Imam Mahdi Dan Kekhilafahan Akhir Zaman

Oleh: Budiman Abu Miqdad, Lajnah Penyelidikan dan Strategi HTM

        Imam Mahdi adalah sosok figura yang sangat diketahui oleh umat Islam termasuk di nusantara. Beliau adalah lambang kebangkitan Islam serta perkhabaran kemenangan Islam dan Umatnya ke atas segala bentuk kekufuran, beserta dengan khabar turunnya Nabi Isa a.s. Perkhabaran ini sangat masyhur sebagai tanda-tanda akhir zaman dan hari kiamat. Hal ini merupakan tanda-tanda kubra (tanda-tanda besar kiamat) dan ketika munculnya petanda sebegini, kiamat sudah terlalu dekat.

        Kemunculan al-Mahdi adalah petanda Islam pasti diberi kemenangan oleh Allah. Namun sikap dan reaksi masing-masing adalah berbeza, yang terkadang memunculkan penyerahan mutlak tanpa usaha ke arah kemenangan, atas alasan kemenangan dan usaha itu datang kemudian ketika munculnya al-Mahdi. Di sini, biarlah kita meneliti satu persatu kerangka berfikir tentang Imam Mahdi sehingga kita boleh membuat kesimpulan terbaik tentang apa dan bagaimana sepatutnya tindakan yang patut kita lakukan.

1. Siapakah Imam Mahdi

        Untuk permulaan, kita tidak akan membongkar keseluruhan biografi Imam Mahadi kerana tulisan yang lebih mendalam terdapat dalam bentuk pelbagai karya ulama. Cukup bagi kita mengetahui akan perihal beliau secara umum. Menurut penyusun buku Mu’jam Lughah al-fuqaha, al-Mahdi adalah lelaki muslih daripada kalangan umat Muhammad ﷺ yang mana kemunculannya termasuk tanda-tanda besar kiamat. Beliau akan memenuhi dunia dengan keseimbangan dan keadilan setelah  berlaku kejahatan dan kezaliman sebelumnya, dan beliau akan berjumpa dengan Nabi Isa a.s ketika Nabi Isa a.s. turun dan Nabi Isa a.s. akan solat di belakangnya. (Qal’ahji, Muhammad Rawwas, 1996)

        Jadi berdasarkan karakteristik ini, aritkel ini akan memfokuskan pada salah satu pendapat yang maklum pada umat Islam nusantara tentang siapakah beliau, daripada tiga pendapat yang lain iaitu beliau bukan Nabi Isa alaihissalam sendiri, bukan juga Khalifah al-Mahdi al-Abbasi zaman Abbasiyah serta bukan juga Muhammad bin al-Hassan al-Askari yang dipegang oleh syiah. Beliau adalah al-Mahdi keturunan Rasulullah ﷺ sebagaimana hadis:

لاَ تَذْهَبُ الدُّنْيَا حَتَّى يَمْلِكَ الْعَرَبَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِي

“Dunia tidak akan musnah sehinggalah bangsa Arab dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

        Waktu kemunculan beliau adalah pada akhir zaman sebagaimana ulasan Imam Ibnu Katsir rahimahullah berdasarkan hadis yang sama “Aku memperkirakan kemunculan al-Mahdi adalah sebelum turunnya Nabi Isa, sebagaimana dsebutkan oleh hadis-hadis yang berkisar tentang ini .” (Tuasikal, Muhammad Abduh, 2019)

Selain itu, Jabir bin Abdillah r.a meriwayatkan daripada Rasulullah ﷺ :

فَيَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ صلى الله عليه وسلم فَيَقُولُ أَمِيرُهُمْ تَعَالَ صَلِّ لَنَا ‏.‏ فَيَقُولُ لاَ ‏.‏ إِنَّ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ أُمَرَاءُ ‏.‏ تَكْرِمَةَ اللَّهِ هَذِهِ الأُمَّةَ

“Isa bin Maryam ﷺ turun, lalu pemimpin mereka berkata: ‘Marilah mengimami solat kami.’ Lalu Isa menjawab: ‘Tidak, sesungguhnya sebahagian daripada kalian menjadi pemimpin atas sebahagian yang lain, sebagai kemuliaan yang Allah berikan kepada umat ini.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Dengan kata lain, Nabi Isa alahissalam akan bersolat di belakang imamnya para mukmin dan terdapat hadis-hadis lain yang menunjukkan sosok itu adalah Imam Mahdi.

