SN 575 – PRN Melaka: Apa Yang Bakal Berubah?

SN575

12 November 2021 M / 7 Rabiul Akhir 1443 H

 

Bumi bersejarah Melaka bakal menyaksikan pesta demokrasi pada 20 November nanti. Walaupun pesta kali ini mungkin tidak semeriah seperti sebelum-sebelumnya kerana kekangan Standard Operation Procudure (SOP) yang ketat, dan bilangan yang keluar mengundi dijangka menurun, namun ia tetaplah sebuah pesta yang ditunggu-tunggu oleh segelintir pihak. Apa tidaknya, pesta ini bukan sebarang pesta kerana ia merupakan pesta yang akan menaikkan seseorang ke takhta dan bakal menikmati banyak habuan dunia. Tercetusnya pesta ini pun kerana perebutan kuasa yang tidak pernah berkesudahan oleh elit-elit politik yang hidupnya hanya untuk mengejar duniawi. Justeru, ini merupakan pesta yang sangat penting bagi mereka yang berkenaan, yang sudah pasti akan diharungi walau berapa pun kosnya.

Di pihak rakyat, sudah semakin ramai yang ‘bengang’ dan menyuarakan ketidakpuasan hati dengan apa yang berlaku sehingga tercetusnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini. Di saat rakyat masih dihimpit kesusahan akibat polisi-polisi kerajaan di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di saat itulah elit-elit politik bercakaran sesama sendiri bagi merebut takhta. Apa yang lebih menyakitkan rakyat ialah kerana ‘harga’ yang perlu dibayar untuk perebutan kuasa ini bukanlah sedikit, di mana jumlah yang dianggarkan oleh kerajaan sendiri ialah sebanyak RM46 juta. Jika jumlah ini diguna untuk membangun rumah bagi keperluan rakyat, ia boleh membina sebanyak 1,314 buah rumah dengan kos RM35,000 sebuah. Jika ia digunakan untuk membantu rakyat yang terjejas pendapatan dek PKP, ribuan rakyat yang boleh menarik nafas lega, walaupun untuk sementara. Sayang seribu kali sayang, demi kuasa, demi pangkat dan jawatan, demi projek, demi populariti dan segala habuan duniawi, jumlah sebanyak itu bakal hangus begitu sahaja.

Mengharap Perubahan Melalui Pilihan Raya?

Antara sebab utama yang ‘membengangkan’ rakyat dengan PRN Melaka kali ini ialah kerana

kerenah ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah menarik balik sokongan kepada kerajaan mereka sendiri, sehingga DUN terpaksa dibubarkan. Hal ini jelas merupakan sebuah pengkhianatan kepada rakyat, khususnya para pengundi mereka. Natijahnya, duit rakyat sebanyak RM46 juta terpaksa dibazirkan, dan satu proses yang akan menyusahkan banyak pihak, terpaksa dilalui. Inilah kos yang perlu dibayar untuk sebuah pengkhianatan!

Bermula dengan langkah Sheraton, pengkhianatan terhadap undi rakyat semakin menjadi-jadi di Malaysia sehingga bukan sahaja kerajaan pusat yang tumbang, kerajaan di beberapa negeri juga turut tumbang. Lompat parti dan tukar sokongan dilakukan oleh wakil-wakil rakyat tanpa segan silu lagi, sehingga mengundang teguran daripada Agong dan beberapa orang Sultan, tetapi tidak dipedulikan oleh ahli-ahli politik yang berkenaan. Apa yang jelas, manfaat peribadi mengatasi segala-galanya, dan mereka tidak segan silu untuk berbohong kononnya apa yang mereka lakukan ialah demi kepentingan rakyat!

Faktor ini (pengkhianatan) turut membawa kepada sebab utama ‘kebengangan’ rakyat, kerana melihat kepada trend yang berlaku, langsung tidak ada jaminan bahawa calon-calon yang bertanding dalam PRN kali ini tidak akan terus mengkhianati rakyat dengan melompat parti atau menukar sokongan. Justeru, telah ramai yang menyifatkan bahawa sia-sia sahaja untuk mereka keluar mengundi kali ini, dan boikot adalah jalan terbaik untuk menunjukkan protes mereka.

Realitinya, siapa pun dan parti mana pun yang menang dalam pilihan raya, sejak dulu hingga kini, tidak ada apa-apa perubahan signifikan yang berlaku ke atas rakyat, khususnya dari segi ekonomi. Taraf hidup rakyat tetap rendah, kos sara hidup sentiasa meningkat, jumlah pengangguran juga tidak pernah surut dan pelbagai lagi masalah lainnya yang tidak pernah kunjung padam. Ini belum masuk lagi kedudukan rakyat yang sentiasa tertindas dan tertekan akibat polisi pemerintah, kena ‘game’ dan kena tipu berkali-kali oleh ahli politik.

