Konsert Ed Sheeran: Pemerintah Undang Bala, Rakyat Jangan Turut Sama

Setelah kejayaan gilang gemilang konsert The 1975 dan Coldplay baru-baru ini, kini kerajaan Malaysia membenarkan satu lagi konsert penyanyi pop dari Britain, Ed Sheeran, yang bakal diadakan pada 24 Februari ini.

Mufti Penang telah pun menegur penganjuran konsert ini tetapi tidak diendahkan oleh kerajaan, dan semoga beliau tidak menarik balik teguran beliau sebagaimana terjadi sebelum ini. Mufti-mufti lain masih belum kedengaran suara mereka, dan mungkin sahaja tidak akan bersuara seperti biasa.

Ed Sheeran dikatakan sebagai penyokong ELGIBITI, yang atas dasar itu konsertnya didesak agar dibatalkan. Namun, kerajaan Madani tidak pernah peduli dengan semua itu, sebagaimana kumpulan The 1975 yang juga penyokong kaum pelangi itu tetap sahaja dibenarkan oleh kerajaan.

Biadap macam mana sekali pun tindakan artis-artis Barat semasa persembahan, dan gaya hidup songsang apa pun yang mereka bawa, namun “keuntungan” lumayan dan gaya hidup hedonistik tetap menjadi pegangan kerajaan, sehingga apa sahaja konsert yang bertentangan dengan Islam tetap sahaja diteruskan di negara ini.

Semasa meluluskan konsert Ed Sheeran tersebut, Menteri Komunikasi menjelaskan bahawa terdapat 16 agensi yang terbabit dalam perbincangan dan turut melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), yang telah membuat saringan yang teliti sebelum meluluskannya.

Konsert-konsert sebelum ini pun telah melalui saringan juga, malah dikatakan telah ada garis panduan yang mesti mereka patuhi, namun artis-artis Barat ini peduli apa dengan semua itu. Mereka tetap mempamerkan kebiadaban mereka di pentas, di samping tegar membawa mesej tidak bermoral mereka. Namun, kerajaan nampaknya sengaja tidak mahu belajar dari pengalaman.

Sebelum ini terdapat Mufti yang menyuruh orang ramai yang hadir konsert The 1975 agar bertaubat, walaupun kerajaan tidak pula disuruh untuk bertaubat, seakan-akan dosa hanya terkena kepada mereka yang hadir sahaja, bukan pada mereka yang membenarkan berlangsungnya konsert tersebut!

Ada pula yang mendesak menteri yang berkenaan agar meletak jawatan, padahal realitinya menteri mana pun yang berkuasa, termasuklah semasa kerajaan “Melayu-Islam” memerintah dahulu pun, konsert tetap sahaja berjalan. Malaysia sejak sekian lama sudah merupakan Darul Konsert, inilah realitinya, yang hampir mustahil untuk dihapuskan dalam sistem sekular sekarang.

Ada juga pihak yang memberi alasan bahawa konsert Ed Sheeran ini perlu dibatalkan bagi menghormati bulan Ramadhan yang semakin hampir, samalah sebagaimana konsert seorang artis tempatan yang diminta ditangguhkan kerana dekat dengan Ramadhan, seolah-olah jika jauh dari Ramadhan, maka tidak mengapa untuk maksiat itu berlaku!

Jika tidak mahu peduli halal-haram sekali pun, kita ingin bertanya di manakah sensitiviti kerajaan Madani di saat Gaza masih bermandi darah, kita di Malaysia pula terkinja-kinja berjoget dan melalak. Beginikah sikap negara yang mengaku sebagai Ahlu Sunnah Wal Jamaah?!

Jika sebelum ini ada desakan agar menteri meletak jawatan, mungkin sudah tiba masanya untuk para mufti yang ikhlas dan berani menegur kerajaan, tetapi tidak didengar oleh kerajaan, untuk meletak jawatan bagi menyelamatkan “iman” dan sekali gus memberikan mesej yang jelas bahawa mereka tidak menyokong kerajaan yang bergelumang dengan maksiat.

Untuk umat Islam yang beriman pula, maka sudah tiba masanya untuk anda menyuarakan ketidaksokongan anda kepada pemerintah yang sentiasa mengundang bala daripada Allah ini. Cukuplah, jika pemerintah sanggup mengundang bala walaupun setelah dimuhasabah, maka kita jangan sekali-kali mengundang bala dengan mendukung pemerintah seperti ini.

Jangan menghadiri tempat-tempat maksiat dan berilah peringatan kepada saudara-mara serta sahabat-handai agar menjauhi tempat tersebut. Boikot segala konsert yang jelas-jelas haram baik oleh artis luar mahu pun tempatan. Tidak ada manfaatnya untuk anda dan untuk Islam.

Ingatlah bahawa naiknya sesebuah pemerintahan itu adalah kerana mandat daripada rakyat. Maka, jangan lagi memberi mandat kepada mana-mana  pemerintah yang memaksiati Allah. Ingatlah bahawa dosa turut terpikul oleh mereka yang memberi mandat, bukan hanya oleh mereka yang mendapat mandat.

Selagi pemerintah dan sistem sekular mendominasi negara ini, maka selagi itulah kita akan menyaksikan satu per satu bala yang mendatang, yang diundang oleh mereka yang berkuasa itu sendiri kerana kemaksiatan mereka kepada Allah.

Oleh yang demikian, setiap Muslim wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk menaikkan pemerintahan Khilafah, sebuah pemerintahan yang akan menerapkan Kitabullah dan Rasul-Nya secara kaffah. Hanya dengan cara ini sahajalah kita dapat menghindar dari azab Allah baik di dunia mahu pun akhirat.

Wallahu a’lam wa ahkam.