SN700 – Apabila Pemerintah Saling Memecat: Krisis Tahta Negeri Sembilan

Bil: SN700 (PDF/Print) – 27 Rabi’ulakhir 1448 / 9 Oktober 2026
Sejak April 2026, Negeri Sembilan menyaksikan sesuatu yang hampir tidak pernah berlaku dalam sejarah monarki Malaysia. Pengisytiharan pelucutan takhta, pertikaian terhadap pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar (YDPB), pemboikotan majlis rasmi, kejatuhan kerajaan negeri serta pilihan raya mengejut berlaku silih berganti, mencerminkan pergolakan yang berpanjangan. Namun meskipun pilihan raya telah selesai, kemelut masih belum berakhir. Pertikaian kini beralih kepada persoalan yang lebih mendasar – siapakah sebenarnya yang berhak menentukan keabsahan tindakan sesebuah institusi?
Kebanyakan ulasan melihat krisis ini sebagai perebutan kuasa antara individu, atau kegagalan komunikasi antara Istana, Undang-Luak dan kerajaan negeri. Pandangan itu tidak salah, tetapi ia masih terbatas pada gejala di permukaan, tanpa menyentuh akar persoalan yang sebenar. Sautun Nahdhah kali ini mengajak para pembaca menelusuri punca sebenar permasalahan, yang berakar pada struktur sistem itu sendiri. Sistem yang dibina atas pelbagai sumber kedaulatan pasti akan bertembung apabila sumber-sumber itu tidak sepakat. Islam menawarkan jalan keluar yang berbeza pada asasnya, dengan meletakkan kedaulatan pada satu rujukan tertinggi – syariat Allah SWT.
Lingkaran Keabsahan yang Tiada Penghujung
Pada 5 Mac 2026, Undang Luak Sungei Ujong bertindak menentang YDPB semasa mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) berhubungan pelanggaran pentadbiran dan adat yang tidak dinyatakan. Pada hari yang sama, Undang Sungei Ujong bersama dua orang Undang yang lain bermesyuarat di Balai Undang Sungei Ujong. Mesyuarat tersebut mencapai kesimpulan bahawa YDPB tidak lagi layak memegang jawatan. Mereka kemudian mengarahkan Menteri Besar (MB) ketika itu untuk melaksanakan keputusan tersebut, namun arahan itu tidak dilaksanakan.
Pada 17 April 2026, DKU memutuskan pemecatan Undang Luak Sungei Ujong. Dua hari kemudian, pihak Undang yang terlibat bersama majoriti Undang Yang Empat mengisytiharkan pelucutan takhta YDPB, berpandukan tafsiran mereka terhadap Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959. Kemelut tersebut kemudiannya merebak ke Dewan Undangan Negeri sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri dan pilihan raya negeri pada 1 Ogos, diikuti dengan pelantikan Menteri Besar yang baru. Pada 16 September, Menteri Besar bersama barisan EXCO Negeri yang baharu menyatakan sokongan terhadap proklamasi kumpulan Undang Sungei Ujong untuk melucutkan YDPB sedia ada daripada jawatannya dan melantik YDPB yang baru [Malaysiakini – 17/09/26]. Sebaliknya, pada 20 September, YDPB sedia ada membatalkan pelantikan semua EXCO kerajaan negeri dan meminta MB menyediakan senarai baru EXCO, namun MB tidak menerima pembatalan tersebut. [BH- 21/9/26]
Lihatlah bagaimana setiap institusi bersandar kepada institusi lain untuk keabsahannya:
DKU yang dipengerusikan YDPB memecat seorang Undang, tetapi Undang itu turut serta dalam tindakan melucutkan takhta YDPB. Jika pemecatan itu sah, maka pelucutan takhta dipertikaikan. Jika pelucutan takhta sah, maka keputusan DKU pula dipersoalkan.
Menteri Besar pula dilantik melalui Yang di-Pertuan Besar dengan persetujuan Pembesar Memerintah (Undang Luak Berempat), sedangkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar itu sendiri menjadi pokok pertikaian.
Pilihan raya memberikan mandat kepada rakyat, tetapi mandat itu tidak mampu menyelesaikan persoalan takhta. Rakyat tidak memilih raja, dan Undang tidak dipilih oleh rakyat.
