Wang rakyat dibazirkan dengan cukup mudah di bawah pemerintahan Kapitalis
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed meminta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menjelaskan tindakan membelanjakan RM92.67 juta bagi menganjurkan 10 acara pelancongan mega tahun lalu serta pertindihan skop kerja antara kontraktor dan penganjuran acara yang tidak mencapai matlamat. Menurut sumber yang melaporkan, perbelanjaan yang terlibat dalam pengurusan acara oleh kementerian itu adalah RM78.86 juta pada 2011, RM69.24 juta (2012) dan RM89.94 juta (2013) berbanding dengan tahun 2014 sebanyak RM92.67 juta.
Sudah tidak terkata pembaziran dan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan, tidak kira dalam sektor apa pun. Jumlah ratusan juta yang dihanguskan untuk acara yang langsung tidak berfaedah dari segi syarak, hanya ibarat menghanguskan ratusan ringgit sahaja bagi pemerintah! Tatkala negara sedang dihimpit hutang sebanyak lebih RM800 bilion dengan keadaan ekonomi yang menyengsarakan rakyat, pembaziran oleh pemerintah terus berlaku seperti air yang mengalir.
Bukannya mereka tidak tahu yang pembaziran adalah amalan syaitan dan walau satu sen sekalipun yang mereka belanjakan, jika ia dibelanjakan ke arah kemaksiatan (menyalahi syarak), maka ia adalah pembaziran yang diharamkan oleh Islam. Rakyat bukan main lagi disarankan supaya berjimat cermat dan berhemah dalam berbelanja, sedangkan pemerintah berbelanja sewenang-wenangnya! Inilah bapa ketam yang cuba mengajar anaknya berjalan dengan betul. Inilah yang dapat kita saksikan apabila urusan pemerintahan diletak kepada bukan ahlinya. Amanah telah tercabut dari mereka dan yang tinggal hanyalah pengkhianatan terhadap amanah tersebut satu demi satu.
Para Khalifah yang terdahulu seperti Khalifah Umar Abdul Aziz sepatutnya dijadikan contoh dalam pemerintahan. Di antara perubahan awal yang dilakukan saat pemerintahannya ialah mengambil kembali harta-harta yang disalahgunakan oleh keluarga Khalifah sebelumnya dan mengembalikannya ke Baitul Mal, memecat pegawai-pegawai yang tidak cekap dan menyalahgunakan kuasa dan memecat pegawai yang tidak layak yang dilantik atas pengaruh keluarga Khalifah, menghapuskan jawatan pegawai peribadi bagi Khalifah dan banyak lagi.
Langkah-langkah yang diambil Umar bin Abdul Aziz ini bukan sahaja untuk mengelakkan pembaziran dan penyelewengan, malah yang lebih penting untuk menunaikan amanah yang Allah telah letakkan atas bahunya sebagai pemerintah. Insan yang hebat ini akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah memerintah selama 2 tahun 5 bulan dengan begitu banyak pembaikan yang telah beliau lakukan. Dalam tempoh tersebut, Daulah Khilafah semakin kuat, tiada huru-hara dalaman, ekonomi dan kehidupan rakyat penuh dengan kesejahteraan sehingga Baitul Mal dilimpahi harta zakat dek tiada yang layak menerimanya.
Terbalik dengan pemerintah hari ini yang kerjanya adalah mengaut sebanyak mungkin keuntungan negara untuk manfaat peribadi dan kesenangan dunia semata-mata tanpa memperhitungkan halal dan haram dan tanpa rasa takut bahawa segala pembaziran dan penyelewengan yang dilakukannya akan dihisab oleh Allah SWT di akhirat kelak.
Kita tidak seharusnya menunggu munculnya pemerintah seperti Khalifah Umar Abdul Aziz, tetapi wajib mengusahakan kewujudannya dengan bergerak menegakkan Khilafah yang dengannya segala harta negara dan hak umat akan diuruskan berlandaskan perintah dan larangan Allah SWT.