Perpaduan ummah vs perpaduan parti politik

poster-multaqa-serantauUntuk seketika, perhatian seluruh rakyat dialihkan kepada isu perpaduan antara dua parti terbesar di Malaysia iaitu UMNO dan PAS. Inisiatif untuk perpaduan kedua-dua parti ini telah lama pun dibincangkan, tetapi kali ini berjaya mengorak satu langkah baru apabila Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 berjaya menggandingkan presiden UMNO dan PAS di atas satu pentas, dengan disaksikan oleh wakil kedua-dua parti dan ramai agamawan lulusan al-Azhar.

 Langkah untuk perpaduan ini memang wajar dipuji sekiranya tidak ada apa-apa agenda politik tertentu yang terselindung di sebaliknya. Namun, sukar untuk dikatakan begitu kerana ternyata fokus Multaqa yang bersidang selama 3 hari itu hanyalah perpaduan antara UMNO dan PAS dengan mengenepikan banyak lagi gerakan Islam lainnya, seolah-oleh gerakan Islam lain yang ‘minoriti’ tidak perlu dipanggil atau didengar pendapat mereka, atau tidak perlu diperpadukan!

 Tema “Perpaduan Ummah Merentasi Ideologi” menjadi hilang maknanya apabila ternyata (menurut apa yang dilaporkan media) hanya dua parti politik sahaja yang dijemput dan dijadikan fokus perbincangan di sepanjang Multaqa sedangkan Multaqa berlangsung selama 3 hari yang boleh membincangkan banyak perkara sekiranya lebih ramai wakil gerakan Islam yang diundang. Para alumni dari al-Azhar ini seharusnya lebih berjiwa besar dan terbuka dalam hal ini jika benar-benar ingin bercakap tentang perpaduan.

Itu dari satu aspek. Dari aspek lainnya, terdapat beberapa persoalan yang perlu dituntaskan berhubung perpaduan ummah itu sendiri. Antaranya, apakah yang dimaksudkan dengan “perpaduan ummah”, siapakah yang selama ini menjadi pemecah kepada perpaduan ummah dan bagaimanakah kita ingin membentuk kembali perpaduan itu?

Sungguh malang jika pengertian dan usaha ke arah perpaduan ummah hanya disempitkan perbincangannya kepada perpaduan antara dua parti politik terbesar di Malaysia. Kita wajib memahami bahawa perpaduan ummah bermaksud perpaduan umat Islam dan umat Islam bermaksud siapa sahaja yang mengucap syahadah, tidak kira apa bangsanya dan di mana sahaja ia tinggal, baik di Malaysia mahupun di seluruh dunia. Inilah maksud ummah. Jangan hanya melihat ummah yang ingin dipadukan itu hanya dari kalangan ahli-ahli UMNO dan PAS sahaja.

Jika benar Perdana Menteri inginkan perpaduan ummah sebagaimana ucapannya dalam Multaqa, maka kenapakah umat Islam dari Indonesia, dari Myanmar, dari Bangladesh dan lain-lain dinafikan haknya untuk tinggal di negara ini dan daripada menjadi warganegara? Kenapakah mereka dihalau, walhal mereka adalah umat Islam yang ingin mencari pekerjaan, perlindungan dan tempat tinggal di sini, yang juga merupakan wilayah Islam? Di manakah nas al-Quran dan al-Hadis yang membenarkan kita menghalau mereka keluar dari bumi Malaysia ini, yang juga merupakan tanah mereka selaku umat Islam, umat yang satu?

Persoalan berikutnya, siapakah yang selama ini memecahbelahkan perpaduan ummah, sehingga kita wajib menyatupadukan ummah ini kembali pada hari ini? Jika kita lihat sejarah, umat ini ternyata telah bersatu padu di bawah satu payung pemerintahan, sejak dari tegaknya Daulah Islam yang pertama di Madinah, sehinggalah ke Daulah Islam yang terakhir di Turki. Hanya setelah umat ini meninggalkan banyak ajaran al-Quran serta diresapi dengan semangat assabiyyah dan wathaniyyah hasil usaha licik kuffar Barat, maka berlakunya penentangan terhadap Khilafah dan usaha untuk memisahkan diri dari Negara Khilafah dan membentuk negara berasaskan bangsa (nation states).

Dalam masa yang sama, negara Khilafah semakin lemah dan Barat semakin kuat, yang memudahkan Barat menghancurkan kesatuan umat dengan melarikan umat Islam dari ajaran al-Quran dan meruntuhkan Khilafah sebagai tembok kekuatan umat. Ringkasnya, Barat akhirnya berjaya menjajah umat Islam, baik secara pemikiran mahupun fizikal sehingga menyebabkan umat Islam terpecah belah kepada lebih 50 buah negara sejak dari runtuhnya Khilafah pada 1924.

Malangnya, setelah Barat keluar dari negara umat Islam yang dijajahnya, mereka telah melantik pemimpin yang merupakan boneka mereka dan para pemimpin inilah yang telah mengekalkan sempadan negara palsu yang dicipta oleh penjajah sehingga menyebabkan umat ini terus terpecah-belah. Hukum-hukum al-Quran ditinggalkan dan diganti dengan hukum demokrasi. Inilah penyebab kepada perpecahan umat yang sebenar. Sempadan negara bangsa inilah yang menjadikan Malaysia tidak bersatu dengan Indonesia, dengan Bangladesh, dengan Brunei dan lain-lain, sehingga masing-masing menganggap tanah yang mereka diami adalah hak mereka dan bukan hak orang Islam yang berlainan bangsa dan tempat lahir dengan mereka!

Jadi, untuk menyatupadukan semula umat ini, bukanlah dengan menyatupadukan di antara dua parti politik yang berbeza pandangan, tetapi tidak lain tidak bukan adalah dengan semua pihak, khususnya UMNO, kembali berpegang teguh dengan seluruh ajaran al-Quran dan al-Sunnah, bukannya terus berpegang dengan ajaran Lord Reid dan ajaran demokrasi lainnya.

Menyatupadukan umat ini wajib dilakukan dengan jalan menegakkan kembali Daulah Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah dan mempersatukan semula umat ini di bawah satu payung pemerintahan sebagaimana dahulunya, melantik seorang Khalifah untuk seluruh kaum Muslimin di dunia yang akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Inilah satu-satunya metodologi untuk menyatupadukan semula umat ini dan bukannya disempitkan dengan usaha perpaduan di antara dua parti politik.