al-Qurtubi dalam Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an menjelaskan:

“Larangan ini mencakupi semua bentuk kecenderungan, baik dengan perbuatan, perkataan, mahupun hati, seperti memuji kezaliman, menghadiri majlis mereka, atau bersahabat dengan mereka”.

        Hari ini, para pemimpin kaum Muslimin langsung tidak menyandarkan keputusan mereka dalam aspek hubungan antarabangsa kepada hukum syarak sedangkan sebagai pemimpin yang beragama Islam, mereka sebenarnya tetap terikat dengan hukum-hukum ini. Dosa akibat bersekongkol dengan kezaliman amatlah besar dari dalil-dalil di atas. Walaupun seseorang itu tidak melakukan kezaliman secara langsung, keterlibatan, sokongan, atau simpati terhadap pihak yang menzalimi tetap menjadikan individu tersebut turut menanggung dosa  kezaliman.

Kesimpulan

        Amerika Syarikat jelas merupakan musuh utama umat Islam. Pemimpin dan pemikir AS menyedari bahawa hanya umat Islam yang bersatu dan kuat berpotensi menyaingi hegemoninya serta menghalang penguasaan mereka terhadap kekayaan bumi umat Islam. Justeru, mereka berusaha sedaya upaya memastikan umat Islam terus berpecah, bersengketa, dan lemah, supaya Amerika bebas mengekalkan dominasi tanpa halangan.

        Kejahatan dan kekuatan Amerika bukanlah mutlak. Sekiranya dihitung jumlah umat Islam beserta potensi sumber, kelengkapan, dan kemampuan mereka, umat Islam sebenarnya jauh lebih besar dan berdaya saing. Namun, kelemahan umat Islam hari ini — akibat perpecahan, persengketaan dalaman, dan kepimpinan yang lemah — menjadikan Amerika kelihatan kuat, berani, dan sukar ditandingi. Keadaan ini melemahkan umat Islam dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan, teknologi dan politik.

        Sekiranya seluruh umat Islam bersatu di bawah satu kepimpinan yang berwibawa, seperti sistem Khilafah, umat Islam tidak perlu lagi bergantung kepada kuasa asing, terutamanya Amerika Syarikat. Dalam konteks ini, pendirian yang jelas adalah: tolak Trump, tolak Amerika. Solidariti dan kesatuan kaum Muslimin adalah kunci untuk mengembalikan kekuatan, martabat, dan kedaulatan umat Islam.