SN686 – Ulangtahun Ke-3 Kerajaan Madani: Realiti Kegagalan Reformasi

Bil: SN686 (PDF/Print) – 2 Rejab 1447 / 22 Disember 2025

Sudah menjadi kebiasaan, Kerajaan yang memerintah akan meraikan ulangtahun pemerintahan mereka setelah memenangi pilihanraya sebelumnya. Terbaru, Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 telah diadakan sempena menyambut ulangtahun pemerintahan Kerajaan Madani pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim atau PMX sejak berjaya membentuk kerajaan selepas pilihanraya umum yang lepas. Pilihan raya umum yang membawa kepada pembentukan Kerajaan Madani pada November 2022 dianggap sebagai titik perubahan besar dalam sejarah politik Malaysia. Pakatan Harapan (PH), yang sebelum itu pernah menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum 2018, kembali memimpin negara dengan mandat rakyat yang mahukan perubahan — khususnya reformasi ke atas struktur dan tatakelola pentadbiran negara.

Kerajaan Madani dikatakan membawa nama yang mencerminkan janji untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih adil, progresif, dan berintegriti. Walaupun pada awal pemerintahan, beberapa dasar asas seperti Ekonomi Madani dan beberapa langkah pemulihan pasca-pandemik dilihat sebagai usaha positif, namun tiga tahun telah berlalu dan apa yang dilihat hanyalah jurang yang ketara antara harapan reformasi dan realiti pelaksanaannya.

Pertama: Reformasi Institusi Awam

Salah satu janji utama Kerajaan Madani ialah melakukan reformasi menyeluruh terhadap institusi-institusi penting seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar ketelusan, kebebasan, dan profesionalisme dapat diperkukuhkan. Namun, meskipun ada kenyataan kabinet bahawa badan-badan penguatkuasa termasuk SPRM dan PDRM telah berjaya mencapai kejayaan yang diharapkan, tiada bukti jelas menunjukkan bahawa kemandirian institusi-institusi tersebut telah diperkukuh secara signifikan. Kerajaan sendiri mengakui bahawa ketirisan dan kelemahan penguatkuasaan sebelum ini bercambah kerana kurangnya tekad politik dan kelemahan sistem penguatkuasaan [https://www.pmo.gov.my/wp-content/uploads/Ucapan-Belanjawan-2026-Full.pdf].

Walaupun ada usaha menangani rasuah melalui tindakan penguatkuasaan dan operasi tertentu, persepsi rakyat tentang amalan ‘pilih bulu’  dan politik dalam proses penguatkuasaan dan pendakwaan masih kekal tinggi. Data Indeks Persepsi Rasuah Malaysia oleh Transparency International mencatat Malaysia berada di kedudukan ke 57 di dunia yang menunjukkan bahawa persepsi korupsi masih menjadi isu utama [https://www.mili.eu/my/insights/malaysian-budget-2026].

Kesemua ini mencerminkan bahawa walaupun ada usaha di peringkat permulaan, Reformasi Institusi Awam dilihat tetap gagal dan tidak menyentuh akar permasalahan — ini seharusnya menjadi fokus utama PMX yang mendakwa jentera pimpinannya berteraskan nilai integriti dan profesionalisme.

Kedua: Ekonomi dan Kos Sara Hidup

Satu lagi janji PMX adalah menangani isu kos sara hidup yang semakin membelenggu rakyat, terutamanya yang melibatkan golongan B40. Walaupun statistik rasmi menunjukkan inflasi rendah di sekitar 1%–1.8%, angka ini tidak menggambarkan pengalaman sebenar ramai rakyat yang merasakan harga barang dan perbelanjaan harian semakin membebankan [https://www.malaymail.com/news/malaysia/2025/04/29/malaysia-records-slower-inflation-rise-at-18pc-in-2024-dosm-credits-subsidies-and-ringgit-recovery/174923].