2. Imam Mahdi adalah khalifah

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : يَكُونُ اخْتِلَافٌ عِنْدَ مَوْتِ خَلِيفَةٍ فَيَخْرُجُ رَجُلٌ مِنْ بَنِي هَاشِمٍ، فَيَأْتِي مَكَّةَ، فَيَسْتَخْرِجُهُ النَّاسُ مِنْ بَيْتِهِ وَهُوَ كَارِهٌ فَيُبَايِعُونَهُ بَيْنَ الرُّكْنِ وَالْمَقَامِ، فَيُجَهَّزُ إِلَيْهِ جَيْشٌ مِنَ الشَّامِ، حَتَّى إِذَا كَانُوا بِالْبَيْدَاءِ خُسِفَ بِهِمْ، فَيَأْتِيهِ عَصَائِبُ الْعِرَاقِ وَأَبْدَالُ الشَّامِ، وَيَنْشَأُ رَجُلٌ بِالشَّامِ، وَأَخْوَالُهُ كَلْبٌ فَيُجَهَّزُ إِلَيْهِ جَيْشٌ، فَيَهْزِمُهُمُ اللَّهُ، فَتَكُونُ الدَّبْرَةُ عَلَيْهِمْ، فَذَلِكَ يَوْمُ كَلْبٍ، الْخَائِبُ : مَنْ خَابَ مِنْ غَنِيمَةِ كَلْبٍ، فَيَسْتَفْتِحُ الْكُنُوزَ، وَيُقِسِّمُ الْأَمْوَالَ، وَيُلْقِي الْإِسْلَامُ بِجِرَانِهِ إِلَى الْأَرْضِ، فَيَعِيشُ بِذَلِكَ سَبْعَ سِنِينَ أَوْ قَالَ : تِسْعَ سِنِينَ

Dari ummul mukminin Ummu Salamah r.a beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

Akan ada perselisihan ketika kewafatan seorang khalifah. Kemudian seorang lelaki Bani Hasyim akan keluar mendatangi kota Mekah. Maka orang ramai mengeluarkannya dari rumahnya sedangkan ia tidak suka akan hal demikian. Kemudian mereka membai’atnya di antara Rukun(Hajarul Aswad) dan Maqam (Ibrahim). Dipersiapkan pasukan dari Syam untuk menentangnya, sehingga apabila mereka sampai di Baida’, mereka (tentera dari Syam) ditenggelamkan (dalam bumi). Beliau lalu didatangi oleh ahli dari Iraq dan para tokoh dari Syam. Kemudian muncul seseorang(musuh) di Syam, mengumpulkan bapa-bapa saudaranya dari suku Kalb bangkit menentang beliau dengan mempersiapkan pasukan melawannya. Mereka dihancurkan Allah dan bencana kekalahan ke atas mereka. Itulah hari yang digelar Hari (kekalahan) Kalb. Al-Kha’ib: itulah orang yang tidak mendapatkan ghanimah Kalb. Al-Mahdi lalu membuka kunci perbendaharaan-perbendaharaan harta, lalu mengagihkannya, dan beliau menyebarkan Islam ke penjuru dunia, dan mereka akan tinggal seperti itu selama tujuh tahun. Atau dalam dalam sabda yang lain: Sembilan tahun.

 (Hadis Riwayat at-Thabrani di dalam Mu’jam al-Ausath, al-Haitsami menyebutkan para perawinya sahih di dalam Majma’ az-Zawaid) (al-Haitsami, Nuruddin Ali bin Abu Bakr bin Sulaiman al-Shafi’ie, 2015)

        Berdasarkan hadis ini dan beberapa hadis lain yang senada, Imam Mahdi akan diangkat menjadi khalifah. Qarinah atau petunjuknya ada pada lafaz “فَيُبَايِعُونَهُ” (kemudian mereka membai’atnya) selepas berita tentang kewafatan khalifah dan perselisihan berlaku. Imam Mulla ‘Ali al-Qari menyebutkan “اخْتِلَافٌ” atau perselisihan itu berlaku di kalangan ahl halli wal ‘aqdi. (al-Qari, Mulla Ali, 2001) Di dalam hadis lain pula ada menyebutkan tentang tiga putera khalifah yang berselisih selepas kewafatan khalifah sebelumnya (al-bakri, Dr Zulkifli Muhammad, 2022). Jadi, kejadian bai’at kepada Imam Mahdi adalah bai’at kekuasaan, selepas kewafatan khalifah dan sewaktu berlakunya perselisihan hak kekuasaan.

        Bai’at menurut makna yang ditunjukkan nas syarak adalah akad janji setia dan ketaatan yang diberikan umat kepada ketua negara iaitu khalifah selepas kewafatan Rasulullah ﷺ. Ini boleh dilihat berdasarkan dalil as-Sunnah yang ditunjukkan dalam Bai’ah Aqabah kedua yang menyaksikan pengakuan suku Aus dan Khazraj terhadap kepimpinan Rasulullah, Bai’ah perlantikan Abu Bakar di Tsaqifah Bani Saadah sebagai khalifah, dan seterusnya bai’at yang terjadi terhadap para khalifah yang lain dan tidak ada seorang khalifah pun yang dilantik yang mengenepikan kaedah bai’ah. Para khalifah yang mahu melantik keturunannya memerlukan bai’at dan yang merampas kekuasaan juga memerlukan bai’at.

        Tambahan pula, terdapat kesaksian lain dalam hadis daripada Tsauban r.a yang berbunyi:

فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَبَايِعُوهُ وَلَوْ حَبْوًا عَلَى الثَّلْجِ ، فَإِنَّهُ خَلِيفَةُ اللَّهِ الْمَهْدِيُّ

… Jika kalian melihatnya, maka berbai’atlah kepadanya sekalipun kalian perlu merangkak di atas salji, kerana dialah khalifatullah al-Mahdi. (Ibnu majah, al-Bazzar, al-Hakim dan al-Baihaqi) (al-Munajjid, Muhammad Soleh, 2009)

Begitulah riwayat-riwayat ini semuanya menguatkan sifat bai’at dan kekhalifahan.

        Selain itu, Imam Mahdi juga dikhabarkan dalam hadis Ummu Salamah di atas dan juga riwayat lain mempunyai kekuasaan dan kekuatan yang nyata. Ini ditunjukkan dalam hadis tentang pasukan tenteranya, peperangan dan kemenangan yang dicapainya. Beliau juga akan menyebarkan Islam, menyebarkan keamanan ke seluruh penjuru dunia, dan orang ramai akan mendapat kenikmatan yang tidak pernah didapati sebelumnya. Hal ini adalah petanda ri’ayah atau kepemimpinan al-Mahdi sebagai penguasa politik yang beroleh keberkatan dari Allah SWT. Terlalu banyak lagi riwayat yang menceritakan kesejahteraan manusia sejagat ketika munculnya Imam Mahdi.

        Oleh yang demikian, sepatutnya kita memahami bahawa Imam Mahdi bukanlah tokoh pemimpin spiritual, yang sekadar memimpin kumpulan, yang bersifat nomad atau kekuasaannya terbatas. Beliau mendapat bai’at kekuasaan negara, memimpin pasukan tentera sebagai Amirul Mukminin, dan menyelesaikan persoalan manusia dalam tatakelola kehidupannya.

3. Imam Mahdi akan didahului oleh khalifah yang lain

        Masih berkisar pada hadis Ummu Salamah sebelumnya, pembaiatan Imam Mahdi berlaku selepas wafatnya khalifah. Hal ini sudah cukup untuk menunjukkan bahawa sebelum al-Mahdi, telah wujudnya kekhilafahan Islam. Perkara ini juga merupakan khabar gembira buat kita. Walaupun kekhilafahan yang berlaku sebelum al-Mahdi mungkin tidak sehebat al-Mahdi, sekurang-kurangnya Umat Islam akan mendapat manfaat utama yang lain, iaitu berlakunya penerapan syariat Islam secara menyeluruh dan keadilan yang ditegakkan nanti adalah keadilan Islam.

        Masyarakat akan dapat menikmati bentuk pemerintahan Islam, sistem-sistem politik, ekonomi, sosial, dasar pendidikan, hubungan luar negeri dan kehakiman yang berteraskan Islam. Tidak dinafikan, hadis-hadis juga menggambarkan perselisihan dan hal ini wajar. Wajar kerana khilafah adalah daulah basyariyah, negara manusiawi yang penuh dengan ragam, bukan daulah ilahiyyah (negara ketuhanan). Manusia selain para nabi tidak akan lari daripada kesalahan, dan manusia sebagai pemimpin bergantung pada ketakwaannya dan kebijaksanaan akalnya ketika memimpin.

        Pemimpin yang baik dalam sistem kufur tidak akan dapat mengubah sesuka hatinya terhadap sistem-sistem yang tidak syar’i, begitu pula para pemimpin zalim dalam Khilafah tidak akan dapat sesuka hatinya mengubah Sistem Islam. Para Qadi mahu tidak mahu memutuskan hukum menurut syariah, para amil dan jentera pentadbiran bergerak menjalankan negara sesuai Islam dan seterusnya. Perubahan sistem itu hanya dapat berlaku secara mendasar, jika mahu mengubah Khilafah kepada sistem yang lain, sebagaimana yang telah berlaku dalam sejarah akhir Khilafah Uthmaniyah. Hadis di atas juga menggambarkan perubahan sistem akan berlaku, dan berlakunya secara mendasar sehingga yang wujud adalah kekhilafahan sebelum Imam Mahdi.

        Di antara hadis lain yang menarik untuk dihayati adalah hadis tentang 12 khalifah yang berbunyi:

يَكُونَ عَلَيْكُمْ اثْنَا عَشَرَ خَلِيفَةً كلهم من قُرَيْشٍ

Akan ada dua belas khalifah, semuanya dari kaum Quraisy  (Bukhari dan Muslim) (Ibnu Katsir, Abul Fida’ Ismail, 2010)

Al-Imam Ibnu Katsir menyebutkan bahawa 12 khalifah ini bukan khalifah yang memerintah berturut-turut setelah wafatnya Rasulullah ﷺ. Jika demikian maka akan terhenti pada pertengahan bani Umayyah (Ibnu Katsir, Abul Fida’ Ismail, 2010). Imam as-Suyuthi ketika mensyarahkan hadis ini menyebutkan beberapa khalifah yang boleh dikategorikan sebagai 12 khalifah iaitu, “Saya katakan: Atas dasar inilah, maka telah ada di antara dua belas (khalifah)  itu empat khulafaur rasyidin,(iaitu) Hassan dan Muawwiyah, Abdullah bin Zubair, Umar bin Abdul Aziz yang jumlahnya lapan orang. Mungkin boleh dimasukkan ke dalam rombongan mereka Al-Muhtadi dari Bani Abbas, sebab dia laksana Umar bin Abdul Aziz di kalangan bani Umayyah. Sebagaimana juga Az-Zhahir, yang juga memiliki sifat adil. Dengan demikian, kini hanya ada dua orang yang ditunggu, salah satunya adalah Al-Mahdi kerana dia berasal dari Ahli Bait” (As-Suyuthi, Jalaluddin, 2012)

