Syarah Hadis Kembalinya Khilafah

حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ دَاوُدَ الطَّيَالِسِىُّ حَدَّثَنِى دَاوُدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ الْوَاسِطِىُّ حَدَّثَنِى حَبِيبُ بْنُ سَالِمٍ عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ كُنَّا قُعُوداً فِى الْمَسْجِدِ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَكَانَ بَشِيرٌ رَجُلاً يَكُفُّ حَدِيثَهُ فَجَاءَ أَبُو ثَعْلَبَةَ الْخُشَنِىُّ فَقَالَ يَا بَشِيرُ بْنَ سَعْدٍ أَتَحْفَظُ حَدِيثَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فِى الأُمَرَاءِ. فَقَالَ حُذَيْفَةُ أَنَا أَحْفَظُ خُطْبَتَهُ. فَجَلَسَ أَبُو ثَعْلَبَةَ فَقَالَ حُذَيْفَةُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم-  تَكُونُ النُّبُوَّةُ فِيكُمْ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلاَفَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكاً عَاضًّا فَيَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكاً جَبْرِيَّةً فَيَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلاَفَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ نُبُوَّةٍ. ثُمَّ سَكَتَ

Telah menceritakan kepada kami Sulaiman bin Dawud Ath-Thiyalisi telah menceritakan kepadaku Dawud bin Ibrahim Al-Wasithi, telah menceritakan kepadaku Habib bin Salim dari An-Nu’man bin Basyir ia berkata, “Kami pernah duduk-duduk di dalam masjid bersama Rasulullah (saw), kemudian Basyir menahan pembacaan hadisnya. Kemudian datanglah Abu Tsa’labah Al-Khusyani dan berkata, “Wahai Basyir bin Sa’d, apakah kamu hafal hadis Rasulullah (saw) berkenaan dengan Umara` (para pemimpin)?” Kemudian Hudzaifah berkata, “Aku hafal khutbah baginda.” Maka Abu Tsa’labah pun duduk, kemudian Hudzaifah berkata, “Rasulullah (saw) bersabda: ‘Akan ada nubuwwah (kenabian) di tengah-tengah kalian selama kurun waktu tertentu yang Allah kehendaki, lalu Dia mengangkatnya (berakhir) bila Dia menghendaki untuk mengakhirinya. Kemudian ada kekhilafahan di atas jalan kenabian selama kurun waktu tertentu yang Allah kehendaki lalu Dia mengangkatnya bila Dia menghendaki untuk mengakhirinya. Kemudian ada kerajaan yang menggigit selama kurun waktu tertentu yang Allah kehendaki lalu Dia mengangkatnya bila Dia menghendaki untuk mengakhirinya. Kemudian ada pemerintahan yang menindas (diktator) selama kurun waktu tertentu yang Allah kehendaki lalu Dia mengangkatnya bila Dia menghendaki untuk mengakhirinya. Kemudian akan kembali Khilafah di atas jalan kenabian. Kemudian baginda diam”. Habib berkata; “Ketika ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz menjadi Khalifah di mana Yazid bin an-Nu’man bin Basyir mendampinginya, aku menulis hadis ini untuknya dan aku mengisahkan hadis ini kepadanya dan aku katakan; “Aku berharap dia, maksudnya ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz menjadi Amirul Mukminin setelah kekuasaan kerajaan yang menggigit dan pemerintahan diktator” Lalu suratku itu diberikan kepada ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz, maka dia senang dan mengaguminya” [HR Ahmad No 17680].

Biografi Rijal

Hudzaifah bin Al-Yaman

Beliau ialah sahabat Rasulullah (saw) yang pernah menjadi Wali di Madain, setelah diberikan mandat oleh Khalifah Umar bin Khattab (ra) di zamannya. Nama aslinya adalah Hudzaifah bin Hisl (atau Husail) bin Jabir Bin Amru Al-Abasi Al-Yamani. Nama kunyahnya Abu Abdullah. Beliau antara sahabat yang dipercayai Nabi (saw) untuk memegang rahsia-rahsia baginda. Beliau antara tokoh Ansar walaupun ayahnya pada hakikatnya adalah berasal dari Mekah. Jumlah hadis yang diriwayatkan beliau adalah sebanyak 225 hadis. Daripada jumlah tersebut, termasuk 52 hadis di dalam Sahih Bukhari dan 43 hadis di dalam Sahih Muslim. Beliau wafat pada 36 Hijriyah setelah kewafatan Saidina Uthman (ra).

