Robert Kuok kekal terkaya

SINGAPURA, 22 Mei – Taikun Malaysia, Tan Sri Robert Kuok terus mengekalkan kedudukannya mendahului individu terkaya Malaysia dalam senarai orang terkaya terbaru oleh Forbes Asia. Menurut Forbes Asia, Kuok, 84, yang memiliki banyak perniagaan, termasuk hartanah di Hong Kong dan kepentingan media dan paling ketara ialah syarikat gergasi minyak sawit Wilmar, telah berjaya meningkatkan nilai bersih asetnya daripada AS$2.4 bilion tahun lepas kepada mencecah AS$10 bilion.
Senarai kedudukan terbaru ini turut menyaksikan Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Corp. menyertai kelab bilionair, kata Forbes Asia dalam satu kenyataan hari ini. Terdapat 10 bilionair dalam senarai tahun ini. Tan, yang naik dari tangga ke-14 ke tempat kesembilan, mempunyai nilai bersih aset AS$1.3 bilion, menambah hampir AS$1 bilion dari tahun lepas. Forbes Asia berkata, syarikat Tan, Berjaya Corp., telah menongkah arus dengan harga sahamnya mengembang hampir tiga kali ganda sejak 12 bulan lepas. Tan menguasai lebih AS$4 bilion — dengan jualan yang digabungkan rangkaian perusahaan melibatkan industri seperti pertaruhan/perjudian, media, telekom, produk pengguna dan runcit serta hartanah.

Masih kekal di tempat kedua ialah Ananda Krishnan yang menerajui syarikat telekomunikasi, Maxis. Tetapi kekayaannya menurun kepada AS$7.2 bilion, iaitu kurang AS$200 juta daripada tahun lepas. Individu ketiga terkaya dalam senarai ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan IOI Corporation, Tan Sri Lee Shin Cheng yang menduduki tempat keempat tahun lepas tetapi dengan melonjaknya prestasi gergasi perladangan kelapa sawit dari segi nilai, kekayaannya telah meningkat daripada AS$1.6 bilion kepada AS$5.5 bilion, kata Forbes Asia. Kemasukan baru paling tinggi ialah Puan Sri Lee Kim Hua, balu kepada taikun perjudian terkenal Tan Sri Lim Goh Tong yang berada di tempat ketiga tahun lepas tetapi meninggal dunia pada Oktober. Beliau dan keluarganya bernilai AS$3.4 bilion dan menduduki tempat kelima. Malah, anaknya, Tan Sri Lim Kok Thay, yang menguruskan Genting, yang disenaraikan secara berasingan dengan memiliki AS$345 juta, menduduki tempat ke-15. Kim Hua adalah antara tiga wanita i dalam senarai bersama-sama dengan pengerusi Selangor Properties, Puan Sri Chong Chook Yew di tempat ke-24 (AS$245 juta), dan anakanda perempuan Sultan Perak, Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah di tempat ke-35 (AS$150 juta).

Antara pendatang baru ialah Datuk Nazir Tun Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB dan anak lelaki bongsu Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Nazir berjaya mendapatkan tempat ke-40 sebagai individu terakhir terkaya Malaysia dalam senarai 40 senarai terkaya Forbes Asia dengan nilai bersih AS$100 juta. Kekayaan secara kolektif kesemua 40 individu terkaya ialah AS$46 bilion, meningkat AS$3 bilion daripada tahun lepas. Sementara 16 individu berjaya menambah kekayaan mereka, 18 yang lain menyaksikan penurunan dengan tujuh daripada mereka kehilangan sekurang-kurangnya satu perempat daripada kekayaan mereka. Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, taikun Melayu paling kaya dan seorang bilionair, turun satu anak tangga dari tempat ketujuh ke tempat kelapan selepas nilai bersih asetnya berkurangan sebanyak AS$200 juta kepada AS$1.8 bilion.

Sumber: Bernama

Ulasan:

Inilah bukti betapa cacatnya Sistem Kapitalis yang beraqidahkan Sekularisme yang telah mewujudkan jurang yang begitu jauh antara umat manusia. Bayangkan, jumlah kekayaan 40 individu ini mewakili lebih 30% kekayaan Malaysia walhal pada masa yang sama ada insan lain yang merintih simpati, serba kekurangan. Wajarkah kita melihat kekayaan yang mereka miliki ini sebagai suatu kejayaan bagi kita juga?? Patutkan mereka disanjung kerana kejayaan mereka berlumba-lumba menimbun harta hasil dari sistem yang berat sebelah ini?

Sesungguhnya, di sebalik kekayaan mereka tersembunyi kepincangan sistem yang membenarkan monopoli dan kepemilikan harta milik umat menjadi milik individu-individu yang rakus mengambil kesempatan atas kelompongan ini. Sebagai contoh, kebenaran untuk memonopoli industri gula telah menjadikan Robert Kuok terus dapat menimbun hartanya sehingga tidak habis dimakan walaupun oleh puluhan malah ratusan generasi! Senario ini sudah pasti tidak akan wujud di dalam negara Khilafah yang menjadikan Islam sebagai landasan ekonomi Negara. Ekonomi Islam telah menggariskan jenis pemilikan bagi seseorang individu dan Islam juga mengharamkan monopoli. Malahan Islam juga mengharamkan individu dari menimbun hartanya tanpa tujuan walaupun jumlahnya hanya 1 dinar sahaja.

Ini sangat berbeza dengan situasi yang kita lihat hari ini. Islam membenarkan individu untuk menambahkan kekayaan, namun mengharamkan penimbunan kekayaan. Pada masa yang sama, Islam memastikan bahawa setiap individu rakyat mendapat jaminan keperluan asas dan hak masyarakat. Islam mewajibkan zakat bagi Muslim yang kaya sebagai satu ibadah dan jalan agar harta dan kekayaan dapat dialirkan kepada yang memerlukan. Sistem ekonomi hebat yang diasaskan kepada aqidah Islam ini hanya akan dapat direalisasikan apabila berdiri Daulah Khilafah yang akan menerapkan Islam secara kaffah!