Televisyen Dalam Sistem Kapitalisme: Mengancam Generasi Muslim

Dalam sistem  kapitalisme, televisyen telah dijadikan media untuk merosakkan generasi dan menyebarkan budaya-budaya yang rendah. Rancangan-rancangan berbentuk infotainment di televisyen didapati telah  melampaui batas.  Berkenaan hal ini, Majlis Ulama Indonesia (MUI) telah meminta agar  siaran seperti gosip diatur dengan  lebih ketat, demikian yang dipetik daripada detikNews. Sebenarnya bukan itu sahaja  yang mengancam kerosakkan sistem sosial pada  hari ini. Beratus-ratus tayangan yang penuh dengan syahwat, mendedahkan aurat, tingkah laku murahan seperti pergaulan bebas sedang mengancam generasi Muslim.

“(Kami) Mendesak Jabatan Komunikasi dan Penyiaran  (Depkominfo) agar melakukan penelitian berkaitan  peningkatan rancangan  infotainment, di mana keberadaannya mengancam keselamatan nasional,” kata Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Fatwa Majlis Ulama Indonesia (MUI), Asrorun Ni’am Sholeh melalui email yang diterima pada hari Jumaat baru-baru ini.
 
Rancangan-rancangan yang ditayangkan  dalam bentuk hiburan atau yang dikenali sebagai infotainment telah bertukar  menjadi  rancangan yang boleh meruntuhkan institusi rumahtangga serta generasi Muslim pada ketika ini.

“Bahkan kebanyakan rancangan tersebut mengandungi  gosip yang menjurus kepada fitnah. Jika infotainment diteruskan dengan format seperti ini, maka infotainment boleh membahayakan kestabilan bangsa yang bermula daripada kerosakan keluarga,” kata  Ni’am yang  juga bergelar Doktor dalam bidang undang-undang syariah.
 
Menurut beliau , pemberita atau wartawan mempunyai tanggungjawab untuk mendidik masyarakat dengan nilai-nilai moral dan kesopanan  serta menghargai peribadi (privacy) seseorang melalui perlindungan hak asasi manusia.
 
“Berita yang ditulis seorang wartawan boleh mempunyai dua aspek, boleh  menjadi pembaik dan boleh  menjadi perosak hubungan masyarakat,” tambah Ni’am yang juga pensyarah di Universiti Islam Negeri Jakarta ini.
 
Selain Depkominfo, Badan Penyiaran Indonesia (PWI) dan Dewan Akhbar juga disaran agar bertindak melakukan pengawalan.
 
“Jadi berita bukan saja mengeksploitasi keganasan, perzinaan, malah  juga pertelingkahan,”kata beliau  yang juga memegang jawatan  sebagai Pengerusi Lembaga Pengajian Agama dan Sosial.

Sementara itu,  Pengerusi Nahdatul Ulama, KH Hasyim Muzadi, menegaskan bahawa tayangan infotainment ghibah atau gosip hukumnya haram. Fatwa haram tersebut adalah berdasarkan keputusan Musyawarah Alim Ulama NU di Johor Bahru, bulan Julai tahun 2006 yang lalu.

Oleh sebab itu, Pengerusi  Nahdatul Ulama  mendesak supaya tayangan infotainment gosip dihentikan kerana rancangan-rancangan yang mendedahkan masalah peribadi dan keluarga orang lain boleh memberi kesan yang buruk bagi masyarakat.

“NU meminta agar tayangan infotainment di media dihentikan, kerana berita tersebut mendedahkan  rahsia keluarga, serta melaga-lagakan hubungan antara ahli keluarga,” kata Hasyim dalam temubual  bersama beliau.

Sebenarnya bukan hanya tayangan infotainment yang harus dihentikan, malah ratusan tayangan yang tidak mendidik juga harus dihentikan dengan segera. Demikianlah, di dalam sistem kapitalisme, televisyen telah menjadi media yang utama  untuk merosakkan generasi muda. Beberapa rancangan termasuk konsert, sinetron, rancangan realiti (reality show) banyak menampilkan perkara-perkara  yang bertentangan dengan syariah yang mengancam generasi muda.

Tibalah masanya, sekularisme kapitalisme dibuang jauh-jauh dan bertukar kepada sistem syariah di bawah naungan Khilafah Rasyidah. Khilafah akan meletakkan media sebagai sumber  pendidikan dan peningkatan kualiti  sumber tenaga manusia, bukan seperti yang dilakukan dalam sistem kapitalisme sekarang ini.