SN689 – Kolaborasi Agung Bergema Usang

Bil: SN689 (PDF/Print) – 18 Sya’ban 1447 / 6 Februari 2026

Walaupun Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 telah selesai melabuhkan tirainya beberapa minggu yang lalu, ramai yang masih tertanya-tanya apakah langkah yang akan diambil seterusnya oleh UMNO bagi memulihkan sokongan orang-orang Melayu terhadap parti tersebut. Seperti dijangka, PAU 2025 dihiasi dengan pertentangan pandangan serta sandiwara daripada kalangan pemimpin UMNO. Dalam pelbagai isu yang dibincangkan, akhirnya semuanya tenggelam dengan satu agenda besar yang diumumkan oleh Presidennya, iaitu Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi, iaitu cadangan pembentukan Kolaborasi Agung untuk menyatukan bangsa Melayu dan Islam. Kolaborasi ini dicadangkan sebagai satu strategi penyatuan orang-orang Melayu, namun ia segera mencetuskan pelbagai tafsiran — mengapa sekarang? Apakah tujuan sebenar yang ingin dicapai melalui penubuhannya? Adakah ia sekadar agenda politik semata-mata atau benar-benar bertujuan untuk menyatukan orang-orang Melayu dalam landskap politik yang semakin kompleks? Konsep penyatuan sememangnya satu idea yang baik kerana perpecahan yang berterusan hanya akan menyebabkan orang-orang Melayu terus lemah dan musuh akan lebih mudah mengambil kesempatan.

Cadangan Kolaborasi Agung yang diumumkan oleh Zahid itu juga bertujuan untuk menyatukan parti-parti politik Melayu dan Islam di bawah satu kerangka kerjasama yang lebih besar. Menurut laporan media, usul ini bertujuan menggabungkan pergerakan politik Melayu/Islam tanpa menggugat kedudukan kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (Berita Harian, 18 Januari 2026).

Umum mengetahui bahawa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dijangka akan diadakan dalam tempoh tidak sampai dua tahun dari sekarang. Berdasarkan data kajian politik dan laporan media, pada ketika ini UMNO hanya mampu menarik sekitar 28 peratus sokongan orang Melayu — satu peratusan yang tidak mencukupi untuk parti itu bergerak bersendirian dalam menghadapi PRU16. Kemerosotan sokongan Melayu tersebut sememangnya sudah dijangka berikutan kegagalan UMNO membela nasib orang-orang Melayu dalam aspek ekonomi, selain dilihat berkompromi dalam isu-isu berkaitan agama dan pendidikan. Pakatan bersama DAP juga dilihat sebagai antara faktor utama yang menimbulkan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan orang-orang Melayu.

Jika keadaan ini berterusan sehingga PRU16, sudah tentu kemungkinan besar UMNO akan kehilangan lebih banyak kerusi Parlimen, dan kedudukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga akan turut tergugat. Justeru, titik kelemahan ini sudah pasti telah dikenal pasti oleh PH yang sememangnya bercita-cita untuk kekal berkuasa bagi satu penggal lagi, sebagaimana yang pernah dinyatakan oleh Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang (Malaysiakini, 25 Mei 2025), bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli (Berita Harian, 19 Julai 2025), serta beberapa pemimpin DAP (The Edge Malaysia).

Cadangan Kolaborasi Agung yang diusulkan oleh Presiden UMNO dilihat tepat pada masanya. Namun begitu, ia juga ditafsirkan sebagai satu alat politik bagi memastikan UMNO dapat mempertahankan kerusi Parlimen sedia ada pada PRU16, di samping secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan Pakatan Harapan. Walaupun Presiden UMNO menyatakan dengan jelas bahawa penubuhan Kolaborasi Agung ini tidak mempunyai unsur politik, hakikatnya ia tetap merupakan satu bentuk kerjasama yang berpotensi digunakan untuk kepentingan politik serta survival UMNO, selain mengukuhkan kedudukan PH. Atas sebab itu, sama ada secara langsung atau tidak, PH dilihat berada di belakang penubuhan Kolaborasi Agung ini.

