Status Golongan Yang Tidak Berhukum Dengan Hukum Allah

altSoalan:

Dalam al-Quran terdapat celaan yang amat keras terhadap mereka yang tidak menerapkan hukum berdasarkan hukum yang diturunkan oleh Allah subhanahu wa taala. Dalam ayat 44 surah al-Maidah, mereka dicela sebagai orang kafir. Dalam ayat seterusnya, disebut sebagai orang yang zalim, dan dalam ayat ke 47 surah al-Maidah pula mereka dicela sebagai orang fasik. Bagaimanakah status ketiga-tiga sifat tersebut?

Jawapan:

Memang benar, terdapat celaan yang keras bagi mereka yang tidak menerapkan hukum selari dengan hukum Allah subhanahu wa taala. Allah subhanahu wa taala telah berfirman:

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ
“Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” (TMQ al-Maidah [5]: 44)

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
“Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim”. (TMQ al-Maidah [5]: 45)

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. (TMQ al-Maidah [5]: 47)

Ayat-ayat tersebut, meskipun diturunkan berkenaan kaum Yahudi dan Nasrani, namun tidak terhad ke atas mereka semata-mata kerana ungkapan ayat tersebut bersifat umum. Perkataan ‘man’ menunjukkan bahawa ia makna umum, dan tidak dikhususkan kepada kelompok tertentu. Sedangkan dalam kaedah yang rajih ada dinyatakan:

الْعِبْرَةُ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ
Berlakunya hukum dilihat dari keumuman lafaz, bukan pengkhususan sebab.

Oleh kerana itu ketiga-tiga ayat tersebut bersifat umum, merangkumi kesemua golongan yang tidak berhukum dengan hukum Allah subhanahu wa taala. Kesimpulan ini juga dinyatakan oleh Ibnu Mas’ud, al-Nakha’i, Ibnu Abbas, Ibrahim, al-Hasan, al-Sudi, Fakhruddin al-Razi, Ibnu ‘Athiyyah, al-Qinuji, al-Samarqandi, dan Mahmud Hijazi.
Sungguhpun bersifat umum, namun tidak bererti semua orang yang tidak memutuskan perkara dengan hukum Allah itu tergolong sebagai kafir. Penilaian secara lebih teliti perlu dilakukan agar tidak termasuk dalam perbuatan takfir (mengkafirkan) yang tidak kena pada tempatnya.

Perbuatan “berhukum dengan hukum Allah” terangkum dalam wilayah syariah. Secara syar’ie, perbuatan tersebut termasuk dalam hukum yang wajib. Ketetapan hukum ini didasarkan kepada dalil-dalil yang qat’ie (pasti, tanpa membawa sebarang maksud yang lain), sama ada ia adalah qat’ie tsubut (sumbernya yang pasti) mahupun qat’ie al-dalalah (maknanya yang pasti). Dalil-dalil sedemikian banyak dinukilkan dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Dalil-dalil yang membawa kepada kesimpulan hukum yang wajib antara lain adalah: adanya perintah yang tegas untuk berhukum dalam sesuatu perkara dengan apa yang diturunkanNya dan larangan mengikuti hawa nafsu kaum kufar (TMQ al-Maidah [5]: 48,49); kewajipan mentaati Allah Subhanahu wa taala dan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam serta mengembalikan semua perkara yang diperselisihkan kepada kedua-duanya (TMQ an-Nisa’ [4]: 59); penafian iman orang yang enggan berhukum dengan ketetapan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam (TMQ an-Nisa’ [4]: 65) ; ancaman ditimpakan fitnah atau azab pedih bagi mereka yang menyimpang daripada perintah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam (TMQ an-Nur [24]: 63) ; celaan terhadap orang yang membuat keputusan dengan berhukum kepada taghut (TMQ an-Nisa’ [4]: 60) ; dan sebahagian besar dalil-dalil yang lain. Maka adalah tidak menghairankan jika hakikat kewajipan berhukum dengan hukum Allah subhanahu wa taala ini termasuk dalam kategori “ma’lum min al-din bi al-dharurah” (perkara yang telah sedia maklum sebagai sebahagian daripada deen kerana keutamaannya).

Sebagai perkara yang termasuk dalam wilayah syariah, maka perbuatan meninggalkan kewajipan ini akan dikategorikan sebagai perbuatan yang berdosa. Sungguhpun demikian, perlanggaran tersebut tidaklah membawa kepada tergelincirnya keimanan atau status keIslaman seseorang. Perlanggaran sebegini samalah halnya seperti  memakan riba’, membunuh, mencuri, atau berzina. Sememangnya perbuatan-perbuatan  tersebut termasuk dalam kategori dosa besar. Namun, perlanggaran tersebut tidaklah mengeluarkan seseorang itu daripada agamanya. Pelakunya juga tidak sewajarnya digelar sebagai seorang murtad kerana perbuatan tersebut.