Menurut laporan antarabangsa dan penyelidikan, kos sara hidup sebenar di Malaysia, terutama  yang melibatkan keperluan asas seperti makanan, rumah sewa, pengangkutan dan pendidikan, terus meningkat bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Sebagai contoh, kajian PBB di Malaysia mencatatkan tekanan yang lebih berat terhadap keluarga berpendapatan rendah akibat peningkatan kos makanan dan perbelanjaan asas lain – yang sering mengakibatkan aspek nutrisi, pendidikan dan kesihatan keluarga diabaikan [https://malaysia.un.org/en/273736-living-edge-increased-cost-living-adds-pressure-low-income-urban-families]

Di samping itu, masih banyak isu yang mendasari struktur ekonomi — seperti kekurangan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, kurangnya sokongan sosial, dan ketidakseimbangan upah berbanding kos — masih kurang disentuh secara efektif. Rakyat juga merasakan peningkatan gaji minimum tidak seiring dengan lonjakan kos kehidupan harian, sekaligus menimbulkan rasa tidak puas hati yang meluas dalam kalangan pekerja dan isi rumah. [https://www.mili.eu/my/insights/malaysian-budget-2026].

Ketiga: Isu Sosial

Salah satu usaha Kerajaan Madani adalah untuk melahirkan Masyarakat Madani yang mementingkan nilai dan akhlak sebagai pembinaan tamadun. Namun, berdasarkan kepada statistik dan laporan terkini, aspirasi ini masih jauh dari target agenda reformasi dan masih belum ada tanda-tanda yang mengarah kepada pembaikan sosial hakiki.  Paling membimbangkan ialah gejala sosial yang semakin meruncing — contohnya isu kelahiran anak luar nikah dan tingkah laku sosial yang dianggap meruntuhkan nilai tradisional masyarakat. Antara 2020 hingga 2024, hampir 17,000 remaja perempuan yang tidak berkahwin telah direkodkan hamil, menunjukkan peningkatan gejala sosial dari kalangan generasi muda [https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/hampir-17%2C000-remaja-hamil-luar-nikah-sepanjang-2020-2024]. Sukar untuk menafikan bahawa ketidakstabilan sosial dan salah laku remaja kini menjadi tanda tanya terhadap keberkesanan usaha-usaha reformasi di dalam polisi pendidikan, keluarga, dan masyarakat sivil dalam menghadapi cabaran moral zaman kini.

Keempat: Rasuah dan Politik Wang

Satu lagi janji utama PMX semasa kempen pilihanraya yang lepas adalah membendung budaya rasuah yang semakin berleluasa di kalangan penjawat awam. Kita sedia maklum bahawa bukan sahaja rasuah, malah budaya politik wang sudah lama menjadi duri dalam daging dalam sistem politik Malaysia. Walaupun kerajaan mendakwa telah melakukan tindakan lebih tegas terhadap individu yang terlibat dengan kegiatan rasuah, ia masih diragui setelah berlaku beberapa kes tangkapan yang melibatkan tokoh-tokoh di dalam Pakatan Harapan.

Menurut data dan tinjauan pendapat, isu ketidakpercayaan rakyat terhadap hala tuju pemerintahan semakin meruncing, dan salah satu faktor terbesar adalah rasuah dan politik wang yang masih menghantui sistem pentadbiran negara. Hampir separuh dari rakyat Malaysia percaya negara berada pada ‘laluan yang salah’, dengan korupsi dan politik wang sebagai kebimbangan utama [https://theedgemalaysia.com/node/708252].

Rasuah bukan isu yang kecil — kajian menunjukkan bahawa Malaysia mengalami kerugian besar (RM 4.6 Trilliun sepanjang 26 tahun lepas) akibat amalan rasuah yang sistemik dan jumlah ini setanding dengan ekonomi negara lain di Asia Tenggara.

[https://www.businesstoday.com.my/2023/05/10/malaysian-monetary-loss-to-corruption-and-leakages-rm4-5-trillion-over-26-years].

Sehingga kini, Kerajaan Madani tetap menyatakan iltizam dan keazaman untuk menyelesaikan isu ini, namun kata-kata tersebut terlalu kerap dilaungkan sehingga rakyat sudah hampir hilang keyakinan kepada agenda reformasi yang dibawa oleh Kerajaan Madani.