        Maka setidaknya ada satu orang khalifah yang akan muncul lagi selain Imam Mahdi menurut analisis Imam as-Suyuthi. Adapun yang berpegang pada hadis:

Khilafah itu 30 tahun, setelahnya adalah kesultanan (Riwayat ashab as-sunan dan sahih menurut Ibnu Hibban)

Hal ini lebih menarik. Tiga puluh tahun menurut ulama adalah fasa khilafah yang mengikut manhaj kenabian, iaitu empat khalifah rasyidah r.a ditambah khalifah al-Hassan bin Ali r.a (As-Suyuthi, Jalaluddin, 2012). Dengan demikian, baki tujuh orang khalifah yang mendapat petunjuk belum muncul lagi dan salah satunya adalah al-Mahdi. Dengan kembali kepada hadis Ummu Salamah r.a sebelumnya, insyaallah  Khilafah dengan manhaj yang benar akan muncul terlebih dahulu sebelum Imam Mahdi.

4. Kewajiban ke atas kita

        Yang diwajibkan ke atas kita adalah berusaha merealisasikan pemerintahan Islam iaitu khilafah. Jika kedatangan al-Mahdi berbentuk perkhabaran, kerana ia berbentuk peristiwa ghaib yang akan berlaku pada masa akan datang, mewujudkan kekhilafahan secara umum itu pula datang dengan tuntutan perintah untuk ditunaikan. Di manakah perintahnya? Kita perhatikan dalil-dalilnya secara saksama:

a. Dalil al-Quran

فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَآ اَنْزَلَ اللّٰهُ وَلَا تَتَّبِعْ اَهْوَاۤءَهُمْ عَمَّا جَاۤءَكَ مِنَ الْحَقِّۗ

Maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu  (TMQ Al-Maidah: 48)

Seruan (khitab) ini adalah ditujukan kepada Rasulullah ﷺ dan ia sekaligus merupakan seruan kepada umat baginda. Perintah untuk berhukum dengan hukum Allah, jika tiada badan pelaksananya, maka wajib untuk diwujudkan. Dan badan tersebut adalah sistem khalifah sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh para sahabat r.a (an-Nabhani, Taqiyuddin, 2003)

b. Dalil as-Sunnah

وَمَن مَاتَ وَليسَ في عُنُقِهِ بَيْعَةٌ، مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

Dan barangsiapa yang mati sedangkan di tengkuknya tidak ada bai’at, maka matinya seperti mati jahiliyah. (HR Muslim)

كَانَتْ بَنُو إسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأنْبِيَاءُ، كُلَّما هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وإنَّه لا نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَتَكُونُ خُلَفَاءُ فَتَكْثُرُ، قالوا: فَما تَأْمُرُنَا؟ قالَ: فُوا ببَيْعَةِ الأوَّلِ، فَالأوَّلِ، وَأَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ، فإنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ

“Dulu Bani Israil selalu dipimpin/diurus oleh para nabi. Setiap kali seorang nabi meninggal, datang nabi lain menggantikannya. Sesungguhnya tidak ada nabi sesudahku; yang ada adalah para khalifah yang banyak.” Para sahabat bertanya, “Apa yang engkau perintahkan kepada kami?” Beliau menjawab, “Penuhilah baiat yang pertama; yang pertama itu saja. Berikanlah kepada mereka haknya, karena Allah nanti akan menuntut pertanggungjawaban mereka atas rakyat yang diurusnya.” (HR al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah).