Jatuhnya kafir ataupun murtad hanya terjadi apabila seseorang itu mengingkari (ataupun menafikan) hukum-hukumNya (dari segi keyakinan). Apabila ia mengingkari wajibnya berhukum dengan syariah, maka penafian tersebut boleh menyebabkannya terkeluar daripada Islam atau dalam kata lain, ia menjadi kafir. Status kafir atau murtad yang jatuh ke atas seseorang itu bukan disebabkan oleh tindakannya tidak berhukum dengan hukum Allah (syariah), sebaliknya disebabkan oleh penafiannya terhadap sesuatu ketetapan yang telah dinukilkan dalam al-Quran dan as-Sunnah secara qat’ie. Sekiranya sudah sampai kepada tahap pengingkaran, isunya bukan lagi meliputi wilayah syariah, tetapi ia sudah memasuki perlanggaran dalam wilayah aqidah. Sedangkan perkara aqidah ini merupakan pembeza antara orang Mukmin dengan orang kafir.

Oleh kerana kewajipan menerapkan syariah itu disandarkan kepada dalil-dalil yang qat’ie (sama ada qat’ie al-tsubut atau qat’ie al-dalalah), sekiranya seseorang itu mengingkari kewajipan tersebut maka bererti ia telah mengingkari ayat-ayat tersebut. Penafian terhadap sebahagian daripada ayat-ayat al-Quran sudah cukup untuk mengeluarkan seseorang daripada keimanan. Firman Allah subhanahu wa taala:

إِنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيُرِيدُونَ أَنْ يُفَرِّقُوا بَيْنَ اللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيَقُولُونَ نُؤْمِنُ بِبَعْضٍ وَنَكْفُرُ بِبَعْضٍ وَيُرِيدُونَ أَنْ يَتَّخِذُوا بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا . أُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ حَقًّا وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُهِينًا

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan bermaksud membeza-bezakan antara (keimanan kepada) Allah dan Rasul-rasul-Nya, dengan mengatakan: “Kami beriman kepada yang sebahagian dan kami kufur terhadap sebahagian (yang lain)”, serta bermaksud (dengan perkataan itu) mengambil jalan (tengah) di antara yang demikian (iman atau kafir), merekalah orang-orang kafir yang sebenarnya. Dan Kami telah menyediakan untuk orang-orang kafir itu azab yang menghinakan.”  (TMQ al-Nisa’ [4]: 150-151)

Allah subhanahu wa taala juga berfirman:

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

“Adakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Maka tidak ada balasan bagi orang-orang yang berbuat demikian di antara kamu melainkan kenistaan dalam kehidupan di dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada azab yang paling berat. Allah tidak alpa daripada apa yang kamu kerjakan.” (TMQ al-Baqarah [2]: 85).

Demikianlah pendapat para ulama’ ketika menjelaskan makna ayat tersebut. Ibnu Abbas menyatakan:

مَنْ جَحَدَ مَا أَنْزَلَ اللهُ فَقَدْ كَفَرَ. وَمَنْ أَقَرَّ بَهَ وَلَمْ يَحْكُمْ، فَهُوَ ظَالِمٌ فَاسِقٌ

“Barangsiapa yang mengingkari apa yang diturunkan oleh Allah, sesungguhnya dia telah kafir. Dan barangsiapa yang mengakuinya (keberadaan hukum) namun tidak berhukum dengannya, maka dia adalah zalim, fasik”.

Ikrimah juga bersependapat dengan pendirian tersebut. Beliau menyatakan:

قوله {وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ الله} إنما يتناول من أنكر بقلبه وجحد بلسانه ، أما من عرف بقلبه كونه حكم الله وأقر بلسانه كونه حكم الله ، إلا أنه أتى بما يضاده فهو حاكم بما أنزل الله تعالى ، ولكنه تارك له ، فلا يلزم دخوله تحت هذه الآية

“Firman Allah {وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ الله}itu mencakupi mereka yang mengingkari di hatinya dan mendustakan dengan lisannya. Adapun orang yang mengakui di hatinya tentang keberadaannya sebagai hukum Allah, serta membenarkan dengan lisannya tentang keberadaannya sebagai hukum Allah, namun dia meninggalkannya (dari segi perbuatan), maka dia tidak termasuk dalam rangkuman ayat ini”.

