Syariat Islam Bukan Sekadar Dinar & Dirham

altDinar emas bukan wang dunia

KUALA LUMPUR 15 April – Pakar ekonomi dari University of Cambridge, United Kingdom, Lord Eatwell menyifatkan dinar emas tidak sesuai digunakan sebagai mata wang di peringkat antarabangsa. Beliau yang merupakan Pengarah Pusat Penganalisis Kewangan dan Polisi University of Cambridge berkata, ini berikutan dinar emas tergolong dalam kategori komoditi yang mempunyai harga pasaran tidak menentu.

”Saya sendiri tidak berminat dengan emas. Ia tidak boleh digunakan di peringkat antarabangsa kerana kita tidak boleh menduga pasaran pada masa akan datang,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menyampaikan syarahan pada Wacana Perniagaan dan Pengurusan: Mengangkat Teori dan Praktis di sini hari ini. Wacana itu dianjurkan oleh Pusat Perniagaan, Othman Yeop Abdullah, Universiti Utara Malaysia. Dinar emas pernah dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk dijadikan mata wang dunia kerana ia menawarkan nilai yang lebih stabil berbanding wang kertas. Tun Mahathir berkata, langkah menggunakan dinar emas sebagai ganti mata wang utama seperti dolar Amerika Syarikat (AS) dalam pelbagai transaksi juga boleh menghentikan perang mata wang. Katanya, dolar AS kini sudah tidak bernilai seperti mana beberapa tahun dahulu dan penggunaan mata wang kertas juga tiada lagi sehebat sebelum krisis ekonomi pada tahun 1997/98 dan penggunaan dinar emas adalah jalan penyelesaian terbaik. “Mata wang AS kini boleh dianggap sebagai tisu tandas kerana nilainya semakin menyusut dan tidak berharga berbanding emas yang diterima di semua negara dunia,” katanya.

Ketika ditanya tentang pandangan beliau mengenai Malaysia dalam menghadapi krisis ekonomi 1997 dan 2007, Eatwell berkata, Malaysia telah mengambil pendekatan yang betul. Katanya, Malaysia menggunakan mekanisme tersendiri bagi mengelak daripada kerugian besar pada krisis ekonomi tersebut. ”Negara ini didapati telah belajar daripada pengalaman krisis ekonomi pada 1997 yang lalu dan telah bersedia berhadapan dengan krisis ekonomi kemudiannya,” ujarnya. Menurut Eatwell, pada krisis ekonomi beberapa tahun lalu, Malaysia tidak terlalu terjejas berbanding Thailand, Indonesia dan beberapa negara jiran yang lain yang kehilangan pendapatan yang tinggi.

Sumber : Utusan Online, 17/04/11
 

Syariat Islam Bukan Sekadar Dinar & Dirham


Sudah banyak kali persidangan serta simposium berkenaan penggunaan wang emas (dinar) dan perak (dirham) dianjurkan oleh pelbagai pihak. Namun setiap kali persidangan, ia hanya membuahkan hasil yang sama, iaitu dinar dan dirham sebagai matawang tetap tidak dilaksanakan. Emas bukanlah suatu yang asing bagi umat manusia, kerana ia telah digunakan sejak sekian lama sehinggalah pada 15 Ogos 1971 apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Richard Nixon, mengumumkan bahawa AS membatalkan Perjanjian Bretton Woods yang menyebabkan sejak itu emas tidak lagi menjadi piawai matawang dunia dan dunia mula menggunakan wang ‘fiat’. Dengan penggunaan wang fiat ini secara meluas, pelbagai kerosakan telah timbul kerana wang ini bebas untuk dicetak sesuka hati. Natijahnya, wang fiat yang beredar dalam pasaran sekarang tiada beza nilainya berbanding dengan tisu tandas. Dunia telah menyaksikan dengan penggunaan wang fiat ini secara menyeluruh, ia telah menimbulkan pelbagai masalah seperti inflasi yang akhirnya menyebabkan bencana dalam ekonomi dunia.

Emas telah digunakan sebagai medium pertukaran sejak sekian lama. Malah, sebelum kedatangan Islam, emas sudah dijadikan medium pertukaran bagi masyarakat dunia pada masa itu. Pernyataan bahawa dinar dan dirham tidak layak dijadikan matawang dunia adalah suatu pernyataan yang diasaskan kepada pemahaman realiti ekonomi dunia yang cukup lemah! Hakikatnya, emas dan perak adalah jauh lebih stabil dari matawang fiat sebagai alat tukar!

Matawang emas dan perak yang paling banyak pada zaman Rasulullah ialah wang emas Romawi dan wang perak Parsi. Setelah kedatangan Islam, Rasulullah mengakui penggunaan matawang ini sebagai standard pertukaran untuk digunakan. Keputusan Rasulullah ini merupakan suatu penjelasan kepada kaum muslimin supaya menjadikan dinar-dirham sebagai matawang yang syarie untuk dijadikan standard pertukaran dan dilaksanakan. Tentang ini Rasulullah bersabda :

“Takaran adalah takaran penduduk Madinah dan timbangan adalah timbangan penduduk Makkah”
[HR Abu Daud, an-Nasa’i, al-Baihaqi]

Dinar dan dirham juga merupakan suatu yang tidak dapat dipisahkan dengan penerapan hukum Islam. Ini kerana, bukan sahaja ia merupakan ketetapan syarak, malah terdapat juga hukum-hakam Islam yang berkaitan dengannya seperti hukum berkaitan dengan haramnya penimbunan harta serta dalam penentuan had untuk seseorang pencuri dikenakan hudud . Rasulullah bersabda,

“Tangan dipotong bagi kecurian suku (satu per empat) dinar atau lebih.
[HR Bukhari]

Namun begitu, dalam keghairahan  kita untuk memperjuangkan penggunaan dinar-dirham dalam transaksi muamalah sesama manusia, kita tidak boleh memisahkannya dari hukum Islam yang lain kerana hukum-hakam Islam bersifat integral. Oleh itu, perjuangan menegakkan sistem kewangan Islam haruslah diperluaskan kepada perjuangan untuk menerapkan syariah secara sepenuhnya dan bukannya sebatas pelaksanaan satu juzuk dari Islam seperti pengunaan matawang dinar-dirham. Dengan izinNya, redha Allah akan diraih dengan penerapan Islam secara kaffah (menyeluruh) dan bersatunya umat Islam di bawah payung Khilafah.