Masalahnya bukan pada bekalan wang yang beredar, tetapi pada jenis matawang dan sistem yang mengaturnya!

Dalam sebuah wawancara bersama stesen BFM pada Isnin lalu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan agar dasar kewangan “wang helikopter” dengan bank pusat secara langsung mencipta iaitu mencetak wang dan memberikannya kepada rakyat supaya mereka dapat membelanjakannya.

Cadangan tersebut mendapat respons daripada bekas pengerusi PNB, Jalil Rasheed yang menolak idea tersebut melalui ciapannya di Twitter. Terdapat ramai pihak lain yang turut mengkritik cadangan tersebut dan ada yang mengingatkan beliau akan apa yang terjadi di Zimbabwe.

Wang yang wujud pada hari ini merupakan fiat money, wang kertas yang tidak disandarkan kepada emas dan perak. Wang kertas ini “menjadi berharga” hanya setelah pemerintah menetapkan undang-undang bagi memaksa masyarakat supaya ‘percaya’ bahawa kertas itu benar-benar berharga sesuai dengan nilai nominal yang tertera di atasnya.

Penggunaan fiat money itu sendiri mengakibatkan inflasi dan ketidakadilan ekonomi. Tindakan mencetak wang pula akan menyebabkan inflasi semakin meningkat dan berakhir dengan kemelesetan ekonomi. Inflasi/kemelesetan ini sangat merugikan kegiatan ekonomi masyarakat terutama kelas bawahan, menekan kuasa membeli, meningkatkan kadar pengangguran dan penyakit sosial di tengah-tengah masyarakat.

Islam hadir dengan solusi yang memberikan keadilan dan kestabilan ekonomi. Sebelum kedatangan Rasulullah lagi, masyarakat telah menggunakan matawang emas dan perak. Rom dan Parsi ketika itu sudah terkenal melakukan transaksi dengan menggunakan kedua-dua jenis logam itu.

Setelah Islam datang, Rasulullah (saw) menetapkan (dengan taqrir) penggunaan dinar dan dirham tersebut sekali gus menetapkannya sebagai mata wang. Rasulullah (saw) juga menetapkan timbangan mata wang dinar dan dirham hendaklah seperti yang telah berlangsung pada masa Quraisy. Dari Thawus dari Ibnu Umar, Rasulullah (saw) bersabda,

“Timbangan adalah timbangan penduduk Makkah dan takaran adalah takaran penduduk Madinah” [HR Abu Daud].

Sejarah dunia sudah pun membuktikan bahawa emas bertahan selama ribuan tahun sebagai alat transaksi sebelum digantikan dengan dollar Amerika Syarikat dalam perjanjian Bretton Woods. Emas dan perak mempunyai nilai intrinsik, sekali gus menjadikannya stabil, dan inilah jenis mata wang yang syarie. Sejarah telah membuktikan bagaimana stabilnya ekonomi dunia tatkala emas dan perak digunakan sebagai matawang, apatah lagi kestabilan dalam Daulah Khilafah itu sendiri. Sejak matawang dunia telah bertukar kepada fiat money, masalah mula timbul, dan acapkali menjadi sangat serius sehingga ekonomi dunia merudum dengan cukup dahsyat.

Penerapan sistem ekonomi kapitalis yang penuh dengan kepincangan juga merupakan akar permasalahan yang melanda. Munculnya pandemik COVID-19 telah membongkar dengan lebih besar akan kerapuhan sistem tersebut. Maka, sungguh menghairankan, jika tidak dikatakan sebagai suatu kebodohan, untuk kita terus berpaut kepadanya.

Atas dasar itulah kita memerlukan perubahan sistemik yang merombak keseluruhan tata kehidupan menuju kepada penerapan Islam secara menyeluruh, termasuklah dalam persoalan ekonomi. Ringkasnya dalam isu ini, tinggalkan fiat money dan kembali kepada penggunaan emas dan perak sebagai matawang.

Wallahu a’lam.