An-Nu’man bin Basyir bin Sa’ad

Beliau ialah sahabat Rasulullah (saw) yang pertama lahir di Madinah setelah penghijrahan baginda. Nama asalnya ialah Nu’man bin Basyir bin Sa’d bin Tsa’labah bin Julas bin Zaid bin Maalik al-Agharr al-Anshari al-Khazraji. Nama kunyahnya ialah Abu ‘Abdillah atau Abu Muhamad. Antara keistimewaan Nu’man bin Basyir adalah beliau antara bayi yang ditahnik oleh Rasulullah (saw). Adz-Zahabi menyatakan hadis yang diriwayatkan oleh Nu’man berjumlah 114 hadis. Beliau wafat pada tahun 64 Hijriyah.

Habib bin Salim

Beliau ialah Tabi’in di kalangan pertengahan, yang merupakan maula (hamba) kepada an-Nu’man bin Basyir. Tidak dinafikan Imam Al-Bukhari menyatakan, “Tentang dia (Habib bin Salim), harus diteliti (fîhi nazhar).” Namun itu tidaklah menjadikan hadis yang diriwayatkan oleh Habib Bin Salim terkategori dhaif, seperti mana Abu Hatim menjelaskan beliau (Habib Bin Salim) terkategori “tsiqah”. Abu Ahmad bin ‘Adi menyatakan, “Di dalam matan-matan hadis yang diriwayatkan Habib bin Salim tidak terdapat satu pun hadis mungkar. Beliau sendiri (Habib bin Salim) ialah perawi hadis Muslim, Ahmad dan Ashabus Sunan berhujjah dengannya.

Daud bin Ibrahim

Nama beliau ialah Daud Bin Ibrahim dari nasab Al-Wasithiy. Beliau merupakan tabi’in kecil. Menetap di Basrah. Beliau mengambil ilmu dari Habib bin Salim, dan muridnya adalah Sulaiman bin Dawud al-Thayaalisiy.

Sulaiman Bin Dawud bin al-Jarud

Nama lengkap beliau Sulaiman bin Dawud bin al-Jarud al-Thayaalisiy. Beliau merupakan Tabi’ut Tabi’in kecil (Shughra min al-Atbaa’). Nama kunyahnya adalah Abu Dawud yang berasal dari Basrah. Guru-gurunya seperti Aban bin Yazid, Zaidah bin Qudamah, Zum’ah bin Shalih, Dawud bin Ibrahim, Zuhair bin Mohammad, dan lain-lain. Murid-murid yang meriwayatkan hadis daripadanya adalah Ahmad bin Ibrahim bin Katsir, Ahmad bin ‘Abdullah bin ‘Ali bin Suwaid bin Manjuf, Ahmad bin ‘Ubadah bin Musa, Ahmad bin Mohammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad, Khalifah bin Khiyaath bin Khalifah bin Khiyaath, dan lain-lain. Pandangan ulama berkenaan dirinya: Ali Al-Madini menyatakan beliau (Sulaiman bin Dawud) kuat hafalannya, adz-Zahabi menyatakan beliau (Sulaiman bin Daud) al Hafidz, Imam Ahmad menyatakan beliau (Sulaiman bin Dawud) sebagai tsiqah dan sebagainya.

Takhrij Hadis:

  1. Musnad Imam Ahmad hadis No 17680
  2. Musnad al Bazzar hadis No 2796

Jenis Hadis:

Berdasarkan jumlah rawi, ia merupakan hadis Ahad, kerana tidak memenuhi ciri-ciri hadis mutawatir. Manakala berdasarkan matan ia tergolong sebagai hadis marfu’ al-qauli yang bersambung disandarkan kepada Rasulullah (saw). Berdasarkan sanad pula, hadis ini termasuk hadis muttasil secara marfu’.

