Tun Mahathir Bantu Jentera BN

 
SUNGAI PETANI, 2 April – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijadualkan akan turun membantu jentera Barisan Nasional (BN) pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, dalam tempoh terdekat.   Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien yang mengesahkan perkara itu berkata, kehadiran negarawan berkenaan amat dialu-alukan.  “Tun sudah menyatakan kesediaan untuk bersama kita. Di Bukit Selambau, beliau akan tiba pada hari Isnin tetapi masa belum ditetapkan lagi,” katanya.  Menurut Hishammuddin, kesudian Dr. Mahathir membantu jentera BN pilihan raya kecil kali ini juga mengembalikan kekuatan UMNO dan boleh menangkis tanggapan bahawa BN tidak bersatu. 
“Inilah keramat UMNO dan BN kerana saya rasa bahawa di hati kecil Tun sendiripun, beliau tak mahu orang ramai tertipu dengan dakyah-dakyah kosong,” katanya.   Beliau berkata, kehadiran Dr. Mahathir juga boleh meyakinkan lagi pengundi terutama di Bukit Selambau bahawa rakyat tiada pilihan lain untuk mengecapi pembangunan melainkan memilih UMNO dan BN.

Sumber : Utusan Malaysia, 03/04/09

Dimana akhir-akhir usia mu?

Nampaknya UMNO semakin bersemangat apabila bekas presidennya Mahathir Mohammad dijangka akan turun untuk berkempen di kempen pilihanraya kecil Bukit Selambau. Diberitakan juga beliau akan turut turun berkempen di Bukit Gantang. Nampaknya usia bukan penghalang buat beliau untuk terus berjuang bagi membantu mempertahankan kedudukan UMNO yang nampaknya semakin parah. Satu kejutan memandangkan selama ini beliau sendiri mempertikaikan UMNO dan turut mengisytiharkan keluar dari UMNO.

Hakikatnya, sebagai seorang Muslim, kita perlu melihat untuk apa kita hidup di atas muka bumi ini? Apakah bukan untuk menjadi hamba Allah SWT?  Firman Allah SWT

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu” [Adz Dzariyaat(51):56].

Oleh itu, satu soalan yang sepatutnya beliau fikirkan ialah, apakah usia beliau yang masih berbaki ini akan terus digunakan untuk mempertahankan dan memperjuangkan faham ashobiyyah dan sekular yang menjadi dasar dan perjuangan UMNO selama ini? Mungkin kisah sahabat Rasulullah SAW, Abu Ayub Al Ansari, dapat memberikan iktibarnya kepada kita semua amnya dan khususnya kepada beliau sesuai dengan usinya.

Abu Ayub Al Ansari adalah seorang sahabat dari kaum Ansar. Rasulullah SAW pernah tinggal di rumah Abu Ayub ketika berhijrah ke Madinah. Meskipun umurnya sudah tua, namun Abu Ayub tetap berkeras untuk berangkat berperang untuk menawan kota Konstantinopel. Hatinya sangat yakin dengan Rasulullah SAW dan ingin menagih janji Rasulullah SAW sebagaimana tersebut dalam hadis baginda: “Konstantinople akan jatuh ke tangan seorang pemimpin yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.”  Setelah tiba di Konstantinople tentera Islam bergabung, pasukan dari Mesir diketuai oleh Uqbah bin Amir dan dari Syam diketuai oleh Fudalah bin Ubaid r.a. Barisan tentera Romawi amat besar sekali dengan kelengkapan perang yang jauh lebih hebat. Tentera Islam pun berbaris untuk menghadapi mereka. Tiba-tiba seorang lelaki dari kalangan tentera Islam telah menerjah masuk ke dalam barisan tentera Romawi. Melihat tindakannya itu, tentera-tentera Islam pun berteriak kepadanya:

“Maha Suci Allah! Dia mencampakkan dirinya ke dalam kebinasaan.”  Mendengar kata-kata mereka itu, Abu Ayub Al Ansari segera tampil lalu berkata, “Wahai manusia! Sesungguhnya kamu mentakwilkan ayat ini dengan takwil yang seumpama itu. Kami lebih mengetahui mengenai ayat tersebut. Sesungguhnya ia telah diturunkan kepada kami golongan Ansar. Tatkala Allah menguatkan agama-Nya dan bertambah ramailah pengikutnya, kami telah berkata sesama kami secara rahsia dari pengetahuan Rasulullah SAW: “Sesungguhnya harta-harta kita telah terbiar, adalah elok kita tinggal di sana dan memperbaiki apa yang telah kehilangan dan kerugian terhadap harta-harta tersebut.”  Allah SWT berfirman:

“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” [TMQ Al Baqarah(2): 195]. 

Ada pun kebinasaan itu adalah tinggal bersama kaum keluarga di mana kami telah berkeinginan untuk melakukannya, demi untuk memperbaiki harta benda kami. Maka kami telah diperintahkan untuk keluar berghuzwah (berperang). Demikianlah pendirian Abu Ayub, sebab itulah dia gigih berjuang walaupun umurnya sudah lanjut.  Dalam peperangan membebaskan Konstantinopel itu, syahidlah para syuhada bagai kembang-kembang berseri yang gugur di taman-taman syurga. Pada hari itu bermati-matian Abu Ayub bertempur dari terbit matahari sampai tenggelam. Akhirnya Abu Ayub jatuh sakit, terbaring lesu tidak dapat bergerak lagi. Tentera-tentera Islam datang melawatnya.  Setiap yang datang, akan mendoakan:

“Ya Allah, sihatkanlah ia dan sembuhkanlah ia.” 

Mendengar doa itu, Abu Ayub menoleh kepada mereka dan berkata,

“Jangan doakan begitu. Tapi ucapkanlah, ya Allah, kalau ajalnya sudah dekat, ampunilah ia  dan berilah dia rahmat. Akan tetapi sekiranya ajalnya masih belum tiba, sihatkanlah dia dan sembuhkanlah ia segera dan berilah dia ganjaran.”

Ketika sakitnya semakin tenat, Abu Ayub berwasiat agar jasadnya dikuburkan di benteng Kota Konstantinopel. Diwaktu kematiannya(usianya ketika itu lebih kurang 80 tahun), peperangan masih bergelora. Jenazah sahabat yang mulia itu dibawa ke benteng Konstantinopel untuk dikuburkan. Ternyata beliau bukan orang yang dijanjikan Tuhan untuk menawan kota Konstantinople itu. Namun begitu, pahala untuk beliau tetap diganjari Allah SWT kerana cuba membuktikan Hadis Nabi SAW. Itulah yang menjadi kekuatan Abu Ayub untuk berjihad habis-habisan di kota tersebut. Setelah 800 tahun berlalu, Muhammad Al Fateh berjaya membebaskan kota itu pada tahun 1463M. Beliaulah yang menepati Hadis Nabi SAW tersebut.

Abu Ayub Al Ansari adalah salah seorang yang telah cuba membuktikan kebenaran Hadis Nabi itu. Ini diikuti pula dengan Muhammad Al Fateh dan beliaulah pemimpin yang dijanjikan Allah. Abu Ayub Al Ansari terlibat dalam peperangan menentang kerajaan Rom Byzantine sejak mula perjuangan hinggalah ke zaman pemerintahan Muawiyah. Beliaulah yang diisyaratkan oleh baginda dalam hadisnya yang bermaksud: 

“Seorang lelaki yang soleh akan syahid dan akan dikuburkan di bawah kubu kota Konstantinopel”. 

Apakah kita juga menjadikan Hadis Nabi SAW sebagai pendorong untuk mengakhiri kehidupan kita ini sebagaimana sahabat Abu Ayub Al Ansari? Ataukah kita menjadi penerus kepada legasi Lord Reid?