Kelima: Dasar Luar Negara dan Perjanjian ART

Dalam arena hubungan luar negara, salah satu isu yang menarik perhatian pada ketika ini adalah isu Agreement on Reciprocal Trade (ART) yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat pada Oktober 2025. Perjanjian ini dilihat dapat memberikan kestabilan perdagangan dan akses pasaran antara kedua negara [https://www.miti.gov.my/ART].

Namun, kebanyakan pengkritik menyatakan bahawa perjanjian ini boleh menimbulkan risiko terhadap kedaulatan ekonomi Malaysia dan memberikan ruang dominasi oleh negara luar, terutama apabila negara dianggap terlalu banyak ‘tunduk’ kepada AS. Kritikan ini berasaskan pandangan bahawa ART boleh memaksa Malaysia melonggarkan beberapa sekatan atau menerima syarat perdagangan yang kurang menguntungkan demi memenuhi kehendak pihak Amerika [https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2025/11/28/art-of-the-us-msia-trade-deal]. Walaupun kerajaan menafikan semua tuduhan itu, hakikatnya, isi kandungan ART menunjukkan bahawa kerajaan kurang menonjolkan pendirian sebagai sebuah negara yang berdaulat dan berpaksikan kepentingan rakyat Malaysia  — sebaliknya negara dilihat lebih banyak berkompromi.

Sudut Pandang Islam

Hakikatnya, tidak kira sama ada PMX atau mana-mana Perdana Menteri selepas ini yang memimpin negara, kegagalan untuk merealisasikan reformasi menyeluruh terhadap struktur dan operasi jentera pentadbiran kerajaan akan terus berulang. Janji Reformasi yang suatu ketika dahulu dilaungkan dengan penuh semangat dan harapan, akhirnya terbukti sekadar retorik apabila kuasa benar-benar berada di tangan. Reformasi yang dijanjikan tidak pernah menyentuh akar permasalahan, apatah lagi membawa perubahan hakiki. Rakyat terus dipujuk dengan slogan-slogan indah dan janji-janji yang sekadar dijenamakan semula dengan istilah baharu, namun realiti kehidupan seharian rakyat tetap sama — kos hidup terus menekan, ketidakadilan berleluasa, dan sistem yang pincang terus melindungi golongan elit. Inilah wajah sebenar pemerintahan yang gagal berubah; nama boleh bertukar, pemimpin boleh silih berganti, tetapi struktur lama yang menindas rakyat tetap dipertahankan.

Mengapa hal ini berlaku? Jawapannya jelas – akar permasalahan bukan semata-mata terletak pada siapa yang memimpin, tetapi pada pelaksanaan sistem demokrasi-kapitalisme yang rosak dan sarat dengan percanggahan. Sistem ini secara struktural melahirkan budaya politik berasaskan kepentingan, melindungi elit tertentu, serta membuka ruang kepada rasuah dan salah guna kuasa yang berakar umbi di sebalik prosedur yang kelihatan sah di sisi undang-undang.

Kesimpulan

Penilitian yang mendalam dan menyeluruh akan menunjukkan bahawa reformasi sebenar mustahil dicapai selagi sistem yang sama terus dipertahankan. Menukar wajah kepimpinan tanpa menukar sistem hanyalah sekadar menukar pelakon, bukan mengubah skrip yang bermasalah. Selagi kerangka asas pemerintahan tidak disentuh, kegagalan demi kegagalan akan terus berulang dalam bentuk yang berbeza. Oleh itu, perubahan hakiki hanya dapat direalisasikan melalui pelaksanaan Sistem Islam secara menyeluruh. Ini merangkumi Sistem Pemerintahan Islam, Sistem Ekonomi Islam, Sistem Penghukuman Islam, Sistem Pendidikan Islam serta sistem pergaulan yang berteraskan syariat Allah swt. Hanya dengan penerapan sistem yang bersumberkan wahyu ini, struktur dan proses pentadbiran awam dapat dibangunkan atas asas keadilan, amanah dan kebertanggungjawaban yang sebenar, sekali gus membasmi kerosakan dari akarnya, bukan sekadar merawat gejala di permukaan.