Dalam masa yang sama rakyat menyaksikan ahli-ahli politik, khususnya wakil-wakil rakyat mereka, dan khususnya lagi wakil rakyat dari parti pemerintah, terus bergelumang dengan rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, hidup dengan kekayaan yang melimpah ruah dan penuh kesombongan, sukar untuk ditemui, tidak turun padang untuk melihat dan menyelesaikan masalah rakyat, dan pelbagai keburukan lagi. Ringkasnya rakyat tidak pernah mengecapi kesejahteraan yang didambakan walaupun wakil rakyat dan wajah-wajah pemerintah telah bertukar ganti dengan pilihan raya sebelum-sebelum ini.

Jika kita melihat dalam skala yang lebih besar, kedudukan yang sama juga berlaku di mana-mana bahagian dunia. Di Malaysia sendiri, nasib rakyat semakin buruk walaupun telah berlalu 14 kali Pilihan Raya Umum (PRU). Dari semasa ke semasa, kerajaan menjadi semakin zalim dengan pelbagai undang-undang dan peraturan yang mereka gubal yang sungguh meresahkan dan mengongkong kehidupan rakyat. Begitu juga di luar negara, kita telah menyaksikan pilihan raya di Algeria, Tunisia, Mesir, Palestin, Iraq, Afghanistan, Indonesia dan banyak lagi, yang kesemuanya tidak pernah merubah nasib rakyat, dan menjadikan para penguasa semakin zalim dan khianat. Umat Islam tetap hidup dalam keadaan tertindas, terpecah-belah, lemah dan terperosok dalam segenap aspek.

Apa yang lebih penting daripada semua itu, pilihan raya pada hakikatnya tidak pernah berjaya meletakkan hukum Allah di tempat yang tertinggi dalam pemerintahan negara, walau pun parti Islam berjaya naik ke pemerintahan. Kita boleh melihat apa yang berlaku di Algeria, Palestin, Tunisia, Mesir, Turki dan lain-lain, termasuk Malaysia, ternyata tidak ada penerapan Islam hingga kini. Sudah berapa banyak pilihan raya diadakan, hukum kufur penjajah tetap mendominasi negara kaum Muslimin, sebagaimana hukum kufur British mendominasi Malaysia.

Sebagai Muslim, sudah pasti kita menginginkan hukum Islam diterapkan, dan hal ini tidak pernah berlaku sejak merdeka hingga sekarang, walaupun hakikatnya mereka yang memegang tampuk pemerintahan beragama Islam, parti mereka terdiri daripada orang-orang Islam, malah parti Islam turut berada di pemerintahan. Telah terbukti selama ini bahawa tidak ada satu pun calon dan parti yang bertanding dalam pilihan raya yang membawa agenda untuk menerapkan Islam secara kaffah. Telah terbukti sejak merdeka hingga kini, bahawa mereka yang menang hanya meneruskan sistem dan undang-undang kufur peninggalan penjajah. Sedangkan kewajipan mereka apabila berkuasa ialah untuk menerapkan Islam.

Justeru, pilihan raya pada hakikatnya tidak pernah menjadikan hukum Allah terlaksana dalam negara. Ini kerana pilihan raya dalam sistem demokrasi bukanlah wasilah untuk menerapkan Islam, tetapi telah direka oleh Barat sebagai wasilah untuk meneruskan sistem dan undang-undang mereka di tanah jajahan mereka setelah mereka menganugerahkan kemerdekaan palsu kepada penduduknya. Setuju atau tidak, suka atau tidak, pilihan raya hakikatnya tidak akan merubah apa-apa, khususnya dari aspek penerapan Islam. Di manakah kebaikannya pada umat dan negara ini jika hukum Allah tidak diterapkan?

Selain bukan jalan perubahan, dan terbukti tidak pernah berlaku penerapan hukum Allah melalui pilihan raya, realitinya, pilihan raya dalam sistem demokrasi sering menyuburkan pelbagai kemungkaran dan kemaksiatan. Pilihan raya dalam sistem demokrasi jelas merupakan medan fitnah, rasuah, pembohongan, caci-maki, dendam, hasad-dengki, pergaduhan, permusuhan, perpecahan, penyelewengan kuasa, ikhtilat (percampuran) antara lelaki dan perempuan dan pelbagai kemungkaran serta kemaksiatan lagi, yang semuanya jelas bertentangan dengan Islam. Di saat pandemik ini, ia juga telah terbukti menjadi tempat tersebarnya virus Covid-19, yang kononnya menjadi kebimbangan kerajaan!

