Strategi Barat Menghalang Kebangkitan Khilafah

Allah (swt) berfirman:

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti Milah mereka” [TMQ al-Baqarah (2): 120].

Firman Allah (swt) adalah haq. Itulah realiti yang terjadi sejak dulu sehinggalah ke hari ini. Kuffar Barat, yang rata-ratanya terdiri daripada kaum Nasrani dan juga Yahudi, sejak dahulu begitu komited dalam usaha mereka menghalang kebangkitan Islam dan umatnya. Mereka tahu bahawa kebangkitan Islam tidak dapat dipisahkan dengan negara (Khilafah) sehingga atas dasar itulah mereka berusaha untuk meruntuhkan Khilafah, dan setelah mereka berjaya melakukannya, mereka bekerja keras untuk menghalang kembalinya Khilafah untuk kali yang kedua.

Sebahagian umat Islam beranggapan bahawa kesedaran seperti ini adalah sebahagian dari sikap paranoid umat Islam terhadap Barat. Mereka menyatakan bahawa ada sebahagian kaum Muslimin yang begitu takut tanpa alasan terhadap Barat sehingga menempatkan Barat sebagai musuh. Orang-orang ini menurut mereka, membabi buta membenci Barat dan selalu mengarang teori konspirasi seolah-olah Barat selalu ada di belakang setiap kejadian yang merugikan umat Islam baik dalam persoalan politik, ekonomi, keagamaan bahkan sosial dan kemasyarakatan.

Namun, realiti dan juga sejarah telah menunjukkan bahawa Barat memang banyak melakukan konspirasi dan terlibat di sebalik tindakan-tindakan politik untuk menghancurkan umat Islam. Dari segi sejarah, negara-negara Barat seperti Inggeris, Rusia, Perancis, dan Itali telah memainkan peranan politik yang cukup besar dalam menghalang kebangkitan Islam. Penjajahan melalui ketenteraan termasuk kekejaman yang mereka lakukan pasca Perang Dunia I di wilayah-wilayah umat Islam seperti Algeria, Sudan, Libya dan sebagainya adalah bukti bahawa dendam permusuhan telah lama tersemat di hati mereka. Hanya mereka yang buta tentang politik yang tidak mampu melihat sejarah dan realiti ini.

Hari ini, konspirasi dan ketakutan Barat terhadap kebangkitan Ideologi Islam semakin terserlah. Tindakan politik untuk menghalang kebangkitan Khilafah pun semakin kuat. Hanya watak utamanya sahaja yang silih berganti. Inggeris menjadi watak utama ketika kemerosotan dan kejatuhan Khilafah Islamiyyah, dan kini Amerika mengambil alih posisi watak utama tersebut di samping negara-negara Barat yang lain seperti Inggeris, Perancis, Jerman, Australia dan banyak lagi.

Terdapat beberapa strategi yang dirancang Barat untuk menghentikan dakwah dan menghalang kembalinya Khilafah Islamiyyah untuk kali yang kedua, antaranya termasuklah:

1. Menjajah tanah-tanah umat Islam

Setelah berjaya meruntuhkan Daulah Khilafah, negara-negara Barat menyusun strategi untuk membahagi-bahagikan wilayah Khilafah Islamiyyah sebagai tanah jajahan mereka. Beberapa perjanjian penting telah dimeterai antaranya, Perjanjian Konstantinopel (10 April 1915), Perjanjian London (26 April 1915) dan Perjanjian Sykes-Picot (16 Mac 1916).

Walaupun kini penjajahan fizikal secara langsung tidak lagi popular, namun pengaruhnya masih tetap ada dan tetap terjadi. Beberapa wilayah umat Islam masih berada dalam pengaruh politik bahkan ketenteraan Barat, seperti Algeria yang masih berada di bawah pengaruh Perancis, negara-negara bekas Soviet dipengaruhi Rusia, dan tidak ketinggalan juga Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi, masih kuat dipengaruhi oleh British. Pengaruh ini bukan semata-mata kawalan secara tidak langsung, malah termasuk campur tangan politik dan ketenteraan secara langsung.  Contoh yang dapat dilihat dalam sejarah, Perancis secara langsung melakukan campur tangan ketika parti Islam FIS (Front Islamique du Salut – Barisan Pembebasan Islam) memenangi pilihanraya secara mutlak di Algeria pada tahun 1988, kerana FIS diyakini Barat menjalankan misi menegakkan Khilafah Islamiyyah.