        Hadis-hadis ini telah mewajibkan kepada setiap Muslim agar pada mereka terdapat baiat. Beliau juga mensifati orang yang mati, yang di pundaknya tidak terdapat baiat, sebagai orang yang mati seperti kematian Jahiliyah. Baiat tidak akan terjadi setelah Rasulullah ﷺ kecuali kepada Khalifah, bukan kepada yang lain. Hadis tersebut mewajibkan adanya baiat ke atas setiap Muslim, iaitu adanya Khalifah yang dengan kewujudannya itu terealisasi adanya baiat di atas tengkuk setiap Muslim (‘Atha bin Khalil Abu Ar-Rusytah, 2005). Dalam ilmu usul fiqh, sesuatu perintah yang disertai ancaman merupakan petanda tuntutan tersebut bersifat tegas, yang membawa kepada kewajipan dan dosa bagi yang meninggalkan.

        Kemudian, sebagaimana urusan Bani Israel yang diurus oleh para nabi (menggunakan perkataan تَسُوسُهُمُ yang mempunyai akar kata yang sama dengan siyasah/politik ), maka umat Muhammad ﷺ pula diurus oleh para khalifah selepas peninggalan baginda. Terdapat perintah untuk membai’at khalifah di situ, dengan kata lain juga perintah untuk mewujudkan sistem kekhilafahan, dan saling menunaikan hak antara satu sama lain.

c. Ijmak Sahabat

Ijmak sahabat tentang diangguhkannya pemakaman jasad Rasulullah ﷺ yang mulia selama dua malam dan berkumpulnya mereka ridwanullah alaihim untuk melantik kepemimpian selepas kewafatan baginda adalah satu petunjuk yang sangat kuat tentang betapa pentingnya mengangkat khalifah menggantikan baginda dalam urusan kepimpinan dan kekuasaan, dan tidak boleh kosongnya kekhilafahan dalam waktu yang lama.

Masih banyak dalil-dalil lain yang tidak diletakkan, dengan harapan dalil-dalil yang sedia ada sudah mencukupi untuk menunjukkan kewajipan menegakkan khilafah. Hukum asal kewajipan ini fardu kifayah, namun kerana masih kosongnya kekhilafahan, kefarduan tersebut masih belum tertunai, dan segenap usaha perlu dicurahkan oleh semua yang mampu untuk mendirikannya.

5. Khabar gembira

        Siapakah yang bakal menjadi pengikut al-Mahdi? Kita semua berharap jika Imam Mahdi muncul, maka salah seorang yang terpilih adalah kita. Namun sebenarnya, persoalan yang lebih utama adalah, dapatkah kita menjadi salah seorang yang termasuk golongan yang berusaha menegakkan kekhilafahan sebelum al-Mahdi? Itu persoalan yang lebih dekat kerana berbanding sekadar menunggu ketibaan Imam Mahdi, berusaha menegakkan kekhilafahan sebelum beliau setidaknya merealisasikan dua perkara.

        Pertamanya, kewajiban atas bahu umat akan terangkat. Kita semua dapat berbai’at kepada khalifah yang mewakili seluruh umat Islam. Umat Islam akan disatukan di bawah satu pemerintahan Islam, sempadan-sempadan khayalan ciptaan barat tentang negara bangsa akan diruntuhkan. Syariat akan dapat diterapkan dengan sesempurna mungkin, dan keberkahan akan datang untuk setiap hukum Islam yang diterapkan, insyaallah. Pengurusan umat akan menjadi lebih baik jika pemimpinnya tetap menerapkan peraturan Islam, dengan kebijaksanaan yang terarah dan manuver politik yang terancang.