Status Hadis:

Hadis ini termasuk ke dalam hadis maqbul dengan kategori hadis sahih atau minimum hasan. Hadis sahih adalah hadis yang diriwayatkan oleh rawi yang tsiqah, adil, dhabith, sanadnya muttasil (bersambung), matannya marfu’ (disandarkan pada Nabi), tidak ada illat (kecacatan penambahan pengurangan dan penggantian), dan tidak ada kejanggalan (tidak bertentangan dengan al-Qur’an, hadis sahih dan akal sihat). Hadis Hasan pula berpijak pada definisi Ibnu Hajar iaitu hadis yang sanadnya bersambung, yang diriwayatkan oleh rawi yang adil, yang darjat dhabit-nya lebih ringan dari orang yang serupa hingga puncak akhir sanad, tidak ada syadz mahupun ‘illat.

Namun begitu tidak dinafikan wujudnya penilaian Imam Bukhari terhadap Habib bin Salim yang menyatakan beliau (Habib Bin Salim) sebagai فيه نظر (rijal yang perlu dipertimbangkan), namun ia tidak menggugurkan penilaian-penilaian ahli hadis yang lain terhadap Habib bin Salim. Meskipun Imam Bukhari tidak memasukkan riwayat ini di dalam kitab sahihnya, namun masih terdapat ulama-ulama hadis lain menganggapnya sahih, dan menilai Habib bin Salim sebagai perawi yang tsiqah, misalnya Imam Muslim, yang mencantumkan hadis yang diriwayatkan oleh Habib Bin Salim di dalam sahihnya. Atas dasar itu, jika kita mengikuti penilaian Ibnu Hibban, dan muhaddisin lain yang menganggap tsiqah Habib bin Salim, maka hadis di atas adalah hadis sahih minimum hasan yang layak dijadikan sebagai hujjah seperti mana penilaian:

  1. Al-Hafiz Al-Iraqi guru kepada Al-Hafiz Ibnu Hajar Asqalani di dalam Mahajjah Al-Qurab fi Mahabbah Al-‘Arab menilai hadis ini sahih.
  2. Al-Albani menilai hadis ini sahih di dalam Silsilah Al-Hadis As-Sahihah.
  3. Syaikh Syu’aib Al Arna’uth, dalam Musnad Ahmad bi Hukm Al-Arna’uth menilai hadis ini hasan sahih.

Penjelasan Hadis:

  1. Hadis ini menjelaskan bahawa tidak akan ada perbezaan dari sisi hukum atau aturan, antara masa Rasulullah (saw) dengan masa sesudahnya (Khilafah yang berlandaskan manhaj kenabian). Khilafah setelah Nabi akan mengikuti manhaj atau metode kenabian, dan berjalan sesuai dengan Sunnahnya. Dengan demikian, ada persamaan antara manhaj kenabian dengan manhaj para penggantinya (para Khalifah) dalam menerapkan syariat Islam. Satu-satunya perbezaan adalah bahawa pada masa Rasulullah (saw), wahyu Allah (swt) berakhir bersamaan dengan wafatnya Rasulullah (saw). sedangkan pada masa-masa setelah baginda, syariat yang lengkap telah ditetapkan dan dilaksanakan mewarisi perlaksanaan baginda.
  2. Masa مُلْكًا عَاضًّا / mulkan adhan (para penguasa yang menggigit) menunjukkan kesalahan dalam hal peralihan kekuasaan, iaitu adanya pengambilan baiah yang dilakukan secara paksa, dan kemudian kekuasaan tersebut diwariskan secara turun-temurun kepada keluarganya. Peralihan kekuasaan tersebut tidak mengikuti contoh sebagaimana yang ditunjukkan Rasulullah (saw) dan keempat-empat orang Khulafa ar-Rasyidin.
  3. Masa مُلْكًا جَبْرِيَّةً / mulkan jabariyyatan (pemerintahan diktator) adalah masa kaum Muslimin diatur oleh para penguasa yang memerintah berdasarkan Islam, tetapi bersikap kejam (bengis) kepada rakyatnya, sebagaimana ditunjukkan Rasulullah (saw) dalam sebuah hadis yang menerangkan bahawa kaum Muslimin mesti mentaati para pemimpinnya, selama mereka tidak memerintahkan suatu kemaksiatan. Ini adalah penilaian (pandangan) pertama. Ada penilaian lain yang memahami bahawa tempoh ini (pemerintahan diktator) adalah masa di mana kaum Muslimin tidak lagi dipimpin oleh para Khalifah, tetapi dipimpin oleh para penguasa yang sudah mencampakkan sistem hukum Islam, dan bertindak sebagaimana para diktator yang berperilaku bengis terhadap rakyatnya seperti saat ini. (Jika dinilai dari matan hadis yang di bahas ini, maka penilaian kedua adalah lebih tepat).
  4. Bahagian akhir hadis ini mengandungi sebuah berita gembira bagi kaum Muslimin, iaitu sebuah nubuwwah yang menyatakan bahawa akan tegak kembali Negara Khilafah yang mengikuti metode kenabian seperti yang pertama kali. Insya Allah akan terealisasi sedikit masa lagi.

