Wahai ‘ulama’, maksiat bukan hanya di bulan Ramadhan!

altKonsert Michael Learns To Rock: Jamil Khir tegur penganjuran pada bulan Ramadan
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom hari ini menegur penganjur konsert Micheal Learns to Rock kerana menganjurkan konsert itu pada bulan Ramadan.  Beliau berkata tindakan penganjur meneruskan konsert itu Sabtu ini di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang tidak menghormati bulan Ramadan dan tidak peka dengan sensitiviti umat Islam di negara ini.   “Sewajarnya mereka peka apabila di bulan Ramadan yang mulia lagi suci ini umat Islam menjalani ibadah puasa pada waktu siangnya dan ibadah terawih dan tadarus pada malamnya,” katanya dalam kenyataan di sini.   Jamil Khir berkata teguran beliau itu harus dilihat selaras dengan semangat 1Malaysia demi perpaduan dan kesejahteraan semua pihak. BERNAMA

Sumber: mStar Online 02/09/09

Islam Adalah Fikrah Dan Thariqah Bukan Hanya Sekadar Nasihat Dan Bimbingan

Sejauh mana teguran Jamil Khir akan mampu untuk menghentikan konsert maksiat ini? Islam bukanlah anti hiburan tetapi Islam anti maksiat. Namun, jika kita perhatikan, maksiat datang dalam pakej yang sama dengan hiburan yang berlangsung di mana sahaja saat ini. Inilah perkara yang perlu kita fahami. Justeru itu, sebagai negara yang dikuasai dan diperintah oleh pemimpin yang beragama Islam, maka sudah semestinya perkara-perkara hiburan yang bercampur dengan maksiat ini tidak sewajarnya boleh berlangsung, tidak kira samada oleh artis luar negara mahupun tempatan. Pencegahan maksiat ini bukanlah hanya wajib dilakukan di bulan Ramadhan sahaja, malah ia wajib dihalang dan diberhentikan tanpa mengira masa atau tempat. Malangnya, saat ini kita dapat menyaksikan seolah-olah ada double standard dalam menangani isu seumpama ini. Kenapa konsert  Michael Learns To Rock [MLTR] sahaja yang ditegur dan teguran itu dikaitkan dengan bulan Ramadhan? Apakah kalau dianjurkan di luar bulan Ramadhan konsert maksiat ini boleh diadakan? Bagaimana pula dengan konsert anjuran TV3? Bagaimana dengan konsert anjuran TV9? Dan bagaimana dengan puluhan, malahan mungkin ribuan konsert yang diadakan samada oleh artis tempatan mahupun luar di seluruh negara? Di sinilah pemahaman terhadap Islam sebagai satu cara hidup yang terdiri daripada fikrah dan thariqah itu sangat-sangat diperlukan.

Islam bukanlah sekadar suatu bentuk pemikiran semata-mata. Setiap pemikiran yang lahir dari Islam itu mempunyai kaifiyyah (jalan,cara) yang bersifat baku dan berbentuk fizikal untuk diterapkan oleh negara. Inilah yang dimaksudkan dengan thariqah. Islam juga bukanlah sekadar memberi nasihat dan kaunseling semata-mata sebagaimana yang banyak berlaku hari ini. Islam bukanlah hanya mengatakan bahawa “ini” halal dan “itu” haram dari segi “fikrahnya” semata-mata namun Islam juga telah menentukan hukuman terhadap perlanggaran ”fikrah” tersebut.  Amat malang apabila kita melihat Jamil Khir cuba untuk mengaitkan semangat 1Malaysia dalam teguran beliau terhadap penganjuran konsert itu. Sebagai seorang muslim, tanpa mengira kedudukannya, beliau berkewajiban untuk memikul tugas yang mulia dalam melakukan amar makruf dan nahi mungkar ini. Dan tugas mulia ini sewajarnya dilakukan semata-mata bagi mentaati dan mematuhi perintah Allah SWT dan tidak ada kaitan apa pun dengan 1Malaysia sebenarnya. Sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah kemungkaran itu dengan tangannya. Andai tiada keupayaan, maka lakukan dengan lisannya. Andai tiada juga keupayaan, maka lakukan ia dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman” [HR:Muttafaq ‘alayh].

Apakah mungkin kerana semangat 1Malaysia ini jugalah agaknya teguran beliau itu hanya sekadar untuk perkara-perkara “kulit” bukan kepada “isi”nya?. Wahai Jamil Khir! Kini kuasa ada di tangan kamu….gunakanlah kuasa ini untuk meraih kedudukan yang paling mulia disisi Allah SWT!!