“Tauliah” Senjata Penyekat Dakwah
Pentauliahan mesti diperoleh jika ajar agama
PETALING JAYA: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Rendah Syariah, di sini semalam pentauliahan perlu diperoleh daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi mana-mana individu yang berhasrat mengajar agama di negeri itu.
Pegawai Penguat kuasa Jais, Ahmad Tarnuzi Nokin, berkata pentauliahan itu perlu walaupun hanya untuk mengajar seseorang bakal saudara baru mengucapkan dua kalimah syahadah, selain mengaji mukaddam. Tarnuzi berkata demikian ketika menjawab soalan peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzzaman yang mewakili penceramah agama bebas, Dr Abdullah Yasin, dalam perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Ghazali Ahmad.
Dr Abdullah, 63, didakwa atas tuduhan mengajar tafsir al-Quran membabitkan Surah al-Baqarah ayat 14 hingga 20 tanpa tauliah yang diberikan mengikut Seksyen 118 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor No. 1 Tahun 2003.
Dia yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengajian Dakwah dan Usuluddin dari Universiti Islam Madinah didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Rukun Tetangga Seksyen 14/26, Petaling Jaya, di sini kira-kira jam 4.30 petang, 24 April 2006.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No. 1 Tahun 2003.
Tarnuzi yang juga saksi pendakwaan ke-4 kes itu berkata, berdasarkan kelulusan akademiknya, penceramah terbabit sememangnya layak untuk mengajar, cuma tidak memiliki pentauliahan daripada agensi berkenaan.
Sementara itu, ketika ditanya pendakwa syarie Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Mohd Nazri Basrawi, saksi berkata, tauliah bagi memudahkan pemantauan, selain mengelak ajaran sesat. Perbicaraan bersambung 28 Januari depan.
Sumber : Berita Harian, 12/11/09
“Tauliah” Senjata Penyekat Dakwah
Mungkin ramai yang akan memberikan respon yang kasar dan keras ke atas pihak JAIS berkaitan laporan akhbar di atas. Apapun, JAIS terus menimbulkan polemik berkenaan isu tauliah. Inilah natijahnya apabila pemikiran sekular terus melingkari pemikiran umat Islam termasuklah keperingkat peraturan yang diterapkan oleh jabatan agama Islam negeri. Apakah syarat perlunya ada tauliah akan terus menjadi penghalang dan hambatan kepada usaha dakwah yang memang sudah sedia maklum diwajibkan oleh Allah SWT? Malang sungguh nasib umat Islam hari ini apabila persoalan proses untuk mengIslamkan seseorang individu itu juga memerlukan tauliah dari pihak JAIS! Jelas kini segala urusan untuk manusia melakukan perintah Allah SWT seperti kewajiban berdakwah dan seumpamanya telah banyak dipersulitkan.
Inilah hakikat kehidupan dunia Kapitalisme. Untuk melaksanakan dan mengikat diri dengan perintah Allah SWT umat Islam hari ini terpaksa berhadapan dengan berbagai halangan yang diwujudkan oleh undang-undang taghut ciptaan manusia. Namun sebaliknya untuk melanggar perintah Allah SWT segala kebebasan dan kemudahan diberikan. Lebih menyedihkan dan memelikkan kita lagi ialah apabila kekangan-kekangan ini wujud di negara-negara yang diperintah oleh para pemimpin yang beragama Islam. Jika perkara ini berlaku di negara-negara kafir Barat ianya merupakan sesuatu yang tidak memeranjatkan kita kerana sememangnya kafir Barat kerjanya adalah berusaha siang dan malam untuk memadamkan cahaya Islam di atas muka bumi Allah SWT ini. Namun bila perkara ini berlaku di negara kaum Muslimin, ia amatlah menyedihkan. Hakikatnya, dengan berlakunya perkara seperti ini, kesedaran umat Islam untuk bangkit menerapkan kembali kehidupan Islam seharusnya menjadi semakin berkobar-kobar. Tegakkanlah Khilafah, wahai umat Islam dan buangkanlah pemikiran sekular sejauh-jauhnya!!