Fiqhul Hadis

Hadis ini termasuk dalam kategori ma’mul bih (dapat diamalkan), kerana lafaznya muhkam (jelas) dan ia juga mengkhabarkan dengan jelas akan datangnya Khilafah ‘ala Minhaj al-Nubuwwah sebagai khabar gembira sekali gus merupakan motivasi daripada Rasulullah (saw) akan datangnya Khilafah yang merupakan masa depan umat Islam.

Seperti mana hadis,

«لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ، فَلَنِعْمَ الْأَمِيرُ أَمِيرُهَا، وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ»

Sungguh Konstantinopel akan dibuka. Sebaik-baik amir adalah amirnya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya (yang membuka Konstantinopel [HR Ahmad].

Maklumat mengetahui hadis pembukaan Konstantinopel ini juga adalah hadis khabar namun tetap memiliki makna amal. Kerana itulah ramai Khalifah yang konsisten berusaha untuk merealisasikan hadis ini dengan kedua tangannya. Mereka (para Khalifah) tetap teguh menggerakkan pasukan tentera mereka untuk membuka Kostantinopel, sehingga Allah (swt) memuliakan Muhammad al-Fatih dengan pembukaan tersebut. Demikianlah juga hadis kembalinya Khilafah yang mengikuti jalan kenabian seperti yang dibahaskan di atas. Oleh itu, adalah sangat wajar kita sebagai Muslim untuk terus teguh dan bersungguh-sungguh menempuh perjuangan untuk merealisasikannya melalui kedua tangan kita. Di samping itu, kita juga wajar menyampaikan berita gembira tersebut kepada umat dan meyakini serta meyakinkan mereka (umat) bahawa hal tersebut (iaitu kembalinya Khilafah di atas jalan kenabian) akan tetap berlaku baik cepat mahupun lambat. Insya Allah.

Wallahu waliyut Taufiq wal hidayah

Al faqiir

Abu Khaled El-Fateh

Aktivis HTM

 

Sumber rujukan:

  1. Kitab 9 Imam, Lidwa Pusaka i-Software.
  2. Muhammad Hasan bin Aqil Musa Asy-Syarif, Nuzhatul Fudhala’ tahdzib siyar a’lam an-nubala.
  3. Al-Hafidz Jamaluddin Abi al-Hajjaj Yusuf al-Mizzi Tahzib Al Kamal Fi Asma Ar Rijal Lil Mizi.
  4. Dr Mahmud Thahan, Taisir Mushtalah al-Hadis
  5. Abu Lukman Fathullah, 60 Hadis Sulthaniyah
  6. Al Albani, Silsilah Al Hadith Sahihah 1/8,
  7. Al Arna’uth, Musnad Imam Ahmad Biahkam Al Arna’uth 4-3.
  8. http://hizb-indonesia.info/2014/03/04/perkataan-imam-bukhari-fiihi-nazhar-mengenai-seorang-perawi-hadith-tidak-selalu-melemahkan-hadithnya/