Perubahan Hakiki

Sesungguhnya jalan perubahan bukanlah melalui pilihan raya. Pilihan raya dalam sistem demokrasi telah dipastikan oleh kuffar penjajah, sebagai jalan untuk mengekalkan hegemoni dan status quo sistem serta undang-undang kufur mereka. British tidak akan pernah membenarkan sistem dan undang-undang mereka diubah oleh umat Islam, dan atas dasar itu mereka mewariskan satu perlembagaan, yang bukan sahaja bertujuan meneruskan cengkaman mereka di negara ini, tetapi untuk mempengaruhi minda umat Islam supaya mematuhi dan menjaganya dengan baik sebagai sebuah ‘kitab suci’.

Bagi sesiapa pun yang mendambakan perubahan, jalannya tidak lain tidak bukan ialah sebagaimana jalan yang dilalui oleh Rasulullah (saw) semasa baginda merubah masyarakat Mekah, dan semasa baginda merubah ‘negara’ Mekah hingga berlakunya proses hijrah dan terbentuknya satu masyarakat dan negara baru di Madinah. Rasulullah (saw) mulai merubah manusia melalui pemikiran, dan melalui pemikiran inilah, manusia itu berubah yang seterusnya akan merubah masyarakat dan negara, malah dunia. Firman-Nya;

“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri” [TMQ ar-Ra’d (13): 11].

Inilah tuntutan dan hakikat dakwah Islam yakni menyeru manusia kepada Allah melalui pemikiran, dan melalui pemikiranlah manusia akan berubah dan bangkit.

Setelah mereka yang diseru – secara pemikiran – oleh Rasulullah (saw) menerima Islam, lalu baginda (saw) mengumpulkan mereka ke dalam satu kutlah (kelompok). Kutlah ini pada awalnya melakukan aktiviti secara tersembunyi, namun dakwah tetap tersebar, lalu kemudian menzahirkan diri setelah turunnya perintah Allah (swt);

“Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik” [TMQ al-Hijr (15): 94].

Dengan penurunan ayat ini, dakwah Rasulullah (saw) memasuki fasa kedua iaitu tafa’ul ma’al ummah (interaksi dengan umat)  di mana dalam fasa ini Rasulullah (saw) telah melakukan aktiviti shira’ al-fikri (pergelutan pemikiran) dan kifah as-siyasi (perjuangan politik), yang sangat menonjol di tengah-tengah masyarakat. Pada masa yang sama aktiviti tasqif murakkazah (pembinaan intensif) dan tasqif jama’iyyah (pembinaan massa) tetap berlaku.

Setelah kematian Ummahatul Mukminin Khadijah dan Abu Thalib, ancaman terhadap dakwah dan diri Rasulullah (saw) menjadi semakin sengit, lalu baginda (saw) mula melakukan aktiviti thalab an-nusrah (mencari pertolongan) daripada ahlul quwwah wal man’ah (pemilik kekuatan). Rasulullah (saw) keluar mencari nusrah dari banyak bani yang memiliki kekuatan sehinggalah baginda (saw) ke Thaif, tetapi semuanya menolak baginda, sehinggalah datangnya bani Aus dan Khazraj yang memberikan nusrah kepada baginda (saw) tanpa apa-apa syarat. Hasil daripada nusrah inilah kemudiannya berlaku proses hijrah dan tegaknya Daulah Islam di Madinah. Setelah tegaknya negara, Islam semakin berkembang dan menguasai seluruh jazirah Arab, Rom dan Parsi, dan umat Islam menjadi umat yang terhebat, mulia, kuat dan disegani.

Inilah secara ringkasnya proses perubahan yang berlaku ke atas umat Islam, yang bermula daripada perubahan pemikiran, hinggalah umat Islam berjaya menguasai dunia, dan inilah proses yang perlu dilalui oleh umat Islam untuk kembali bangkit untuk kali yang kedua.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sedarlah bahawa pilihan raya tidak pernah merubah keadaan umat Islam, tidak di Malaysia dan tidak di seluruh dunia. Hakikat ini dapat disaksikan dan dirasai sendiri oleh setiap Muslim. Malah apa yang berlaku adalah sebaliknya di mana umat Islam semakin menderita, tertindas dan terpecah belah dek pilihan raya dalam sistem demokrasi, yang terbukti telah melahirkan manusia yang gila kuasa, tamak haloba, sombong dan bongkak, serta semakin jauh daripada Islam. Sedarlah wahai umat Muhammad bahawa baginda (saw) telah menunjukkan jalan perubahan untuk kita, meninggalkan Al-Quran dan Sunnahnya untuk kita ikuti, dan kita tidak memerlukan Lord Reid untuk mengatur urusan kehidupan kita. Umat ini tidak akan pernah dapat keluar daripada masalah selagi berpegang kepada kitab Lord Reid, kerana satu-satunya jalan keluar daripada semua masalah ialah Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF