LGBT: Jangan Undang Bala Allah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa menyatakan bahawa kerajaan akan mengambil langkah proaktif melalui pendekatan berhemah dan kasih-sayang terhadap golongan Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender (LGBT) berbanding kekerasan melalui undang-undang bagi membendung penularan gejala sosial tersebut.

Demikianlah pendirian seorang menteri hal ehwal agama dalam usaha untuk menangani isu LGBT yang sentiasa menjadi perbualan masyarakat ketika ini. Apa yang menariknya, perkara ini tidak pernah berlaku dan barangkali tidak pernah dijangka akan berlaku.

Dahulu, golongan LGBT bukanlah golongan yang diterima dalam masyarakat dunia malah ditentang kerana kecenderungan mereka yang menyalahi fitrah manusia dan tatasusila kemasyarakatan.

Namun begitu, menjelang abad ke 21, gerakan untuk mengiktiraf golongan ini mula kelihatan dan semakin berani untuk bersuara dalam usaha membela kumpulan LGBT. Setelah LGBT mendapat pengiktirafan dan dilindungi di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui undang-undang Hak Asasi Manusia (HAM), gerakan untuk mengiktiraf kumpulan songsang ini mula  aktif ‘menyerang’ negeri-negeri umat Islam seperti di Malaysia dengan pelbagai tuntutan bahkan ada sebahagian pemimpin dan tokoh masyarakat yang bersama kumpulan ini.

Mereka mendesak agar hak kecenderungan seksual mereka diterima dan dihormati oleh masyarakat dan negara secara undang-undang. Mereka juga semakin berani mendesak dan memberi tekanan ke atas kerajaan agar memberi hak kepada mereka untuk berhimpun dan beraktiviti dalam masyarakat sesuai dengan kebebasan individu yang dijamin dalam perlembagaan dan HAM. Ini jelas sebagai suatu bentuk serangan ke atas umat Islam dan mencabar kefahaman Islam di Malaysia dengan agenda menyerap masuk fahaman songsang mereka yang terkutuk. Perbuatan songsang dan ini wajib ditentang oleh umat Islam. Perbuatan yang hina ini telah pun disebutkan dalam al-Quran dan as-Sunnah, firman Allah SWT:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ

Dan (Kami juga telah mengutus Nabi) Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatkala dia berkata kepada mereka: “Mengapa kalian mengerjakan perbuatan yang sangat hina itu, yang belum pernah dilakukan oleh seorangpun (di dunia ini) sebelum kalian?” [TMQ al-A’raaf (7): 80].

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad (2915) dari Ibnu Abbas radiallahu ‘anhuma, bahwa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، ثَلاثًا

“Allah melaknat siapa saja yang melakukan perbuatan seperti perbuatan kaum Nabi Luth. Allah melaknat siapa saja yang melakukan perbuatan seperti perbuatan kaum Nabi Luth, beliau sampaikan sehingga tiga kali”.

LGBT bukanlah hal yang ringan disisi Allah SWT dan Rasulullah SAW. Laknat Allah dan Rasul sebagaimana dijelaskan dalam banyak ayat al-Quran dan hadis sahih ke atas golongan ini sangat berat. Oleh itu, sebagai umat Islam kita tidak boleh berlembut hati mengambil pendekatan kasih sayang ke atas golongan-golongan yang dilaknat ini.

Sabda Rasulullah SAW,

عن ابن عباس رضي الله عنهما قال : لعن النبي صلى الله عليه وسلم المخنثين من الرجال ، المترجلات من النساء

Maksudnya: Daripada Ibn Anas r.a berkata, “Rasulullah SAW melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita” [HR Bukhari].

Sabda Rasulullah SAW lagi,

عن أبي هريرة رضي الله عته قال : لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم الرجل يلبس لبسة المرأة ، والمرأة تلبس لبسة الرجل

Maksud: Daripada Abi Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki [HR Abu Daud].

Gejala LGBT ini mempunyai dimensi spektrum yang luas, daripada yang mula keliru soal identiti mereka, pengaruh persekitaran yang subur dengan gejala LGBT, sehinggalah kepada perniagaan seks yang wujud dalam masyarakat secara langsung akibat daripada industri hiburan dan maksiat yang berlesen. Inilah malapetaka yang melanda negara umat Islam kini akibat penerapan sistem sekular (pemisahan Deen daripada urusan mentadbir negara dan rakyat) yang membolehkan aktiviti LGBT boleh bertapak kian subur malah ingin diiktiraf kewujudan mereka.

