Seruan perpaduan ummah dalam cengkaman demokrasi: Atas dasar undi atau akidah?

Bahang PRN Johor dan Negeri Sembilan sudah semakin terasa. Pelbagai pengisytiharan telah dilakukan oleh parti-parti politik yang bakal bertanding. Ada parti yang merasakan dirinya hero, lalu dengan lantang menjerit mahu bergerak solo dengan melupakan semua jasa rakan kongsi sebelum ini. Ada pula parti yang memilih untuk bercerai dengan pasangan yang didakapnya selama ini, dan ada pula parti serpihan baru yang ingin masuk gelanggang dengan penuh keyakinan.

Demikianlah sifat dan sikap parti-parti politik demokrasi yang tidak pernah ada pendirian, kecuali manfaat dan kekuasaan yang sentiasa menjadi buruan. Kawan boleh ditendang dan dijadikan musuh bila perlu, manakala musuh boleh diajak berbaik dan dijadikan kawan bila perlu. Semuanya demi manfaat dan kekuasaan yang menjadi satu-satunya perjuangan dan pegangan yang tidak pernah berubah.

Atas perpecahan yang sudah tidak boleh dielak sesama mereka, anehnya pihak yang sama menyeru kepada perpaduan ummah. Tidak dinafikan bahawa seruan kepada perpaduan ummah merupakan seruan yang mulia bahkan wajib. Cuma, persoalannya kenapa seruan ini hanya bergema di saat pilihan raya? Dan kenapa perpaduan ummah yang diseru itu hanya ditujukan kepada parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya? Dan perpaduan ummah atas dasar apa sebenarnya yang menjadi objektif seruan?

Setiap kali menjelang pilihan raya, umat Islam sering disajikan dengan pelbagai retorik politik oleh parti-parti yang akan bertanding. Oleh kerana seruan seperti ini sifatnya bermusim, dan amat jelas ditujukan hanya kepada kelompok-kelompok tertentu sahaja, maka umat Islam seharusnya membuka mata dan menilai sejauh mana kebenaran dan keikhlasan seruan seperti ini.

Adakah perpaduan yang dicanangkan ini merupakan perpaduan hakiki atas dasar akidah Islam, atau sekadar seruan kosmetik politik demi survival di peti undi?:

  1. Ikatan Pragmatisme vs Ikatan Akidah

Dalam sistem demokrasi-kapitalisme, parti-parti politik yang bergelumang di dalamnya, walaupun kelihatan ikhlas, akan terus terperangkap dalam sangkar pragmatisme. Ini kerana, parti-parti politik demokrasi didirikan untuk tujuan bertanding dalam pilihan raya dan seterusnya meraih kekuasaan. Jadi, segala objektif, seruan dan tindakan parti-parti politik ini hanya membawa kepada tujuan akhir mereka iaitu undi dan kekuasaan.

Atas dasar itu, pabila wujud kepentingan untuk mendapatkan undi, maka mereka akan menyeru kepada penggabungan dan perpaduan. Begitu juga apabila penggabungan dan perpaduan tersebut perlu bagi membentuk kerajaan, maka parti-parti ini akan bersatu dan menjaja naratif perpaduan.

Oleh kerana tujuan akhir mereka ialah undi dan kekuasaan, atas dasar itulah kita menyaksikan yang parti-parti politik demokrasi tidak akan menghalakan seruan perpaduan mereka kepada parti-parti atau kelompok yang anti-demokrasi atau yang tidak terlibat dalam pilihan raya. Bahkan mereka sering mencemuh kelompok Muslim yang tidak mahu terlibat dalam pilihan raya atau yang tidak mahu keluar mengundi.

Dari sini amat jelas bahawa slogan atau seruan “perpaduan ummah” yang dilaungkan hakikatnya bukanlah murni lahir daripada akidah Islam, sebaliknya ia lahir daripada pragmatisme politik, maslahat atau kepentingan duniawi yang ingin diraih oleh parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya.

  1. Ikatan Assabiyyah

Antara malapetaka besar yang menimpa umat Islam sejak runtuhnya Khilafah ialah kewujudan negara-negara bangsa hasil penjajahan dan kemerdekaan palsu yang diberi oleh Barat. Natijah kemudiannya ialah wujudnya satu ‘sistem politik’ di negara-negara kaum Muslimin yang mengajar umat Islam untuk melihat penyatuan dan perpaduan hanya dalam kerangka bangsa dan negara bangsa (nation-states) yang diwariskan oleh kafir penjajah.