        Keduanya, kita berpeluang menjadi golongan yang memenuhi bisyarah/khabar gembira Rasulullah ﷺ secara tidak langsung, iaitu mewujudkan kekhalifahan akhir zaman sebelum al-Mahdi, sesuai dengan hadis-hadis yang telah disebutkan sebelumnya. Tidakkah kita teringin menjadi seperti Muhammad al-Fatih dan pasukannya yang memenuhi bisyarah pembukaan Konstantinople? Atau seperti Saidina Umar al-Khattab yang telah menundukkan dua empayar pada masanya, menundukkan Rom di Syam dan empayar Parsi? Rasulullah ﷺ telah mengkhabarkan bisyarah tentang kembalinya khilafah seperti berikut:

تَكُونُ النُّبُوَّةُ فِيكُمْ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلاَفَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكاً عَاضًّا فَيَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكاً جَبْرِيَّةً فَيَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلاَفَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ نُبُوَّةٍ. ثُمَّ سَكَتَ

Akan ada zaman kenabian di tengah-tengah kalian, ia ada selama Allah (swt) menghendakinya ada. Kemudian Allah (swt) mengangkatnya apabila Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada zaman Khilafah di atas jalan kenabian (Khilafah ala minhaj nubuwwah), ia ada selama Allah (swt) menghendakinya ada. Kemudian Allah (swt) mengangkatnya apabila Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada zaman kerajaan yang menggigit (Mulkan ’Adhan), ia ada selama Allah (swt) menghendakinya ada. Kemudian Allah (swt) mengangkatnya apabila Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada zaman kerajaan yang diktator (Mulkan Jabariyyatan), ia ada selama Allah (swt) menghendakinya ada. Kemudian Allah (swt) mengangkatnya apabila Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan kembali zaman Khilafah di atas jalan kenabian (Khilafah ala minhaj nubuwwah). Kemudian baginda (saw) diam [HR Ahmad dan Baihaqi dari Nu’man bin Basyir dari Hudzaifah]. (Tsaqafiyah, 2020)

        Ketika ini, antara berita gembira yang melibatkan umat Islam yang belum terpenuhi adalah kembalinya khilafah dan dibukanya kota Rom. Sedangkan, petanda-petanda buruk akhir zaman, telah ada dan sedang kita lalui, seperti bermaharaja lelanya riba, arak dan zina, berpecahnya umat, hilangnya amanah serta lain-lain. Biarlah keburukan-keburukan ini dihilangkan dengan terpenuhinya zaman yang dipimpin Islam, iaitu kembalinya khilafah atas manhaj kenabian, seterusnya kota Rom dibuka oleh futuhat Umat Islam.

        Allah telah berjanji, akan memberikan kekuasaan kepada hambaNya yang beriman dan beramal Soleh sebagaimana firmanNya:

وَعَدَ اللّٰهُ الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى الْاَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِهِمْۖ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِيْنَهُمُ الَّذِى ارْتَضٰى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِّنْۢ بَعْدِ خَوْفِهِمْ اَمْنًاۗ يَعْبُدُوْنَنِيْ لَا يُشْرِكُوْنَ بِيْ شَيْـًٔاۗ وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذٰلِكَ فَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْفٰسِقُوْنَ

Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa sesungguhnya Dia akan menjadikan mereka berkuasa di atas muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, daripada keadaan takut menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dan tidak mempersekutukanKu dengan sesuatu apapun. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka merekalah orang-orang yang fasik.

Lafaz “لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ” juga boleh dimaknai dengan “memberikan kekhilafahan”. Dan janji Allah ini sangat ditekankan dengan wujudnya beberapa huruf taukid (penegasan) yang seolah-olah memberitahu kita bahawa “sungguh, sungguh, sungguh Allah akan memberikan kekuasaan”. Dan kekuasaan yang akan diberikan sama seperti umat terdahulu seperti kekhilafahan Nabi Daud alaihissalam, Sulaiman alaihissalam dan lain-lain, yang merupakan nubuwwah, hinggalah kekuasaan Rasulullah dan para sahabat, sesuai dengan terpakainya ayat ini untuk seluruh umat Islam.

