9 Melayu terkaya di Malaysia, apa yang boleh dibanggakan?
Mengikut maklumat terbaru yang dikumpul oleh majalah perniagaan, Forbes yang menyenaraikan 50 orang terkaya di Malaysia dan 9 daripadanya adalah berbangsa Melayu. Berikut ialah senarai nama mereka dengan jumlah kekayaan dan karier masing-masing:-
1) Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary – AS$2.9 bilion (RM10.44 bilion) – Seorang ahli perniagaan terutamanya menerusi syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, iaitu MMC Corp. dan DRB-Hicom. Selain itu, perniagaannya turut meliputi industri tenaga, perladangan, pelabuhan dan pembekalan pertahanan.
2) Tan Sri Azman Hashim – AS$865 juta (RM3.11 bilion) – Mengetuai perbankan AmBank Group.
3-4) Dua beradik Tan Sri Shahril Shamsuddin dan Datuk Shahriman Shamsuddin – AS$860 juta (RM3.10 bilion) – Taikun minyak dan gas (O&G) menerusi syarikat penyedia perkhidmatan O&G, SapuraKencana Petroleum Bhd. (SapuraKencana).
5) Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim – AS$740 juta (RM2.66 bilion) – Pemilik syarikat perkhidmatan helikopter, Weststar Aviation yang memberi tumpuan kepada sektor O&G. Antara syarikat-syarikat yang menggunakan perkhidmatannya ialah Petronas Carigali, Shell dan Tullow Oil.
6) Tan Sri Mokhzani Mahathir – AS$700 juta (RM2.52 bilion) – Baru meletakkan jawatan daripada Lembaga Pengarah SapuraKencana, tetapi masih mengekalkan 9.12 peratus kepentingan dalam syarikat itu menerusi syarikat Khasera Baru.
7) Ahmayuddin Ahmad – AS$600 juta (RM2.16 bilion) – Pengasas syarikat pelabuhan di Pelabuhan Klang, Westports Holdings.
8) Datuk Kamarudin Meranun AS$540 juta (RM1.94 bilion) – Pengerusi Eksekutif AirAsia Bhd.
9) Datuk Abdul Hamed Sepawi – AS$255 juta (RM918 juta) – Terlibat dalam industri pembalakan menerusi syarikatnya, Ta Ann Holdings. Selain itu, beliau turut terlibat di dalam sektor kelapa sawit, pembinaan dan O&G.
Mengikut senarai penuh 50 individu terkaya itu, Tan Sri Robert Kuok berada di kedudukan teratas dengan kekayaan AS$11.3 bilion (RM40.7 bilion) dengan asetnya menerusi syarikat PACC Offshore Services Holdings dan Wilmar International. Tempat kedua ialah T. Ananda Krishnan dengan kekayaan bernilai AS$9.7 bilion (RM34.9 bilion) menerusi jenama perniagaan Astro dan Maxis.
Mungkin bagi para pejuang bangsa, adanya orang Melayu yang kaya-raya seperti ini amat membanggakan. Namun, apakah kesimpulan yang dapat kita tarik dari realiti ini?:-
Pertama; Senarai orang-orang terkaya ini merupakan fenomena biasa dalam sebuah negara Kapitalis yang dikeluarkan dari masa ke semasa. Hanya di negara yang menganut ideologi Kapitalisme sahaja fenomena ini dapat disaksikan kerana ideologi yang berasal dari Barat ini membenarkan individu (dan kerajaan) untuk memiliki harta dari pemilikan umum dan juga termasuk dari sumber-sumber yang diharamkan Islam seperti perniagaan yang berasaskan riba, saham dan monopoli.
Dalam Islam, haram untuk individu memiliki harta milik umum sebagaimana haramnya individu mengembangkan harta melalui jalan yang batil. Harta milik umum seperti minyak, gas dan balak merupakan harta yang wajib dikelola oleh negara dan negara wajib membahagikan hasil keuntungannya kepada setiap individu rakyat. Islam juga mengharamkan penganutnya untuk memperoleh keuntungan dari riba, saham dan monopoli. Dengan kata lain, dalam sebuah Negara Islam yang mengamalkan ideologi Islam, tidak akan ada sistem perbankan berteraskan riba, pasaran saham, monopoli (ihtikar) dan semua bentuk keharaman lainnya.
Kedua; Setiap individu yang memiliki kekayaan yang melimpah-ruah yang disimpannya tanpa sebarang keperluan, walau diperolehi dengan cara halal sekalipun, perbuatannya itu adalah haram kerana termasuk dalam kanzul mal (menimbun harta). Menimbun wang diharamkan oleh Islam dengan nas yang tegas. Allah SWT berfirman,
“Orang-orang yang menimbun emas dan perak dan tidak menafkahkannya di jalan Allah, beritahulah mereka, (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih. Pada hari dipanaskan emas dan perak itu dalam neraka Jahanam, lalu dibakar dengannya dahi, lambung dan belakang-belakang mereka” [TMQ at-Taubah (9):35].
Pada saat ayat ini turun, emas dan perak ketika itu menjadi alat tukar (medium of exchange) yang menunjukkan larangan tersebut ditujukan pada emas dan perak dalam kedudukannya sebagai alat tukar (wang).
Perlu dibezakan di sini antara penimbunan (kanz / hoarding) wang dengan simpanan (idkhar / saving). Penimbunan bererti mengumpulkan wang tanpa ada keperluan dan ia akan menarik wang dari pasaran. Adapun menabung adalah mengumpulkan wang kerana adanya keperluan, seperti untuk membina/membeli rumah, kenderaan, untuk berkahwin, membuka perniagaan, pergi haji atau sebarang keperluan lain. Simpanan atau menabung dibolehkan oleh Islam, tetapi kanzul mal diharamkan.
Setiap Muslim wajib memastikan yang pendapatannya diperolehi dari sumber yang halal dan dimanfaatkan untuk hal-hal yang halal. Dalam dunia Kapitalisme hari ini, kita bukan sahaja dikelilingi dengan banyak transaksi yang haram, malah ketidakadilan ekonomi yang amat parah. Tidak salah jika ada yang mengatakan bahawa dalam negara Kapitalis 90% kekayaan hanya dimiliki oleh 10% individu. Kerana itulah, sistem Kapitalis yang kufur ini wajib diganti dengan sistem Islam sepenuhnya, barulah keadilan dan keberkatan dapat dirasai.
Sumber: utusan.com.my