2. Mengukuhkan fahaman nasionalisme

Selepas hancurnya Khilafah Islamiyyah di tangan Mustafa Kamal yang dibantu oleh British, wilayah umat Islam telah terpecah-belah menjadi serpihan-serpihan kecil. Usaha memecah-belahkan umat Islam merupakan agenda yang sangat penting bagi Barat. Oleh itu, setelah berjaya mewujudkan negara berdasarkan bangsa (nation-states) setelah kehancuran Khilafah, Barat terus menerus menanamkan fahaman nasionalisme di tengah-tengah kaum Muslimin. Fahaman sempit ini telah memperkukuh racun assobiyyah (nasionalisme) yang ada dalam tubuh umat Islam, lalu umat Islam lupa akan ikatan akidah dan persaudaraan bahawa umat Islam adalah umat yang satu, yang pernah bersatu di bawah satu payung pemerintahan – Khilafah. Hasilnya, usaha untuk mengembalikan Khilafah terhalang dengan semangat, perasaan dan sempadan-sempadan assobiyyah yang ditanam oleh Barat.

3. Menanamkan fahaman sekularisme kepada para pemimpin Muslim dan sistem pemerintahan demokrasi atau monarki

Barat melihat betapa pentingnya untuk menanamkan fahaman kepada para pemimpin Muslim agar memisahkan agama daripada kehidupan (sekularisme). Barat terus berusaha agar agama Islam di negeri-negeri kaum Muslimin, walaupun secara zahirnya diangkat sebagai agama rasmi negara, tidak akan sama sekali menjadi asas dalam politik serta pemerintahan. Islam dibiarkan hidup, tetapi sekadar dalam urusan ibadah serta rujukan moral yang diulang-ulang secara menjemukan. Dengan situasi seperti ini, Barat berharap bahawa seruan kebangkitan Islam, lebih-lebih lagi seruan untuk mengembalikan syariat Islam dan Khilafah akan menghadapi penentangan politik yang kuat daripada pemimpin dan ahli politik, yang rata-ratanya adalah ejen mereka dalam menyebarkan sekularisme.

Selain itu, Barat juga melihat kepentingan untuk memastikan bahawa para pemimpin Muslim menerapkan sistem demokrasi atau monarki. Dalam hal ini, Barat mengambil sikap double standard. Di wilayah Timur Tengah yang kuat pegangan kepada dinasti politiknya, Barat membiarkan diterapkan sistem politik dan pemerintahan monarki seperti di Arab Saudi, Kuwait, Qatar dan sebagainya. Barat tidak mengambil peduli ketika sistem politik di sana tidak demokratik, menindas dan melanggar hak asasi manusia selagi rejim-rejim tersebut taat kepada mereka.

Sementara itu, di wilayah lain pula Barat mendorong terbentuknya pemerintahan demokratik seperti di Turki, Malaysia, Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan lain-lain, yang hakikatnya tidak ada beza dengan pemerintahan diktator. Hal ini dilakukan agar para pemimpin ini mempertahankan sistem ciptaan mereka ini habis-habisan dan menjadikan umat Islam yang tidak tunduk kepada sistem ini sebagai musuh yang perlu ditangkap, dipenjarakan atau dibunuh. Barat juga mahukan agar umat Islam lupa akan sejarah keKhilafahan selain agar sentiasa timbul konflik politik dalam tubuh umat, seperti yang terjadi di Malaysia, Indonesia dan lain-lain pada hari ini, yang diharap akan menjauhkan umat daripada usaha menegakkan kembali Khilafah.

4. Mengklasifikasikan kelompok Islam menjadi kelompok tradisional, moderat dan radikal; kemudian membuat mereka saling bertelingkah

Barat mengklasifikasikan umat Islam yang rapat dengan agama dan berlatar belakangkan pendidikan Islam yang menolak politik dalam pemerintahan, sebagai kelompok ‘Islam Tradisional’. Kelompok yang menjauhi politik dan hanya menekankan Islam dalam aspek ibadat ini dikategorikan mengambil gaya hidup tradisional. Seterusnya Barat menyifatkan umat Islam yang dikatakan telah mengambil gaya hidup moden tetapi tetap menampakkan nuansa keIslaman (walaupun sekular) sebagai kelompok ‘Islam Moderat’. Kelompok Islam moderat ini bersifat terbuka terhadap demokrasi, pluralisme, hak asasi manusia (HAM), dan cenderung untuk bekerjasama dengan Barat. Selain daripada kedua-dua kelompok tadi, Barat menggolongkan umat Islam yang tetap istiqamah dengan syariat Islam, menjauhkan diri dari fahaman Barat seperti sekularisme, demokrasi, HAM, dan sebagainya, sebagai kelompok radikal. Kelompok inilah yang bercita-cita untuk mengembalikan syariat Islam dan menegakkan Kekhilafahan atau Negara Islam.

