PM letak jawatan: Apakah Malaysia akan berubah?

Tidak dapat dinafikan bahawa harapan ramai rakyat Malaysia ialah menginginkan perubahan, apatah lagi setiap kali bertukarnya kerajaan. Sejak merdeka, Malaysia telah bersilih ganti dengan enam orang Perdana Menteri yang datangnya dari UMNO. Namun, penderitaan dan kebencian rakyat yang semakin membengkak di bawah pemerintahan UMNO-BN telah menyebabkan rakyat menolak gabungan politik terbesar tanah air itu pada PRU-14 yang lalu. Kekalahan UMNO-BN setelah 61 tahun memerintah negara adalah hasil gelombang rakyat yang inginkan perubahan, dan gelombang ini sangat besar yang telah memahat sejarah politik tersendiri di Malaysia.

Malangnya apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan, nasib rakyat tetap tidak berubah, seperti itu, seperti itu juga. Selama 22 bulan negara ini dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh. Naiknya Mahathir sebagai PM untuk kali yang kedua adalah kerana banyak faktor, antaranya ialah kerana kelantangannya menentang Najib ketika ahli Parlimen Pekan itu menjadi Perdana Menteri, sehingga menjadikan Mahathir yang pernah digelar Maha Firaun satu ketika dahulu, sebagai hero.

Walaupun Dr. Mahathir kali ini menerajui Malaysia sebagai Pengerusi Bersatu, semua tahu bahawa Bersatu itu hanyalah pecahan dari UMNO dan hakikatnya ia tidak berbeza sedikit pun dengan UMNO. Pemikiran Mahathir juga tidak pernah berubah sejak dahulu. Di samping itu, pimpinan Melayu PKR yang turut membarisi kabinet kabinet Mahathir, rata-ratanya juga adalah bekas ahli UMNO. Manakala Amanah yang merupakan pecahan PAS, yang berkongsi kuasa dengan Bersatu dan PKR, hanyalah sebuah parti yang lemah dan dilihat sentiasa akur dan tunduk kepada Mahathir.

Sudahnya kita menyaksikan tidak ada perubahan yang signifikan kepada nasib rakyat dan kepada negara ini. Bagaimana mungkin akan berlaku perubahan apabila nakhodanya adalah nakhoda yang sama, yang pemikirannya tidak pernah berubah sejak dahulu? Akhirnya, harapan rakyat untuk melihat perubahan di bawah PH, tinggal harapan.

Kemudian hasil komplot mereka yang gilakan kuasa, pemerintahan PH tumbang melalui jalan yang kelihatan tidak demokratik, tetapi hakikatnya dibenarkan oleh sistem demokrasi. Bersatu kekal sebagai parti pemerintah, manakala UMNO pula kembali ke pemerintahan, dan PAS buat pertama kalinya dapat menjejakkan kaki ke Putrajaya. Begitulah hebatnya persekongkolan yang berlaku di sebuah bilik sehingga mereka berjaya menebuk atap dan menawan Putrajaya.

Tolak ke tepi apa yang berlaku, sekali lagi rakyat mengharapkan akan berlakunya perubahan, walaupun atap sudah bocor ditebuk. Apatah lagi kali ini parti Islam yang berjuang selama puluhan tahun untuk menerapkan Islam, sudah berada di Putrajaya. Namun sekali lagi rakyat kecewa, tiada apa-apa perubahan yang berlaku, kecuali keadaan semakin memburuk. Maka sekali lagi harapan tinggal harapan.

Apa pun yang telah berlaku dalam negara ini, faktor utama yang mengatasi segala-galanya, kenapa tidak berlaku perubahan di Malaysia ialah kerana sistem, perlembagaan dan undang-undangnya! Kenapa? Kerana sistem, perlembagaan dan undang-undangnya adalah sama! Sama sejak dahulu. Sistem, perlembagaan dan undang-undang yang diwarisi daripada kafir penjajah! Inilah faktor utamanya. Siapa pun yang berada di pemerintahan, walau daripada parti Islam sekalipun, apabila mengguna pakai sistem, perlembagaan dan undang-undang yang sama, maka hasilnya sudah pasti sama.

Sebuah kapal yang sudah rosak, buruk lagi usang sudah pasti tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada para penumpangnya, sehebat mana sekali pun nakhodanya. Apa lagi jika nakhodanya adalah nakhoda yang sama, yang telah terbukti gagal. Tidak ada apa yang boleh diharapkan dengan kapal dan nakhoda seperti ini kecuali akan semakin menenggelamkan kapal dan semakin membahayakan penumpangnya.

Selepas ini kita bakal menyaksikan PM yang baru untuk Malaysia. Maka, jika ditanya apakah akan berlaku perubahan di Malaysia sebagaimana yang didambakan oleh rakyat sejak sekian lama, dengan PM baru nanti? Maka sudah tentu anda mengetahui jawapannya, walaupun anda tidak bersetuju. Jadi, jika kita semua mahukan perubahan, tidak ada jalan lain kecuali faktor utama tadilah yang perlu diganti iaitu sistem, perlembagaan dan undang-undangnya. Ganti dengan apa? Dengan apa lagi jika bukan dengan Islam berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Sesungguhnya pilihan ada di tangan anda.

Wallahu a’lam.