Menangani gejala LGBT ini agar tidak merebak wajib dikembalikan kepada perundangan dalam konteks mengenakan hukuman yang berat menurut syarak. Kita tidak boleh sekadar menyatakan bahawa kita tidak mengiktiraf golongan ini, tetapi dalam masa yang sama tidak ada sebarang hukuman berat dikenakan ke atas golongan yang dilaknat ini. Hukuman Allah SWT ialah hukuman yang terbaik bagi mencegah (zawajir) gejala ini merebak dalam tubuh masyarakat ibarat sel darah putih menelan bakteria berbahaya dalam badan.  Di samping itu, golongan ini juga perlu dikuarantinkan daripada masyarakat dan disusuli program pemulihan yang sangat ketat agar mereka bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Sabda Rasulullah saw,

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ وَقَالَ: أَخْرِجُوهُمْ مِنْ بُيُوتِكُم.

Daripada Ibnu ‘Abbas. katanya, “Nabi saw mela‘nat lelaki yang berperangai pondan dan perempuan yang berperangai lelaki. Baginda bersabda, usirlah mereka dari rumah kamu[HR Bukhari].

Menyentuh saranan kerajaan untuk pemulihan golongan ini secara proaktif, itu suatu yang boleh dipuji sekiranya dilaksanakan secara benar. Namun wajib diketahui kebarangkalian untuk mereka kembali terjebak kepada LGBT sangat tinggi sekiranya negara ini masih mengekalkan sistem pemerintahan dan perundangan sekular seperti sekarang. Ekosistem masyarakat yang berteraskan kebebasan tanpa had, ekonomi yang bersifat liberal dan menetapkan undang-undang secara demokratik berteraskan HAM pasti akan menjadikan gejala ini tidak akan dapat dibanteras sama sekali. Ibarat penagih dadah yang tidak henti-henti keluar masuk pusat pemulihan akibat lingkungan pengaruh dadah yang subur dalam masyarakat.

Maka kerajaan harus peka kepada spektrum LGBT ini. Kerajaan tidak boleh hanya bercakap mengenai hak mereka sebagai rakyat, tetapi lebih daripada itu kesan negatif keberadaan mereka dalam masyarakat perlu diambil kira secara serius. Merosakkan akhlak dan tatasusila kekeluargaan, termasuk juga penyebaran penyakit berjangkit akibat aktiviti maksiat songsang ini perlu diperhatikan. Menurut sumber berita, kini 50% daripada 3347 kes baru HIV baru disumbang oleh golongan LGBT ini, dan 14 kali lebih tinggi daripada golongan penagih dadah. Malah kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang cukup besar untuk menyediakan ubat bagi mengekang penularan wabak virus HIV. Amat mengejutkan menurut sumber kementerian kesihatan, golongan yang dilaknat ini menjadi kelompok majoriti mengambil ubat mengawal penularan HIV di hospital dan bilangannya semakin bertambah dari hari ke hari.

Mesej utama yang ingin disampaikan ialah bukti bahawa sistem demokrasi sekular ini sudah gagal menjaga kesejahteraan masyarakat. Situasi gejala buruk dalam masyarakat kian parah tanpa sebarang tanda pemulihan, malah kian merebak ibarat kanser yang merosakkan organ tubuh badan.

Pilihan yang ada buat umat Islam kini tinggal hanyalah penerapan syariat Allah SWT secara menyeluruh (kaffah). Umat Islam memerlukan naungan Daulah Khilafah Rasyidah di atas jalan Nabi SAW untuk menyempurnakan misi membanteras LGBT ini sehingga ke akar umbi.

يُحْيِيكُمْ لِمَا دَعَاكُمْ إِذَا وَلِلرَّسُولِ لِلَّهِ اسْتَجِيبُوا آمَنُوا الَّذِينَ أَيُّهَا يَا

“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kalian kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kalian” [TMQ al-Anfaal (8):24].

Abu Umar Al Fateh Zaidan