Undang-undang Syariah Mana Yang Ingin Diseragamkan?

PUTRAJAYA, 13 April – Langkah pertama menghadap raja-raja Melayu akan dilaksanakan dalam proses menyempurnakan penyeragaman undang-undang syariah di seluruh negara.   Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom yang kini bertanggungjawab menjaga portfolio hal ehwal Islam.  Katanya, pertemuan dengan raja-raja Melayu pada bulan depan itu juga akan disertai oleh wakil agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).   Undang-undang tersebut membabitkan Pentadbiran Islam, Keluarga Islam, Keterangan Mahkamah Syariah, Tatacara Mal dan Jenayah Syariah yang kesemuanya telah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu pada 2001.  

”Setakat ini kita belum menentukan negeri mana yang kita akan turun dahulu tetapi insya-Allah kita akan lakukan secepat mungkin.    ”Pada masa ini kita akan tumpukan kepada undang-undang keluarga Islam supaya penyeragaman dapat dibuat dan menerima pakai undang-undang telah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya.   Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perundingan Islam (MPI) Ke-2, 2009 di sini hari ini.   Hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.   

Menurut Jamil Khir, mesyuarat MPI kali ini membincangkan cadangan penubuhan koperasi di masjid-masjid di seluruh negara yang dilihat mampu menjana ekonomi masyarakat Islam.  

”Kita sebenarnya mempunyai kekuatan kerana orang Islam ramai dan kawasan masjid dikelilingi oleh penduduk beragama Islam, jadi mengapa kita tidak kembangkan dalam bentuk koperasi.     ”Dalam hal ini, kita akan bekerjasama dengan Angkatan Koperasi (Angkasa) yang telah bersetuju menyediakan model koperasi yang sesuai,” katanya.  

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, kerajaan akan meneliti terlebih dahulu masjid-masjid yang berpotensi bagi dijadikan projek perintis koperasi berkenaan.   Selain itu, beliau menjelaskan, pihaknya juga ingin melihat badan-badan korporat dapat turut mengambil peranan untuk memberikan sumbangan kepada program-program berbentuk dakwah.

Sumber : Utusan Malasyia,14/04/09

Undang-undang Syariah Mana Yang Ingin Diseragamkan?

Sesuatu yang tidak pelik apabila melihat segelintir umat Islam yang sudah terlalu dibelenggu dengan hamparan dunia ini sehinggakan mereka terpedaya dengan kehidupan fatomargana yang rendah lagi menipu ini. Mana tidaknya, undang-undang ciptaan manusia di katakan undang-undang syariah! Persoalan “bola tanggung” ingin kita tujukan kepada Jamil Khir; undang-undang syariah mana yang ingin beliau seragamkan? Apakah “undang-undang 356 jenayah syariah” [Maksimun 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan tidak lebih 6 kali sebatan] yang ada saat ini yang di maksudkan untuk diseragamkan? Apakah kalian yang mempunyai ilmu syariah tidak dapat membezakan di antara syariat Islam dengan syariat taghut?  Satu peringatan bagi mereka yang dibuai dengan kesenangan kehidupan dunia yang menipu ini agar tidak sampai tergolong dalam deskripsi Allah,

“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada taghut itu. Dan syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh” [TMQ An Nisaa'(4): 60].

Untuk itu, selayaknya kalian yang mempunyai ruang dan peluang untuk bertemu dan berjumpa dengan pemerintah yang berkuasa saat ini agar merebut kesempatan ini untuk mengingatkan mereka tentang kewajiban yang terletak di atas bahu mereka untuk menerapkan Islam yang kaffah di dalam kehidupan individu, masyarakat mahupun negara. Inilah sepatutnya tugas yang pertama yang patut kalian lakukan dan dahulukan, bukannya terus mengukuhkan sistem sekular Kapitalisme dengan ‘menyekularkan’ lagi kehidupan kaum Muslimin yang telahpun jauh dari Islam semenjak penjajah British keluar dari Malaysia ini.

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”. [TMQ Al Maa-idah (5):50].

Rebutlah dan bersegerahlah kalian dalam  menjadi mereka yang paling awal menyahut seruan ayat Allah SWT,

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa”. [TMQ Ali ‘Imran (3) :133]