Inilah lingkaran keabsahan yang tiada titik akhir. Setiap pihak mempunyai hujah, dan setiap hujah bersandar kepada sumber yang berbeza. Tiada satu pun yang diterima oleh semua pihak sebagai pemutus muktamad.
Punca Sebenar Permasalahan : Kedaulatan yang Berbilang
Sistem pemerintahan di Negeri Sembilan hari ini menghimpunkan sekurang-kurangnya tiga sumber kuasa:
Yang pertama ialah Adat atau Adat Perpatih yang merupakan sistem kehidupan masyarakat Minangkabau yang diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang sekitar abad ke-11 Masihi. Namun, adat perpatih telah mengalami beberapa pengubahsuaian daripada asal apabila ia diamalkan di Negeri Sembilan. Dalam sistem adat perpatih di Negeri Sembilan, masyarakat disusun dalam struktur (dari bawah ke atas) : Rumpun -> Ruang. -> Perut -> Suku -> Luak. Manakala pemimpin daripada setiap struktur (dari bawah ke atas): Kedim -> Besar -> Buapak -> Lembaga -> Undang. Sistem adat inilah yang memberi kuasa kepada Undang dan DKU.
Yang Kedua ialah perlembagaan bertulis yang bermula sejak penjajahan British di Negeri Sembilan. Dalam perjanjian pada tahun 1895, 1898 dan 1934, British telah melakukan pengubahsuaian struktur politik dengan menggabungkan sistem Adat dengan pemerintahan Kolonial. Dalam pengubahsuaian ini YDPB dipilih oleh oleh Undang Berempat (Sungei Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau), dan struktur Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri untuk mengatur pentadbiran negeri diperkenalkan. Manakala peranan dan kuasa Undang-Luak dan YDPB dikecilkan berbanding sebelumnya. Kemudian, demi menyesuaikan dengan perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang baru merdeka, sebuah perlembagaan baru iaitu UUTKNS 1959 diwujudkan untuk menggabungkan adat, monarki dan sistem demokrasi.
Yang ketiga ialah demokrasi, yang meletakkan mandat pada undi rakyat melalui Dewan Undangan Negeri.
Ketiga-tiga sumber ini adalah ciptaan manusia. Adat dibentuk oleh kebiasaan masyarakat, perlembagaan digubal oleh manusia, dan demokrasi menjadikan suara majoriti sebagai penentu. Apabila ketiga-tiganya sepakat, sistem kelihatan ‘stabil’. Tetapi apabila berlaku pertembungan, tiada neraca yang lebih tinggi yang dapat digunakan untuk menimbang antara mereka. Adat tidak tunduk kepada undi, perlembagaan ditafsir berbeza oleh pihak yang bertelagah, dan undi rakyat tidak menjangkau soal takhta.
Inilah kecacatan struktur yang dimaksudkan. Masalahnya bukan terletak pada niat baik atau buruk mana-mana individu. Sistem yang meletakkan kedaulatan pada beberapa sumber sekali gus akan sentiasa terdedah kepada krisis apabila sumber-sumber itu berselisih.
Pandangan Islam tentang Perlantikan dan Pemecatan Imamah atau Khalifah
Di dalam Sistem Pemerintahan Islam, kuasa dan kepimpinan bersifat tunggal tetapi kedaulatan adalah di tangan syara’, bukan akal manusia. Imam al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah, bab pertama iaitu Pengangkatan Imamah, membincangkan dengan terperinci bagaimana Imamah(kepimpinan) diwujudkan dan bila ia boleh gugur. Beliau menjelaskan bahawa kepimpinan dilantik melalui pemilihan oleh ahl al-ikhtiyar atau ahlu halli wal aqd, iaitu golongan yang berkelayakan dari segi keadilan, ilmu dan kebijaksanaan, lalu disempurnakan dengan bai’ah. Beliau turut menggariskan syarat-syarat seorang Imam (Khalifah) serta keadaan yang menyebabkan kepimpinannya terbatal, seperti kecacatan pada keadilan dan kemampuannya.
Al-Mawardi menjelaskan lagi, syarat pemilih, syarat yang dipilih dan sebab pemecatan semuanya diukur dengan neraca syara’, bukan dengan tafsiran adat atau teks perlembagaan yang boleh dipertikaikan. Pertikaian tentang sah atau tidaknya seseorang pemimpin dikembalikan kepada hukum yang sama, dan hukum itu tidak berubah mengikut kepentingan pihak yang bertelagah.
Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam Ajhizah Dawlah al-Khilafah merumuskan dua prinsip asas pemerintahan Islam berdasarkan nas-nas yang qathi’ : kedaulatan milik syara’ (al-siyadah li al-syara’), dan kuasa pemerintahan milik umat (al-sultan li al-ummah). Umat memilih dan membai’ah pemimpin, tetapi umat tidak berhak membuat hukum yang bercanggah dengan syara’. Undang-undang tidak lahir daripada kebiasaan masyarakat atau undi majoriti, tetapi digali daripada al-Quran dan al-Sunnah.
Syeikh Taqiyuddin dan al-Mawardi turut membincangkan persoalan Mazhalim yang berfungsi menyelesaikan pertikaian antara pemerintah dan rakyat, serta antara pihak-pihak dalam pemerintahan itu sendiri. Mazhalim ini berkuasa memutuskan sama ada sesuatu tindakan pemerintah atau para pegawainya bercanggah dengan syara’. Tambahan lagi, Syeikh Taqiyuddin membincangkan lebih jauh fungsi Mazhalim termasuk dalam soal kedudukan pemimpin tertinggi, iaitu Sang Khalifah yang boleh dipecat oleh Qadi Mazhalim jika Khalifah telah hilang kelayakannya.
Oleh kerana setiap institusi dalam sistem pemerintahan Islam terikat kepada satu sumber yang sama, pertikaian sentiasa mempunyai rujukan akhir. Jika sistem ini diguna pakai, krisis seperti di Negeri Sembilan tidak akan berlarutan berbulan-bulan tanpa pemutus, kerana persoalan “siapa yang berhak memutuskan?” sudah mempunyai jawapan yang jelas.
Mungkin ada pihak yang akan menunjukkan bahawa sejarah khilafah juga pernah menyaksikan krisis kepimpinan dan pertumpahan darah. Ini benar, dan kejujuran menuntut kita mengakuinya. Namun, krisis-krisis itu berlaku apabila manusia menyimpang daripada neraca syara’, bukan kerana neraca itu sendiri bercanggah. Ini sangat berbeza dalam sistem ciptaan manusia , percanggahan terbina dalam strukturnya sejak awal, kerana sumber-sumbernya memang berbilang.
Kesimpulan
Krisis istana Negeri Sembilan 2026 bukan sekadar kisah pertelingkahan di sebuah negeri beradat. Ia merupakan cermin yang memperlihatkan kelemahan sistem yang meletakkan kedaulatan pada banyak tangan. Adat, perlembagaan dan demokrasi masing-masing mendakwa sebagai kuasa muktamad, tetapi akhirnya tiada siapa yang benar-benar muktamad. Inilah implikasi daripada sistem ciptaan manusia yang penuh pencanggahan antara satu dengan yang lain.
Umat Islam perlu melihat krisis ini sebagai peringatan dan peluang untuk berfikir. Bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, tetapi untuk bertanya soalan yang lebih besar: mengapa kita membiarkan urusan pemerintahan diputuskan oleh sumber-sumber ciptaan manusia yang saling bercanggah, sedangkan Allah SWT telah menurunkan neraca yang satu?
“Maka apakah mereka tidak mentadabbur al-Quran? Kalau sekiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah, nescaya mereka mendapati banyak percanggahan di dalamnya.” [Surah an-Nisa’: ayat 82]
Inilah wahyu Allah SWT yang membuktikan bahawa Al-Quran tidak memiliki pencanggahan di dalamnya. Begitu juga dengan wahyu Allah SWT yang lain dalam aspek sistem pemerintahan Islam yang ditunjukkan oleh Kekasih-Nya Rasulullah SAW dan diikuti oleh para Khulafa’ ar-Rasyidin iaitu Sistem Khilafah yang tidak wujud pencanggahan di dalamnya.
Bagi mereka yang berpegang kepada adat, prinsip ini telah lama terungkap dalam pepatah: “adat bersendi syarak’, syara’ bersendi Kitabullah.” Ungkapan ini tidak seharusnya tinggal sebagai warisan semata-mata, tetapi difahami sebagai prinsip yang meletakkan syara’ sebagai asas kehidupan dan pemerintahan. Dalam kerangka inilah terbuka jalan untuk kembali kepada Sistem Khilafah Islamiyyah, yang menjadikan hukum syara’ sebagai sumber kedaulatan.