        Syaratnya adalah kita beriman dan beramal soleh. Amal soleh yang bagaimana? Amal soleh yang boleh memenuhi lapar adalah makan dengan segala hukumnya. Amal soleh bagi mengantuk adalah tidur dengan segenap adabnya. Manakala amal soleh bagi yang perlu memenuhi hajatnya adalah dengan meng-qada’ hajatnya, sesuai dengan syariat. Begitulah, amal soleh untuk menegakkan kekhilafahan tentulah pada usaha yang berkait langsung dengan misinya, iaitu perjuangan politik mengikuti lunas-lunas syariat.

        Semoga kita semua, umat Islam, termasuk di dalamnya umat Melayu dan Nusantara juga termasuk golongan yang turut serta dalam bisyarah baginda Nabi ﷺ , iaitu bisyarah tertegaknya kekhilafahan sebelum munculnya Imam Mahdi. Wallahu a’lam.

RUJUKAN

Al-bakri, Dr Zulkifli Muhammad. (2022, Februari 18). Hakikat Sebenar Imam Mahdi. Diakses pada Januari 24, 2023, dari maktabahalbakri.com: https://maktabahalbakri.com/521-hakikat-sebenar-imam-mahdi/

Al-Haitsami, Nuruddin Ali bin Abu Bakr bin Sulaiman al-Shafi’ie. (2015). Majma’u az-Zawa’idi wa Manba’u al-Fawaidi (Vol. 15). (H. S. al-Darani, Ed.) Jeddah, Arab Saudi: Dar al-Minhaj.

Al-Munajjid, Muhammad Soleh. (2009, Sepetember 18). Tafsiru Hadithin Yaqtatilu Inda Kanzikum Hadza Tsalatsatun Kulluhum Ibnu Khalifah. Diakses pada Januari 24, 2023, dari islamqa.info: https://islamqa.info/ar/answers/136537/

Al-Qari, Mulla Ali. (2001). Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masobih (1 ed., Vol. 10). (S. J. Aitani, Ed.) Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

An-Nabhani, Taqiyuddin. (2003). As-Syakhsiyah al Islamiyyah (5 ed., Vol. 2). Beirut: Dar al-Ummah.

As-Suyuthi, Jalaluddin. (2012). Tarikh Khulafa’ (Tarikh al-Khulafa’). (I. Sulaiman, Ed., & S. Rahman, Trans.) Jakarta Timur: Pustaka al-Kautsar.

‘Atha bin Khalil Abu Ar-Rusytah. (2005). Ajhizatu Daulati al-Khilafah fi al-Hukmi wa al-Idarah. Beirut: Dar al-Ummah.

Ibnu Katsir, Abul Fida’ Ismail. (2010). Huru-hara Hari Kiamat ( An-Nihayah: Fitanun wa Ahwalun Akhir Az-Zaman). (H. N. Burhanuddin, Ed., & H. I. H. Anshori Umar Sitanggal, Trans.) Jakarta Timur: Pustaka al-Kautsar.

Qal’ahji, Muhammad Rawwas. (1996). Mu’jam Lughah al-Fuqaha’. Beirut: Dar al-Nafa’is.

Tsaqafiyah, L. (2020, Februari 12). Mengimani Bisyarah Rasulullah SAW Dalam Memandu Hala Tuju Umat Islam Abad ke-21. Diakses pada Januari 24, 2023, dari mykhilafah.com: https://mykhilafah.com/mengimani-bisyarah-rasulullah-saw-dalam-memandu-hala-tuju-umat-islam-abad-ke-21/

Tuasikal, Muhammad Abduh. (2019). Prediksi Akhir Zaman. (I. Ristianto, Ed.) Yogyakarta: Penerbit Rumaysho.

Laman sesawang bagi terjemahan Ayat al-Quran dan matan Hadis

https://islamarchive.cc/H_451025  diakses pada Januari 21, 2023

https://tafsirq.com/24-an-nur/ayat-55   diakses pada Januari 23, 2023