Perebutan kuasa di Johor bermula, apa yang bakal disaksikan?

Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara mengejut telah mengundang pelbagai persoalan, lebih-lebih lagi apabila pemimpin parti pemerintah di peringkat pusat kelihatan seperti tidak mengetahui atau diambil nasihat mengenainya.

Apa pun alasan atau percaturan politik parti pemerintah di Johor dengan pembubaran mengejut ini, ia tidak memberi kesan yang signifikan, kerana ia tidak membawa apa-apa perubahan kepada Islam pun. Semuanya masih dalam kerangka demokrasi, dan dalam sistem yang berasal dari Barat ini, parti mana pun yang memerintah tidak ada bezanya. Game demokrasi tidak pernah berubah sejak dulu walaupun para pemainnya bertukar-tukar – asasnya sekular, perjalanannya sekular dan kesudahannya sekular.

Apa yang menyedihkan dan menyakitkan ialah pemandangan yang bakal disaksikan dari sekarang sehingga ke hari pengundian, malah mungkin sahaja ia berlarutan sehingga ke selepas hari pengundian – sedih kerana ia adalah sebuah pemandangan yang bukan sahaja sangat jauh dari Islam, bahkan bertentangan dengan Islam.

Saat ini kita sudah mula melihat kenyataan dan gelagat parti-parti politik demokrasi yang sedang sibuk mengatur propaganda dan strategi masing-masing. Ada parti yang terkenal bongkak dan yakin menang telah mengisytiharkan diri untuk bergerak solo; ada pula parti yang menyeru musuh tradisinya untuk kembali kepada penggabungan lama. Pendek kata macam-macam strategi yang diatur pada hari ini, yang esok lusa mungkin sahaja berubah bergantung kepada keadaan. Orang-orang politik tidak pernah ada pendirian, kerana yang ada pada mereka hanyalah kepentingan.

Apa sahaja strategi yang diatur, semuanya hanya untuk satu tujuan iaitu memenangi pilihan raya dan seterusnya menuju kekuasaan. Destinasi terakhirnya tidak lain tidak bukan ialah takhta, sesuai dengan realiti dan tujuan pilihan raya dalam sistem demokrasi itu sendiri iaitu untuk berkuasa.

Mungkin ada yang bertanya, apa salahnya untuk berkuasa? Bukankah dalam Islam juga pasti ada pihak yang memegang kekuasaan? Ya memang tidak ada salahnya untuk berkuasa, sekiranya proses menuju kekuasaan tersebut adalah melalui jalan yang dibenarkan syarak, dan apabila berkuasa, kuasa tersebut digunakan untuk menerapkan hukum Allah. Jika ini yang dilakukan, ia bukan sekadar tidak salah, malah dituntut.

Malangnya tidak demikian dengan pilihan raya demokrasi. Sistem demokrasi menyediakan jalan yang bertentangan dengan Islam untuk mendapatkan kekuasaan, dan lebih buruk dari itu, kuasa dalam sistem demokrasi bukan bertujuan untuk menerapkan Islam, tetapi untuk mempertahankan, menggubal dan menerapkan sistem sekular sedia ada yang jelas-jelas bertentangan dengan Islam.

Bahkan dari awal, pemilihan wakil-wakil rakyat dalam pilihan raya itu sendiri sudah bercanggah dengan Islam, kerana wakil-wakil rakyat dipilih untuk pergi ke “Dewan Tasyri’ (dewan pembuatan hukum / legislative assembly)” untuk menjadi Musyarri’ (pembuat hukum / legislator). Sedangkan dalam Islam, Musyarri’ hanyalah Allah (swt), dan tidak ada mana-mana makhluk yang boleh mengambil hak Allah sebagai Musyarri’ (Pembuat hukum). Firman-Nya:

وَلَا يُشْرِكُ فِي حُكْمِهِ أَحَدًا

“Dan Dia (Allah) tidak mengambil seorang pun menjadi sekutu-Nya dalam menetapkan hukum (keputusan)” [Al-Kahf (18): 26]

وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِنْ شَيْءٍ فَحُكْمُهُ إِلَى اللَّهِ ۚ

“Tentang sesuatu apa pun kamu berselisih, maka hukumnya (kembali) kepada Allah” [Asy-Syura (42): 10].

إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ

“(Hak membuat) hukum itu hanyalah milik Allah” [Yusuf (12): 40].

Hakikat Pilihan Raya Demokrasi

Siri perebutan kuasa setiap 5 tahun sekali ini bukan sekadar suatu yang lumrah dalam sistem demokrasi, tetapi ia adalah matlamat tertinggi yang sangat dicita-citakan oleh setiap parti yang bertanding. Demokrasi mengajarkan bahawa metodologi meraih kekuasaan adalah melalui undi dan angka, bukannya ketaatan kepada syariat. Akibatnya, parti-parti dalam sistem demokrasi sanggup melakukan apa sahaja demi meraih undi, walaupun bertentangan dengan syariat.

Dalam setiap pilihan raya, kita akan menyaksikan calon-calon dan parti-parti yang bertanding akan menabur janji bulan dan bintang kepada para pengundi; mengangkat diri sendiri ke langit seolah-olah merekalah penyelamat bangsa dan negara; memburuk-burukkan lawan; menipu, memfitnah, melakukan rasuah dan segala macam keharaman lainnya, baik secara terselubung mahu pun terang-terangan.

Kita juga akan menyaksikan teater yang memualkan di mana calon-calon pilihan raya akan turun ke lapangan, bersalam-salaman dengan muka penuh senyuman dan merendah diri; melayan rakyat umpama raja, ngeteh bersama rakyat, membersihkan longkang dan semak-samun, mengayuh basikal, menziarahi orang-orang sakit dan orang-orang tua sambil bersedekah dan banyak lagi “kebaikan-kebaikan” lainnya. Pendek kata, mereka akan mempersembahkan diri mereka sebagai khadam yang kononnya sanggup berkhidmat siang dan malam demi rakyat.

Inilah fenomena dan fatamorgana politik setiap kali menjelang pilihan raya, dan keadaan ini akan berubah 180 darjah setelah calon-calon dinobatkan sebagai pemenang. Merekalah yang kemudiannya menjadi raja lalu memperhambakan rakyat; merekalah orang yang paling sukar untuk ditemui apabila rakyat ingin mengadu; mereka mula berkhidmat untuk parti masing-masing dan tidak lagi membawa aspirasi rakyat; dan mereka mula mengutamakan tembolok sendiri berbanding rakyat.

Untuk selama lima tahun akan datang, mereka akan menjadi golongan elit yang kaya-raya, manakala rakyat kekal miskin dan menderita; rakyat kembali menjadi korban seperti biasa; menjadi orang yang tertindas akibat dasar ekonomi mereka; menjadi musuh apabila mengkritik mereka; dan akan terus menjadi mangsa akibat percaturan politik mereka.

Inilah kesedihan dan kesakitan yang berulang kali disaksikan dalam sistem demokrasi, dan kitaran ini tidak akan berhenti selagi sistem demokrasi terus berjalan. Semoga umat Islam segera sedar daripada lamunan demokrasi yang sudah begitu banyak membawa keburukan ini. Sudah 16 kali umat Islam di tanah air ini dipatuk dari lubang yang sama, yang seharusnya menyedarkan setiap Muslim bahawa jalan perubahan hakiki bukanlah dengan sistem demokrasi atau pilihan raya.

Kesimpulan

Jika umat ini mahu melihat Al-Quran dan As-Sunnah menjadi perlembagaan dan undang-undang yang menaungi negara ini, bahkan menaungi dunia, maka jalan yang wajib diambil hendaklah sebagaimana yang digariskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah, bukannya sebagaimana yang digariskan oleh Lord Reid. Rasulullah (saw) telah pun menunjukkan jalan ini melalui dakwah baginda selama 13 tahun di Mekah sehingga tertegaknya Daulah Islam di Madinah. Inilah satu-satunya jalan yang benar lagi syarie, dan terbukti membawa kejayaan dalam menerapkan Islam secara kaffah.

Wallahu a’lam.