Tabung Haji: Bukan sekadar persoalan amanah

Gambar UL160515Isu pembelian tanah 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX) oleh Lembaga Tabung Haji masih terus hangat diperkatakan. Hal ini sememangnya wajar menjadi buah mulut kerana ia bukan satu transaksi biasa yang setiap orang boleh ‘touch n go’ begitu sahaja, apatah lagi kepada para pendeposit Tabung Haji. Wang Tabung Haji adalah wang amanah, yang disimpan oleh mereka yang ingin ke Tanah Suci bagi menyahut perintah Allah SWT. Para penabung meletakkan 100% amanah dan kepercayaan kepada Tabung Haji bagi menjaga wang mereka dalam usaha menunaikan kewajipan rukun Islam kelima itu.

Walaupun Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah menegaskan bahawa keputusan membeli tanah seluas 0.63 hektar bernilai RM188.5 juta di TRX bukan tindakan menyelamatkan (bail-out) 1MDB tetapi telah melalui proses penilaian wajar di semua peringkat, penjelasan ini dilihat semata-mata untuk menutup kesalahan kerajaan dan cuba memperbodohkan rakyat.

Apa tidaknya, jumlah tersebut (RM188.5 juta) adalah menyamai jumlah faedah pinjaman yang perlu dibayar oleh 1MDB dalam masa terdekat. Manakala tanah itu pula dilaporkan dibeli pada harga yang cukup murah oleh 1MDB dari kerajaan persekutuan iaitu pada harga RM74.20 satu kaki persegi dan dijual pada harga berlipat kali ganda mahalnya (iaitu pada harga RM2,779 satu kaki persegi) kepada Tabung Haji

Apa pun penjelasan Tabung Haji dalam hal ini, termasuklah mengatakan bahawa pembelian tersebut merupakan transaksi biasa dalam usaha Tabung Haji membuat pelaburan ke atas hartanah yang akan menguntungkan pendeposit juga, namun nasi sudah menjadi bubur. Cukuplah tu, akui sahajalah hal yang sebenar dan insaflah sebelum Allah SWT membongkarkan kebenarannya di akhirat nanti. Orang meletakkan wang di Tabung Haji agar Tabung Haji menjaga amanah (wang tersebut) bagi membolehkan setiap penyimpan melaksanakan kewajipan haji, itu sahaja, bukannya untuk melabur apatah lagi untuk menyelamatkan sebuah kerajaan yang zalim. Apa yang pasti, setiap amanah akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Itu dari satu sisi. Dari sisi yang lain, kita perlu melihat isu pembelian tanah TRX oleh Tabung Haji ini bukan semata-mata dari perspektif amanah. Lihatlah bagaimana asas kepada pembinaan institusi dan “cara berfikir” yang ada pada pemegang amanah itu sendiri sehingga pengurusan sebuah kewajipan menjadi seperti ini.

Malaysia merupakan sebuah negara pengamal ideologi Kapitalis yang menjadikan “manfaat” (untung-rugi) sebagai tolok-ukur setiap tindakan. Dengan kata lain, orientasi setiap perbuatan bagi penganut ideologi ini ialah “manfaat” yakni jika di sana ada manfaat, maka hal itu akan dilakukan dan begitulah sebaliknya. Dosa dan pahala langsung tidak menjadi pertimbangan kepada mereka yang berpegang kepada ideologi ini. Agama hanya menjadi sebatas amalan spiritual seperti dalam hal ibadat sahaja, manakala way of life lainnya didasarkan kepada manfaat. Mereka akan berusaha menggapai sebesar mungkin manfaat kerana di situlah terletaknya kebahagiaan (kepuasan hidup) bagi mereka, walaupun dengan cara menindas atau menipu orang lain atau mengambil hak orang lain atau memecahkan amanah dan sebagainya.

Atas orientasi manfaat (keuntungan) inilah penganut ideologi Kapitalis membina negara dan meneruskan hidup dan aktiviti harian, yang mana pembinaan Tabung Haji pun tidak terlepas dari semua itu. “Cara berfikir” Tabung Haji tidak ubah seperti cara berfikir sebuah institusi kewangan dan lain-lain syarikat Kapitalis, yakni untuk mendapatkan sebanyak mungkin keuntungan. Dalam dunia Kapitalis, adalah satu perkara yang “bodoh” jika seseorang memegang duit amanah yang begitu banyak tetapi tidak melakukan apa-apa dengan duit tersebut bagi menjana sebanyak mungkin keuntungan.

Begitu juga dengan pemegang jawatan, asas kepada cara berfikirnya adalah manfaat. Jika dengan memegang jawatan tersebut memberinya manfaat yang begitu banyak, maka adalah satu tindakan yang “bodoh” untuk dia melepaskan jawatan tersebut. Jika dengan melawan arahan ketuanya menyebabkannya hilang manfaat, maka dia akan mengikuti sahaja arahan ketuanya walaupun bercanggah dengan syarak, kerana apa yang dipegang adalah manfaat, bukannya hukum syarak.

Inilah “cara berfikir” Kapitalis yang ada pada sebahagian umat Islam, khususnya mereka yang memegang kepimpinan dan amanah. Atas dasar inilah kerajaan Malaysia dan juga Tabung Haji serta lain-lain institusi berjalan. Kerana itu, tidak pelik sekiranya kita menyaksikan skandal demi skandal, ketirisan demi ketirisan, pecah amanah demi pecah amanah, penyelewengan demi penyelewengan dan sebagainya yang berlaku dalam negara yang mengaku Negara Islam ini, kerana hakikatnya mereka berpegang kepada ideologi Kapitalisme dan bukannya berpegang kepada Islam.

Kita mahu kerajaan, Tabung Haji dan lain-lain institusi agar memagang amanah dengan penuh tanggungjawab dan ketakutan kepada Allah SWT. Di samping berharap dan berdoa agar amanah ini sentiasa dipegang oleh ahlinya, ingatlah bahawa kita wajib berusaha untuk merealisasikan hal ini yakni mewujudkan sebuah sistem pemerintahan dan pengurusan yang berpegang kepada ideologi Islam, bukannya kepada ideologi Kapitalisme.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tabung-haji-beli-tanah-rm188.5-juta-sama-nilai-faedah-1mdb-kata-rafizi