Konsert The Weeknd: Masalahnya bukan sekadar pada patung atau unsur pemujaan

Konsert The Weeknd di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November lalu sekali lagi mencetuskan kemarahan sebahagian umat Islam apabila persembahannya menampilkan patung seksi robot wanita gergasi berwarna emas serta penari berjubah merah yang dikatakan mempunyai unsur ritual dan pemujaan. Setelah isu tersebut kecoh barulah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kemudian mengumumkan bahawa JAKIM sedang bekerjasama dengan PUSPAL untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Ini bukan kali pertama persembahan kontroversi artis antarabangsa berlaku di Malaysia. Persembahan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 mencetuskan kontroversi besar apabila penyanyinya mengkritik undang-undang ELGIBITI di Malaysia, meminum arak dan berkucupan sesama lelaki di atas pentas. Konsert Coldplay pada tahun yang sama pun terpalit kontroversi apabila kumpulan penyanyi yang terkenal pro ELGIBITI itu dialu-alukan sendiri kedatangannya oleh Perdana Menteri Malaysia. Demikian juga dengan konsert Ed Sheeran yang jelas-jelas pendukung ELGIBITI, turut dibenarkan, bahkan Menteri Komunikasi dengan bangga menyatakan bahawa terdapat 16 agensi yang terlibat dalam meluluskan konsert tersebut termasuk JAKIM.

Untuk tahun ini (2026) sahaja, kerajaan Madani sejak awal telah pun meluluskan penganjuran “KL Headline Season 2026” yang menghimpunkan 25 persembahan artis antarabangsa secara besar-besaran di ibu negara. Pendek kata, deretan konsert maksiat terus memenuhi pelbagai lokasi utama di ibu negara, dengan sebahagiannya di bawah penganjur yang sama, dan diluluskan oleh kerajaan melalui agensi yang sama. Konsert maksiat terus berlangsung tidak kira di zaman Madani mahupun kerajaan sebelumnya, semuanya sama sahaja.

Persoalannya, kenapa kontroversi demi kontroversi terus berulang walaupun pelbagai garis panduan dan mekanisme kelulusan telah diwujudkan? Jawapannya kembali kepada siapa yang berkuasa dan keuntungan yang bakal diperolehi! Garis panduan hanya sekadar formaliti, menjadi pemanis mulut pemimpin dan pihak berkuasa agama ketika berbicara dan menjadi penutup mulut untuk sang pengkritik.

Dalam Dewan Rakyat pada November 2023, kerajaan sendiri mendedahkan bahawa PUSPAL telah meluluskan 296 persembahan artis luar negara bagi tahun itu. Kerajaan juga pernah menegaskan bahawa stadium kebangsaan akan terus menjadi lokasi konsert kerana itu cara terbaik menjana pendapatan. Bahkan, kerajaan Madani dengan jelas ingin menjadikan Kuala Lumpur sebagai hub konsert artis-artis antarabangsa, cubaan untuk mengambil alih Singapura yang memegang kedudukan tersebut.

Dengan pendirian kerajaan seperti itu, sudah tentu hukum Allah tidak ada tempatnya dalam membuat keputusan. Faktor penentu ialah keuntungan dan hiburan, bukannya halal dan haram. Di negara ini, umum mengetahui bahawa aspek halal-haram hanya menjadi ukuran dan sangat sensitif dalam bab makanan dan minuman sahaja. Dalam aspek lain seperti konsert, apa yang diambil kira hanyalah poket kerajaan, yang mesti sentiasa penuh.

Sangat menyakitkan apabila kesemua konsert yang dianjurkan di sepanjang tiga tahun lepas, berlangsung di saat Gaza berlumuran darah, di saat puluhan riba nyawa umat Islam melayang akibat kekejaman entiti Yahudi, di saat warga Gaza kelaparan dan kehausan dan di saat mereka menjerit meminta tolong daripada pemimpin kaum Muslimin! Inikah pemimpin, inikah negara yang katanya prihatin dengan nasib Gaza?

Apa Peranan Pihak Berkuasa Agama?

Sungguh aneh apabila JAKIM yang berada dalam Jawatankuasa PUSPAL seolah-olah tidak mengetahui yang konsert The Weeknd tersebut mempersembahkan patung perempuan emas gergasi dan persembahan penari bertopeng dengan berpakaian merah dalam keadaan gelap seperti suasana pemujaan. Apakah pihak penganjur tidak perlu memaklumkan perincian acara mereka kepada PUSPAL?

Adakah pihak JAKIM tidak pernah membuat sedikit penyelidikan bahawa patung robot gergasi karya Hajime Sorayama itu telah menjadi hiasan pentas utama (centrepiece) dalam siri jelajah After Hours Til Dawn Tour sejak tahun 2023, sebelum diperkenalkan dalam versi emas pada 2025, lalu dibawa ke Kuala Lumpur pada 2026? Persembahan patung dan acara seperti pemujaan tersebut telah pun berlangsung di beberapa negara sebelum ini. Apakah JAKIM tidak peka sedikit pun akan hal ini?

Sebagai sebahagian daripada Jawatankuasa PUSPAL, JAKIM tidak boleh berlepas diri atau memberi alasan tidak tahu. JAKIM bukan penonton. JAKIM ialah institusi yang bertanggungjawab terhadap pematuhan hukum. Apakah pandangan JAKIM ketika permohonan dan aturcara persembahan dibentangkan? Jika ada bantahan dari JAKIM, mengapa kelulusan tetap diberikan? Jika tiada bantahan, apa asas penilaian JAKIM dalam memberi kelulusan? Soalan ini mesti dijawab secara terbuka dan telus, bukan disapu di bawah permaidani siasatan.

Selain itu, rakyat juga mahu mendengar suara ketua agama dalam isu ini. Rakyat tertanya-tanya di mana suara mufti yang begitu ramai di Malaysia, yang selama ini lantang bersuara dan mengeluarkan fatwa jika melibatkan rakyat. Ada Mufti yang kelihatan cuba menasihati umat Islam agar berhati-hati dengan konsert seperti itu. Namun, rakyat ingin tahu dan ingin lihat di manakah fatwa mereka ke atas konsert itu sendiri, ke atas mereka yang hadir, ke atas wang yang diperolehi oleh kerajaan hasil dari konsert itu, dan yang paling utama ialah di mana fatwa mereka ke atas kerajaan yang telah meluluskannya?

Di manakah suara pihak berkuasa agama yang selama ini tidak putus-putus membekalkan teks khutbah kepada masjid-masjid mengingatkan umat Islam akan bahaya ancaman akidah di negara ini, bahaya ajaran sesat, bahaya ajaran yang bertentangan dengan Ahlu Sunnah wal Jamaah dan sebagainya?

Rakyat tertanya-tanya di manakah dalam ajaran akidah Imam al-Asy’ari  dan Imam al-Maturudi yang membenarkan konsert dengan patung gergasi wanita bogel seperti berhala itu dipersembahkan, yang membenarkan artis-artis bertopeng dan berjubah merah melakukan persembahan seperti pemujaan? Adakah konsert seperti ini tidak bertentangan dengan ajaran akidah dua Imam besar tersebut?

Di manakah di dalam ajaran fiqh Imam Syafie yang membenarkan konsert maksiat sebesar itu, membenarkan acara yang bercampur gaul antara lelaki-perempuan, hiburan melampau, gaya hidup hedonisme, meniru orang-orang kafir dan pelbagai kemungkaran lagi? Wujudkah “penyucian jiwa” yang dikehendaki Islam sebagaimana ajaran Imam Ghazali dan Junaid al-Baghdadi dalam konsert seperti itu, sehingga ia diluluskan?

Pendek kata, rakyat ingin tahu di manakah dalam konsert The Weeknd itu yang mematuhi dan sesuai dengan ajaran Ahlu Sunnah wal Jamaah sehingga ia dihidangkan kepada rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam dan berpegang kepada Ahlu Sunnah wal Jamaah?

Kita telah menyaksikan sebelum ini yang JAKIM sering “berselindung” di sebalik siasatan. Apabila rakyat marah, JAKIM kata akan siasat, dan rakyat tidak pernah tahu apakah hasil siasatan, jauh sekali untuk melihat mereka yang melanggar hukum dan garis panduan dikenakan tindakan. Lebih menyedihkan, selepas siasatan selesai, beberapa bulan akan datang akan muncul satu lagi konsert kontroversi, dan kemudian satu lagi dan kemudian satu lagi dan begitulah seterusnya. Rakyat bising dan marah macam mana pun, jutaan ringgit telah masuk ke poket kerajaan. Rakyat berputih mata, kerajaan dapat semua harta!

Untuk menutup mulut rakyat dan memulihkan imej kerajaan, mungkin selepas ini akan dianjurkan pula Majlis Zikir, Malam Cinta Rasul atau KL Berselawat di stadium yang sama, seperti mana Rain Rave Water Music Festival di Bukit Bintang pada akhir bulan April lepas yang dikecam hebat, kemudian isu “diselesaikan” oleh kerajaan dengan mengadakan program Bukit Bintang Berselawat tidak lama selepas itu.

Masalahnya Bukan Pada Patung Emas

Ramai melihat masalah konsert The Weeknd tersebut pada patung emas perempuan setinggi 40 kaki yang dianggap seperti berhala, dan juga acara yang melibatkan sekumpulan artis bertopeng dan berjubah merah. Kita tidak menafikan bahawa itu merupakan isu besar kerana ia menggambarkan ritual pemujaan, walaupun belum dibuktikan sedemikian. Penganjur berselindung di sebalik karya seni, kerana semua itu dikatakan seni, termasuklah patung emas perempuan seksi tersebut.

Namun, apa yang kita perlu faham ialah jika siasatan akhirnya mendapati tiada unsur ritual sekali pun, itu tidak menjadikan keseluruhan konsert tersebut “halal”. Sebagai Muslim, kita perlu faham bahawa halal-haram sesebuah konsert bukan soal patung gergasi, bukan soal pada persembahan seperti pemujaan, bukan juga pada pendirian penyanyi yang pro ELGIBITI atau pro ‘Israel’, dan bukan soal artis antarabangsa atau tempatan, namun keberadaan konsert itu sendiri sudah jelas haram di sisi Islam, kerana wujudnya pendedahan aurat, percampuran bebas lelaki dan perempuan, hiburan yang melalaikan, pembaziran wang demi keseronokan dan banyak lagi.

Kita perlu faham bahawa sesuatu persembahan tidak menjadi haram semata-mata kerana ada unsur syirik, tetapi kerana terdapat walaupun hanya satu pelanggaran syarak di dalamnya.

Tambahan lagi, kita juga perlu memahami bahawa masuknya begitu banyak konsert ke negara kaum Muslimin bukan sekadar untuk hiburan, tetapi lebih jauh dari itu. Ia merupakan agenda Barat dalam menjauhkan umat Islam daripada Islam, dan mewujudkan budaya hedonisme dalam kalangan umat Islam. Semua itu dilakukan bagi memastikan umat Islam mengikuti milah dan cara hidup mereka, dan memastikan umat Islam tidak akan bangkit sebagaimana dahulunya.

Barat tahu bahawa satu-satunya cara untuk mengawal dan mendominasi umat Islam ialah dengan memisahkan umat Islam daripada agamanya iaitu menjadikan sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan) sebagai pegangan, dan itulah apa yang mereka lakukan sehingga jatuhnya Khilafah pada tahun 1924, dan itulah apa yang mereka terus lakukan sehingga kini bagi memastikan Khilafah tidak akan bangkit kembali, kerana kebangkitan umat Islam dan kebangkitan Khilafah bermakna kehancuran kekufuran, dan kehancuran dominasi Barat.

Selain itu, umat Islam juga perlu sedar bahawa konsert maksiat ini hanyalah setitis daripada lautan kemaksiatan dan kemungkaran yang ada dalam negara akibat kerosakan penguasa dan sistem yang diterapkan. Sesungguhnya penguasa dan sistem demokrasi ini sudah rosak teruk, sudah tidak boleh diperbaiki dan wajib diganti. Keseluruhan sistem ini merupakan sistem yang bertentangan dengan Islam, yang telah menyebabkan banyak kerosakan dalam negara dan pada masyarakat.

Kesimpulan

Amat penting untuk umat Islam sedar bahawa mereka sudah berkali-kali menukar penguasa dan hasilnya tetap sama. Kenapa? Kerana sistemnya tetap sama! Menukar pemandu tanpa menukar bas yang telah rosak teruk, maka sudah pasti resultnya sama sahaja, apatah lagi pemandunya mabuk, kemudian ditukar dengan pemandu mabuk yang lain!

Satu-satunya jalan keluar ialah dengan Islam. Setiap Muslim, lebih-lebih lagi penguasa, wajib, kembali kepada Islam, menerapkan Islam secara kaffah, membuang segala yang bertentangan dengan Islam, khususnya yang datangnya dari kafir Barat. Kita telah melihat bahawa kesemua pemimpin dan parti politik demokrasi yang ada pada hari ini tidak akan berbuat demikian. Atas dasar itu, kita wajib berusaha mendirikan semula Khilafah, satu-satunya Negara Islam yang akan menerapkan Islam secara kaffah, melindungi dan menjaga akidah umat Islam, memenangkan Islam di atas agama-agama yang lain, serta merealisasikan Islam sebagai rahmatan lil alamin.

Wallahu a’lam.