Perkara ini berdasarkan kenyataan Fahmi Fadzil, Ketua Penerangan PKR, yang memaklumkan bahawa hasrat UMNO untuk membentuk kerjasama tersebut telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meskipun PKR masih belum menerima jemputan rasmi melalui saluran parti. Ini menunjukkan bahawa pimpinan tertinggi kerajaan sedia maklum tentang cadangan ini dan secara prinsipnya melihatnya sebagai satu langkah konsensus dalam kerangka kerajaan perpaduan. Selain itu, laporan media turut menyatakan bahawa cadangan kolaborasi ini tidak akan menggugat kedudukan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim — malah usaha tersebut dilihat menerima sokongan secara terbuka daripada pemimpin kerajaan sendiri

Tidak kira apa juga istilah yang digunakan, agenda nasib orang-orang Melayu-Islam sering dimanipulasi oleh parti-parti politik di Malaysia untuk mencapai tujuan politik mereka sejak dahulu lagi. Walau apa jua gagasan atau pakatan Melayu-Islam yang ditubuhkan, hasilnya sering kali sama seperti gagasan-gagasan yang terdahulu. Sebagai contoh, Angkatan Perpaduan Ummah, Penyatuan Ummah, Muafakat Nasional, Gagasan Sejahtera dan pelbagai lagi inisiatif seumpamanya telah pun wujud sebelum ini. Kesemuanya mempunyai tujuan yang sama, iaitu untuk mendapatkan sokongan orang-orang Melayu. Memang benar, pada peringkat awalnya naratif Melayu-Islam sering menjadi daya penarik yang mampu membangkitkan emosi orang-orang Melayu untuk memberikan sokongan, dokongan dan harapan. Namun, apabila para pemimpin berjaya meraih kuasa dan jawatan, prinsip-prinsip Islam diketepikan, manakala kepentingan dan manfaat peribadi dijadikan keutamaan sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat sendiri dan keadaan orang-orang Melayu tetap tidak banyak berubah. Hakikatnya, rasuah, penyelewengan kuasa dan budaya fitnah terus berleluasa.  Keadaan ini bukan sahaja berlaku sekali, malah berulang-ulang kali berlaku kerana sistem sedia ada membenarkan dan menyuburkan budaya tersebut untuk terus wujud. Sistem yang dimaksudkan ialah sistem kehidupan buatan manusia yang merupakan warisan penjajah. Prinsip dan jaminan kebebasan dijadikan kata pemutus dalam hampir semua aspek kehidupan.

Penyelesaian Islam

Penyatuan yang sebenar haruslah berlandaskan gagasan daripada Yang Maha Agung, iaitu Allah SWT. Allah telah menurunkan sistem kehidupan yang sempurna demi kesejahteraan manusia. Segala ketetapan tersebut terkandung dalam Kitabullah dan As-Sunnah, serta diperincikan oleh para sahabat, tabi‘in dan para ulama yang ikhlas selepas mereka, yang berjuang menyeru kepada penegakan Daulah Islam bagi melaksanakan sistem yang agung ini.

Islam tidak mengajar penyatuan yang berasaskan kepada sesuatu kaum semata-mata, sebaliknya penyatuan yang bersifat menyeluruh, meliputi pelbagai suku, warna kulit, bangsa, bahasa dan benua. Belum pernah dalam sejarah manusia wujud sebuah tamadun yang berjaya mempersaudarakan bangsa-bangsa manusia seperti yang dilakukan oleh Islam. Hal ini demikian kerana Islam memiliki karakteristik yang mendorong serta memelihara penyatuan manusia berlandaskan mabda’, iaitu akidah dan sistem kehidupan

Bagi umat Islam, ikatan yang sebenar adalah bersandarkan kepada akidah Islam, bukannya berasaskan kaum atau bangsa tertentu. Ikatan hakiki ini memandang seluruh manusia sebagai sama di hadapan Allah SWT. Rasulullah SAW, ketika menyampaikan khutbah Haji Wada’, telah bersabda yang bermaksud:

“Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kamu adalah satu, dan bapa kamu adalah satu. Ketahuilah, tidak ada kelebihan bagi orang Arab ke atas orang bukan Arab, dan tidak ada kelebihan bagi orang yang berkulit hitam ke atas orang yang berkulit merah, kecuali dengan takwa.” [HR Ahmad, Ibn Hibban dan al-Harits]

Akidah Islam mengajarkan bahawa kewujudan pelbagai suku dan bangsa adalah untuk saling mengenal dalam kerangka Islam. Ikatan akidah ini menyatukan umat daripada setiap bangsa dalam satu saf yang sama. Tidak wujud istilah bumiputera atau pendatang dalam Islam. Kaum Muslimin bersedia dipimpin oleh sesiapa sahaja, daripada bangsa mana sekalipun, asalkan dia beragama Islam, sebagaimana yang telah tercatat sepanjang sejarah peradaban Islam yang unggul.

Penyatuan yang menyeluruh sehingga membawa rahmat kepada sekalian alam pula bermaksud seluruh masyarakat, tanpa mengira kaum dan warna kulit, diatur berlandaskan syariat Islam. Seluruh aspek kehidupan mereka telah ditetapkan oleh Allah SWT, iaitu untuk ibadah, dakwah dan jihad. Inilah bentuk penyatuan yang lahir bukan daripada persamaan bangsa, bahasa atau warna kulit, sebaliknya berpunca daripada kesedaran bahawa syariat Islam mewajibkan umat Islam menjadi ummatan wāḥidah (umat yang satu), sekali gus mengharamkan perpecahan.

Namun, untuk merealisasikan penyatuan tersebut sudah tentu bukan sesuatu yang mudah. Justeru, ia memerlukan kewujudan sebuah negara sebagai institusi penyatuan, iaitu Khilafah Islam. Selain akidah dan persamaan matlamat dalam kehidupan, penyatuan umat akan benar-benar terealisasi apabila wujudnya institusi politik Islam — Khilafah — yang berperanan menyatukan umat Islam bukan sahaja di Malaysia, malah di benua Asia, Afrika dan Eropah. Sekiranya timbul ancaman yang cuba memecah-belahkan umat, Khilafah berfungsi sebagai benteng dan perisai untuk mempertahankan kesatuan tersebut. Bahkan perbezaan pandangan juga dapat ditangani dan disatukan melalui kewujudan pendapat Khalifah, sebagaimana yang dijelaskan dalam kaedah usul: “Ra‘yu al-Imām yarfa‘u al-khilāf” (pendapat Imam/Khalifah menghilangkan perbezaan).

Kesimpulan

Apa jua gagasan atau kerjasama ke arah penyatuan umat sememangnya merupakan satu usaha yang baik. Namun, sekiranya ia hanya berlandaskan kepada kaum tertentu serta bermatlamatkan kepentingan dunia semata-mata, ia tidak akan kekal. Hakikatnya, usaha menyatukan umat Islam merupakan antara amal yang paling utama pada ketika ini, dan ia mestilah berlandaskan kepada panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya, bukan berdasarkan kepada panduan selain daripadanya. Umat Islam di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, telah terlalu lama hidup dalam keadaan berpecah-belah sehingga musuh-musuh Islam berjaya memporak-perandakan kehidupan umat Islam melalui sistem buatan manusia yang dipaksakan ke atas mereka. Keadaan ini bertambah parah apabila ketiadaan pemimpin-pimpin umat Islam, sama ada dalam kalangan ahli politik mahupun mereka yang memiliki kekuasaan, yang sanggup bangkit dengan keberanian untuk menegakkan Khilafah dan seterusnya menyatukan umat Islam. Sesungguhnya, ancaman daripada musuh-musuh Allah SWT adalah suatu kepastian. Namun, yang lebih pasti ialah pertolongan daripada Allah SWT kepada mereka yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk berusaha mengembalikan institusi Khilafah, seterusnya menyatukan umat Islam dalam satu penyatuan yang sebenar