Pendapat Ikrimah ini juga dinyatakan oleh Fakhruddin al-Razi sebagai jawapan yang sahih. Syeikh Taqiuddin an-Nabhani dan Abdul Qadim Zallum dalam Nizam al-Hukm fi al-Islam menukilkan:

وقد أمر الله السلطان والحاكم أن يحكم بما أنزل الله على رسوله, وجعل من يحكم بما بغير ما أنزل الله كافرا إن اعتقد به, أو اعتقد بعدم صلاحية ما أنزل الله على رسوله, وجعل عاصيا وفاسقا وظالما إن حكم به ولم يعتقده

“Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan sultan dan penguasa untuk berhukum dengan apa yang Allah subhanahu wa taala turunkan kepada RasulNya; dan menjadikan orang yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan sebagai orang kafir seandainya dia meyakininya (iaitu meyakini hukum selain hukum Allah), atau meyakini bahawa apa yang Allah turunkan itu tidak layak untuk diterapkan; dan Allah menjadikannya sebagai orang yang berbuat kemaksiatan, fasik, dan zalim jika berhukum dengan (selain daripada apa yang Allah turunkan) dan tidak meyakininya (hukum selain hukum Allah itu)”.

Pandangan sedemikian, menurut Wahbah al-Zuhaili, merupakan pandangan jumhur Ahlus Sunnah.

Sejajar dengan huraian yang telah diberikan, jelaslah bahawa status kafir jatuh kepada orang yang mengingkari kebenaran, kelayakan, dan kewajipan berhukum dengan hukum Allah subhanahu wa taala. Namun jika ia masih meyakini kebenaran, kelayakan, dan kewajipan berhukum dengan hukum Allah, statusnya jatuh kepada zalim dan fasik.

Perbuatan tidak berhukum dengan hukum Allah akan hanya menyebabkan pelakunya beroleh kerugian dan kesengsaraan. Ini adalah kerana, hanya terdapat tiga kedudukan bagi golongan tersebut, iaitu sama ada kafir, zalim, atau fasik (lihat TMQ al-Maidah [5]: 44, 45, 47). Semestinya status kafir menjadi sesuatu yang paling dikhuatiri, kerana ia akan menyebabkan seluruh amal perbuatan manusia terhapus dan sia-sia di sisiNya. Firman Allah subhanahu wa taala:

وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِآَيَاتِنَا وَلِقَاءِ الْآَخِرَةِ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ هَلْ يُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan (mendustakan) adanya pertemuan  akhirat, sia-sialah perbuatan mereka. Mereka tidak diberi balasan selain daripada apa yang telah mereka kerjakan”. (TMQ al-A’raf [7]: 147)

Betapa besarnya ancaman tersebut, maka siapakah lagi yang masih berani untuk menafikan syariahNya? Wallahu’alam bi al-sawab.

(Rokhmat S. Labib, M.E.E; Ketua Lajnah Tsaqafiyyah DPP HTI)

Rujukan.
al-Razi, al-Tafsîr al-Kabîr, vol. 12, 6; al-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 2, 53; al-Qinuji, Fath al-Bayân, vol. 3, 428
al-Qinuji, Fath al-Bayân, vol. 3, 428; al-Khazin, Lubâb al-Ta’wîl, vol. 2, 48
al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân, vol. 10, 593; al-Wahidi al-Naysaburi, al-Wasîth fî Tafsîr al-Qur’ân al-Majîd, vol. 2 (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994), 191
al-Razi, al-Tafsîr al-Kabîr, vol. 12, 6; Ibnu ‘Athiyyah, al-Muharrar al-Wajîz, vol.2, 196; Dengan ungkapan yang sedikit berbeza, alasan ini juga dikemukakan Abu Hayyan al-Andalusi, Tafsîr al-Bahr al-Muhîth, vol. 3, 55; al-Qinuji, Fath al-Bayân, vol. 3, 427; al-Samarqandi, Bahr al-‘Ulûm, vol. 1 (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1993), 439; Mahmud Hijazi, al-Tafsîr al-Wadhîh, vol. 1 (Kairo: Dar al-Tafsir, 1992), 519
al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân, vol. 10; al-Wahidi, al-Wasîth fî Tafsîr al-Qur’ân al-Majîd, vol. 2, 191; Ibnu Katsir, Tafsîr al-Qur’ân al’Azhîm, vol. 2 , 80; al-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 2, 56; al-Samarqandi, Bahr al-‘Ulûm, vol. 1, 439
al-Razi, al-Tafsîr al-Kabîr, vol. 12, 6; al-Zuhayli, Tafsîr al-Munîr, vol. 5, 208
al-Razi, al-Tafsîr al-Kabîr, vol. 12, 6
Taqiyuddin al-Nabhani dan Abdul Qadim al-Zallum, Nidzâm al-Hukm fî al-iIslâm (Beirut: Dar al-Ummah, 2002), 20
al-Zuhayli, Tafsîr al-Munîr, vol. 5, 206