Solat Jumaat Adalah Fardhu Ain, Kenapa Bercelaru, Dan Kenapa Ada ‘Hak Eksklusif’?

Kedudukan solat Jumaat sekarang sudah menjadi bercelaru dengan pengumuman dan keputusan daripada  Menteri Hal-Ehwal Agama dan juga pihak berkuasa agama di setiap negeri, yang berbeza-beza. Ada negeri yang membenarkan solat Jumaat dengan bilangan maksimum 12 orang, dan ada pula negeri yang membenarkan sampai 30 orang. Lebih malang, ada negeri yang masih terus menutup masjid dari solat Jumaat, walaupun negeri berkenaan sudah termasuk dalam zon hijau.

Kebanyakan negeri yang telah menetapkan siapakah 12 orang yang boleh solat, dan ada pula negeri yang telah menyatakan dengan tegas bahawa 12 orang tersebut tidak termasuk orang awam. Dengan kata lain, orang awam masih kekal tidak dibenakan solat Jumaat. Itu pun hanya beberapa masjid yang terpilih sahaja yang dibenarkan untuk berbuat demikian.

Semua kebenaran yang diberikan dan ketetapan mengenai bilangan jemaah tersebut dilakukan dengan SOP yang agak ketat.

Kita tidak persoalkan tentang SOP, kerana kita memang perlu ada SOP sebagai langkah berhati-hati dan keselamatan bagi mencegah penularan. Malangnya setelah sekian lama umat Islam menunggu SOP untuk solat Jumaat, solat berjemaah dan juga solat tarawih, keputusan yang keluar amat mengecewakan!

Para pembuat keputusan ini seolah-olah tidak mengetahui bahawa SOLAT JUMAAT ADALAH FARDHU AIN. Di mana rasionalnya membenarkan 12 orang, atau 30 orang untuk solat Jumaat, apabila kebenaran solat Jumaat diberi ‘hak eksklusif’ kepada para AJK masjid sahaja, atau kepada orang-orang tertentu sahaja, sedangkan umat Islam lainnya terus dihalang daripada menunaikan kewajipan fardhu ain tersebut!?

Selama lebih kurang dua bulan kita mendesak kerajaan untuk mengadakan SOP bagi membuka semula masjid dan membolehkan SETIAP MUSLIM mengerjakan solat Jumaat, bukannya bagi membolehkan hanya AJK masjid sahaja untuk solat. Malangnya, setelah dua bulan menunggu berita gembira, mereka membuat keputusan yang penuh celaru dan memberi ‘hak eksklusif’ solat Jumaat kepada orang-orang tertentu sahaja!

Tatkala hampir semua agensi kerajaan telah dibenarkan untuk beroperasi, tatkala hampir semua kedai pun sudah dibenarkan beroperasi, tatkala kita melihat jalan raya, pejabat-pejabat, pasar borong, restoran-restoran dan banyak lagi tempat sudah mula dipenuhi oleh orang ramai yang sudah keluar daripada ‘kurungan’ masing-masing, dan tatkala kerajaan menyuruh rakyat dan berpuas hati dengan “a new normal” yang ditunjukkan oleh rakyat dalam kehidupan seharian, tatkala itulah masjid masih terus ditutup daripada orang ramai untuk menunaikan solat Jumaat yang merupakan FARDHU AIN atas setiap individu Muslim, atas alasan mencegah penularan! Di manakah rasional semua ini?

Para pembuat keputusan ini nampaknya seperti berfikir bahawa Covid-19 hanya boleh menular di masjid-masjid sahaja, tidak di tempat lain, sehingga masjid mesti terus ditutup, atau dibuka kepada mereka yang terpilih sahaja. Lebih aneh apabila kawasan hijau pun masjidnya masih terus ditutup. La haula wa la quwwata illah billah..

Mereka ini sudah lupa bahawa masjid adalah rumah Allah, dan tidak ada siapa pun yang berhak menutup rumah-Nya kecuali Dia.

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ مَنَعَ مَسَاجِدَ اللَّهِ أَنْ يُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ وَسَعَىٰ فِي خَرَابِهَا ۚ أُولَٰئِكَ مَا كَانَ لَهُمْ أَنْ يَدْخُلُوهَا إِلَّا خَائِفِينَ ۚ لَهُمْ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menghalang-halangi menyebut nama Allah dalam masjid-masjid-Nya, dan berusaha untuk merobohkannya? Mereka itu tidak sepatutnya masuk ke dalamnya (masjid Allah), kecuali dengan rasa takut (kepada Allah). Mereka di dunia mendapat kehinaan dan di akhirat mendapat seksa yang berat” [Al-Baqarah (2): 114].

Editor.