Inilah bentuk perpaduan yang sebenarnya dicanangkan oleh parti-parti politik demokrasi iaitu perpaduan atas dasar persamaan bangsa dan terbatas di dalam sempadan negara. Atas dasar itu, parti-parti politik ini tidak akan menyeru perpaduan dengan orang-orang Rohingya walaupun mereka adalah Muslim; atau perpaduan dengan orang-orang Bangladesh walaupun mereka juga adalah Muslim; perpaduan dengan orang-orang Indonesia walaupun mereka juga adalah Muslim, dan seterusnya dan seterusnya.

Perpaduan ummah yang mereka serukan hanyalah sebuah perpaduan yang sangat sempit kerana asasnya ialah assabiyyah (perkauman). Kenapa perpaduan ummah yang mereka serukan itu tidak termasuk orang-orang lain selain bangsa Melayu berkewarganegaraan Malaysia? Jawapannya mudah sahaja – kerana orang-orang lain itu, walaupun Muslim, dan walaupun merupakan sebahagian daripada umat Islam, mereka tidak ada hak mengundi di negara ini.

Inilah perkara yang terlihat jelas daripada seruan perpaduan yang dilaungkan, Jika parti-parti politik ini mempunyai sedikit roh Islam dan secebis keikhlasan, nescaya mereka akan menyeru kepada perpaduan ummah merentas bangsa dan merentas sempadan. Ini kerana, nilai maruah, darah dan nyawa seorang Rohingya Muslim sesungguhnya sama sahaja dengan seorang Melayu Muslim, dan sama sahaja dengan Arab Muslim, Cina Muslim dan India Muslim. Semuanya merupakan umat Islam, umat Muhammad – umat yang satu, yang tidak dibezakan oleh Penciptanya kecuali kerana takwa.

  1. Akidah Islamiyyah: Teras Perpaduan Hakiki

Perpaduan ummah yang sebenar ialah atas dasar akidah. Inilah satu-satunya ikatan yang mempersatukan umat Islam, yang menjadikan umat Islam itu bersaudara dan yang menjadikan umat Islam itu sama sahaja dari segi kewajipan, hak, maruah, harta, darah dan nyawa mereka. Inilah satu-satunya ikatan yang Allah (swt) perintahkan untuk umat Islam berpegang teguh dengannya:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai” [Ali Imran (3): 103].

Ikatan akidah ini adalah ikatan yang kekal, tidak berubah mengikut kepentingan, tempat, masa dan musim. Ikatan ini tidak luntur dan tidak boleh luntur dek pilihan raya atau perebutan kuasa. Ikatan inilah yang telah mempersatukan Muhajirin dan Ansar, mempersatukan Arab, Parsi dan Habsyi. Inilah ikatan perpaduan ummah yang sebenar yang seharusnya diserukan oleh parti-parti politik, dan juga oleh setiap Muslim.

  1. Daulah Khilafah: Institusi Pemersatu Umat yang Sebenar

Selagi parti-parti politik membelenggu diri mereka dalam negara-bangsa dan sistem demokrasi-sekular, maka selagi itulah seruan “perpaduan ummah” menjadi sebuah kempen yang akan dikitar semula setiap kali pilihan raya. Demokrasi tidak akan membenarkan umat Islam bersatu rentas-bangsa dan rentas-sempadan, kerana sistem kufur ini sememangnya dicipta untuk memastikan umat Islam tidak akan bersatu dalam erti kata yang sebenar.

Perpaduan ummah yang hakiki tidak akan terjadi tanpa sebuah institusi politik yang melaksanakannya. Institusi tersebut bukanlah negara bangsa yang lahir dari rahim penjajah, tetapi Daulah Khilafah yang lahir dari akidah Islamiyyah.

Khilafah akan mempersatukan seluruh umat Islam, tanpa mengira bangsa atau tempat, dari ufuk timur hingga ke ufuk barat di bawah kepimpinan seorang Khalifah. Ia akan meruntuhkan kesemua sempadan ciptaan penjajah, dan menjadikan umat Islam sebagai umat yang satu dengan hak dan kewajipan yang sama. Khilafah akan menerapkan syariat Islam secara kaffah dalam semua aspek kehidupan – pemerintahan, ekonomi, pergaulan, pendidikan, luar negara, uqubat dan lain-lain.

Kesimpulan

Setiap Muslim seharusnya sedar bahawa perjuangan untuk mempersatukan ummah tidak akan pernah terealisasi di bawah sistem demokrasi. Selagi matlamat parti-parti politik ialah undi dan kuasa, maka selagi itulah seruan yang mereka laungkan hanyalah sebuah retorik. Perpaduan ummah yang sebenar tidak akan terealisasi di bawah sistem yang telah terbukti memecah-belahkan umat Islam, tetapi insya Allah akan terealisasi di bawah naungan Khilafah. Ia telah terbukti selama lebih 1300 tahun, dan insya Allah akan kembali menjadi bukti untuk kali yang kedua.

Wallahu a’lam.