Syariat Tidak Diterapkan, Islam Dipermainkan
JAKARTA – Pelakon filem dan model yang pernah tampil dalam majalah Playboy Jepun dan Singapura, Cynthiara Alona mengaku kembali tidak memakai tudung sejak kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.
Pelakon filem seram Indonesia, Paku Kuntilanak dan Susuk Pocong itu menjelaskan bahawa tindakannya itu tidak bererti dia akan kembali tampil lebih seksi seperti sebelum memakai tudung.
Dia hanya memakai tudung selama tujuh bulan.
“Saya ingin jadi diri sendiri dan berkarier. Jadi masih belum perlu pakai jilbab (tudung) dululah,” katanya.
Cynthiara, 25, menjelaskan bahawa dia akan berusaha untuk tidak terlibat dalam membintangi filem yang berunsurkan seks lagi.
“Aku akan cuba berhenti berlakon di dalam filem panas lagi,” katanya.
Dia sebelum ini menggegarkan Indonesia kerana beberapa gambar bogelnya tersebar di Internet. – Agensi
Sumber: Kosmo Online 04/01/2011
Inilah akibatnya apabila Islam tidak diterapkan sebagai satu sistem yang mengatur kehidupan umat. Sebahagian umat akan melihat aturan pemakaian di dalam Islam hanya sebagai satu tradisi dan fesyen. Berita di atas seharusnya dapat menjadikan kita mengambil iktibar bahawasanya syariat Islam hanya akan menjadi bahan mainan oleh musuh-musuh Islam mahu pun penganut agama Islam itu sendiri akibat kebebasan yang diberikan oleh sistem sekular yang diterapkan di tengah-tengah kehidupan mereka.
Lihatlah bukti di atas, seorang muslimat dengan mudahnya melafazkan bahawa dia “belum perlu” untuk memakai jilbab (baca: kerudung) kerana alasan kerjaya. Langsung tidak masuk akal! Adakah jawapan yang diberikan itu bersesuaian dengan ajaran agama? ,tatkala hukuman untuk menutup aurat bagi mereka sudah nyata dan jelas. sudah terang lagi bersuluh termaktub di dalam Al-Quranul Karim? Allah SWT berfirman:
“Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka….” (TMQ An-Nur[24]: 31)
Allah SWT berfirman:
“Dan tidaklah harus bagi orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. dan sesiapa Yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang jelas nyata.”(TMQ Al-Ahzab[33]: 36).
Sesungguhnya, jawapan yang paling tepat bagi orang-orang yang beriman, tatkala Tuhannya mewajibkan sesuatu adalah, “kami dengar dan kami patuh”. Namun, disebabkan syariat Islam tidak diterapkan, maka berapa banyak hukum Allah yang telah kita ingkar? Oleh itu, sudah tiba masanya bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia sedar akan tanggungjawab mereka untuk menerapkan semula kehidupan Islam ini dengan dibai’ahnya seorang Khalifah bagi seluruh kaum Muslimin.