Barat berpihak kepada kalangan tradisionalis dan moderat, mempromosikan mereka, membiarkan, bahkan mendukung segala sikap dan aktiviti “keIslaman” mereka, kerana sikap mereka sama sekali tidak membahayakan Barat, sebaliknya memberikan keuntungan bagi Barat. Barat juga mempromosikan kepada kedua-dua kelompok ini agar menempatkan kelompok radikal sebagai musuh, dengan mengatakan bahawa cita-cita melaksanakan syariat Islam secara kaffah, apatah lagi penegakan Khilafah Islamiyyah itu sebagai suatu yang melanggar ruh keIslaman dan semangat kebangsaan.

5. Menciptakan kebergantungan kepada Barat, baik dalam bidang politik, ekonomi mahupun ketenteraan

Dengan berwajah manis, Barat menyalurkan berbagai bentuk bantuan dan pinjaman kepada negara-negara umat Islam. Namun, perlu difahami bahawa bantuan dan pinjaman itu bukanlah suatu pemberian percuma. Barat memiliki agenda dan kepentingan tertentu yang mereka zahirkan secara terbuka mahupun yang tersembunyi. Dalam kes jatuhnya Presiden Morsi di Mesir, AS benar-benar berada di belakang tentera Mesir. AS memberikan bantuan kepada mereka demi menjamin kekuasaannya di Mesir tidak berada di tangan kelompok Islami. Begitu juga di seluruh wilayah umat Islam yang lain seperti Syria, Pakistan, Arab Saudi dan lain-lain. Barat sangat takut sekiranya kelompok yang menginginkan Khilafah berjaya menaiki kekuasaan melalui dukungan tentera, sehingga Barat memastikan pasukan tentera di setiap negeri umat Islam berada di bawah genggaman mereka.

6. Mencipta gambaran buruk tentang Khilafah

Dahulu, Barat melalui para orientalis memanipulasi sejarah dan mencipta gambaran buruk tentang Khilafah. Para khalifah digambarkan sebagai orang yang licik, suka bermewah dan membazir, zalim serta gemar mengumpulkan gundik dan sebagainya. Tentera Islam juga digambarkan berperangai buruk dan ganas. Dalam beberapa tahun terkini, gambaran buruk itu mendapat momentum yang baru melalui “Negara Khilafah” versi ISIS. Pelbagai video yang dikatakan dikeluarkan oleh ISIS dijadikan alat propaganda Barat kepada dunia, khususnya kepada dunia Islam, dalam rangka memburukkan idea Khilafah. Tidak cukup dengan itu, para pemimpin Muslim yang menjadi boneka Barat turut tampil menyahut seruan tuannya. Lalu seruan-seruan dakwah untuk mengembalikan syariat Islam di bawah naungan Khilafah cuba dihalang dengan hebat melalui penyesatan fakta, penyesatan kelompok dakwah bahkan sehingga penangkapan dan pendakwaan di mahkamah, seperti mana yang turut berlaku di Malaysia. Akibatnya, timbul persepsi buruk oleh sesetengah kelompok dalam masyarakat terhadap sistem Khilafah yang sememangnya merupakan sebahagian daripada syariat Islam itu sendiri.

Khatimah

Sesungguhnya, pelbagai strategi dan perancangan jahat akan terus dilancarkan oleh Barat dan para pengikutnya. Di samping itu, terdapat pula sebahagian daripada umat Islam yang telah teracun hingga sanggup menggadaikan keIslaman mereka untuk kepentingan Barat. Mereka bahkan berada di barisan hadapan menjadi penghalang tertegaknya syariah dan Khilafah.

Namun demikian, walau apa dan sehebat mana sekali pun perancangan Barat untuk menyekat kembalinya Khilafah, Allah jualah satu-satunya Zat yang akan membalas rancangan-rancangan jahat dan keji mereka.

وَمَكَرُوا۟ وَمَكَرَ ٱللَّهُ وَٱللَّهُ خَيْرُ ٱلْمَٰكِرِين

“Dan mereka merancang (tipu daya), Allah juga merancang (membalas tipu daya), dan Allah sebaik-baik perancang (Pembalas tipu daya)” [Ali Imran (3): 54].

Selama mana umat Islam istiqamah dalam usaha dakwah untuk mendirikan Khilafah dengan thariqah (jalan) yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah (saw), serta tetap teguh membantu agama Allah (swt), maka Dia (swt) akan pasti memberikan kemenangan hingga Khilafah Rasyidah ala minhaj nubuwwah untuk kali yang kedua akan kembali tegak seperti yang telah dijanjikan oleh-Nya (swt) dan oleh Rasul-Nya (saw),

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الأرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahkuKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu apa pun denganKu dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” [An-Nur (24):55].

Lajnah Tsaqafiyyah
Hizbut Tahrir Malaysia