Pemimpin gereja Britain minta undang-undang syariah dibenar

LONDON 8 Feb. _ Ketua Uskup (Archbishop) Canterbury semalam meminta dibenarkan pelaksanaan undang-undang syariah secara terhad di Britain, cadangan yang mendapat pujian dari penduduk Islam Britain.

Cadangan yang dianggap luar biasa daripada seorang pemimpin tinggi gereja itu jika diterima akan memberi ruang kepada penduduk Islam Britain menyelesaikan pertikaian perkahwinan dan harta mengikut undang-undang Islam dan tidak melalui mahkamah-mahkamah sivil Britain .

Ketua Uskup Rowan Williams dalam satu temu ramah radio dengan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) berkata, pelaksanaan undang-undang Islam boleh membantu membaiki masalah sosial.

Menurut beliau, langkah memperkenalkan undang-undang Islam merupakan suatu yang “tidak boleh dielak.”

“Beberapa peruntukan dalam syariah sudah diiktiraf dalam masyarakat kita dan diterima di bawah undang-undang kita, jadi kita bukan membawa suatu yang asing dan bertentangan dengan sistem,” katanya.

Bagaimanapun, jurucakap kepada Perdana Menteri Gordon Browan menolak cadangan Williams itu.

“Perdana Menteri percaya undang-undang Britain perlu dilaksana di negara ini berdasarkan nilai Britain ,” tegas Michael Ellam.

Cadangan tersebut juga ditolak oleh Sayeed Warsi, seorang menteri bayangan bagi Perpaduan Masyarakat dan Tindakan Sosial.

Beliau memberi alasan bahawa semua rakyat Britain tertakluk kepada undang-undang yang sama.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Ramadhan, Mohammed Shafiq berkata, pelaksanaan undang-undang syariah akan mengurangkan ketegangan dalam masyarakat.

“Ia akan menjadikan orang Islam berbangga menjadi orang Britain. Ia juga akan menjadikan orang Islam yakin negara ini menghormati kepercayaan mereka,” katanya.

Menurut beliau, rakyat bukan Islam Britain juga perlu memahami bahawa cadangan Williams itu tidak bermaksud pelaksanaan dalam hal ehwal jenayah tetapi untuk pertikaian sivil.

Mohammed dan Williams menyatakan, Britain telah membenarkan penganut Yahudi Orthodok menyelesaikan pertikaian mengikut undang-undang tradisional Yahudi.

– AP
 
Sumber: Utusan Malaysia 09/02/08
 
Ulasan:
 
Kata-kata Ketua Paderi ini nampaknya sekali lagi membuktikan bahawa kebangkitan Islam sudah tidak dapat dielakkan. Dengan perjuangan dan sokongan untuk mengembalikan Khilafah dan Ahkam Syariah yang berlaku di seluruh dunia sekarang, tak hairanlah jika seorang Ketua Paderi seperti Rowan Williams ini meminta kerajaan Britain supaya melaksanakan hukum Islam untuk masyarakat Muslim di Britain.
 
Beberapa tahun sebelum ini, Rowan Williams adalah penulis yang mengkritik Islam dan mengaitkan Islam dengan keganasan. Menariknya kali ini, beliau mengakui bahawa penerapan Ahkam Syariah adalah “suatu yang tidak dapat dielakkan”. Mungkin beliau sudah mula mengkaji dan melihat keindahan hukum Allah di dalam menyelesaikan masalah masyarakat atau mungkin juga beliau sudah nampak bahawa hukum sekular yang ada tidak sudah dapat menyelesaikan masalah yang ada tetapi hanya menambahkan derita masyarakat, maka perlaksanaan hukum Islam di Britain adalah “suatu yang tak dapat dielakkan”.

Tidak dapat dinafikan bahawa perjuangan untuk menegakkan Khilafah oleh Hizbut Tahrir di Britain adalah antara yang terkuat di dunia dan dialog (tentang kebenaran agama, bukan kompromi antara agama) selalu diadakan oleh Hizbut Tahrir dengan puak Kristian di sana, maka Ketua Paderi ini sudah yakin bahawa satu hari nanti Negara Khilafah akan kembali tegak.
 
Jika kita melihat kepada kemasukan dan ketamadunan Islam di dunia mahupun Eropah, khususnya kepada pembukaan kawasan Parsi, Andalus (Sepanyol) dan Afrika Utara oleh Khilafah pada masa itu, sejarah telah membuktikan bahawa ramai orang yang memeluk Islam disebabkan hukum-hakam Islam telah memberikan penyelesaian kepada permasalahan kehidupan mereka. Sehinggakan ada di kalangan orang Yahudi mengatakan zaman keemasan dalam sejarah mereka adalah apabila kaum Muslimin berkuasa di Andalus pada kurun 8-11 Masihi. Sekarang kita telah melihat hal ini mula disedari di Britain. Tidak mustahil dengan usaha gigih yang berterusan dari para pejuang di jalan kebenaran bahawa negara kaum kafir yang ada sekarang akan bertukar menjadi Negara Islam, sebagaimana pernah dikatakan oleh seorang warga Britain, “It is not impossible that Britain may one day turn into an Islamic State”.