Drama Politik Negeri Sembilan: “Sekejap Ada, Sekejap Tak Ada, Sekejap Ada”

Drama politik yang memualkan di Negeri Sembilan nampaknya telah pun melabuhkan tirainya, tetapi mungkin untuk sementara waktu sahaja. Terdapat kemungkinan yang tirai tersebut akan dibuka balik dengan episod baru. Setakat ini drama di negeri adat perpatih itu berakhir apabila big boss dan top guns kesemua parti yang terlibat mengadakan mesyuarat dan berjaya mencapai kata sepakat untuk menutup skrip. Walaupun drama tersebut kelihatan berakhir dengan happy ending, tetapi tidak mungkin they live happily ever after.

Mutakhir ini, tindakan orang-orang politik melakukan U-Turn sudah menjadi suatu yang normal, sebuah tindakan yang suatu waktu dahulu dikecam dan dicemuh habis-habisan. Kini, dua-tiga kali U-Turn pun sudah menjadi perkara biasa, bahkan telah dilakukan oleh ramai politikus dari banyak parti politik. Istilah aib dan maruah sudah tidak ada dalam kamus para politikus ini.

Jika difikir secara logik atau rasional, memang tidak logik dan tidak rasional untuk kesemua 14 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno yang pada awalnya mempunyai kepercayaan (confidence) kepada Menteri Besar selama bertahun-tahun, kemudian tiba-tiba hilang kepercayaan, dan kemudian tiba-tiba kepercayaan tersebut kembali semula – persis seperti iklan biskut kanak-kanak suatu ketika dahulu “sekejap ada, sekejap tak ada, sekejap ada”.

Berdasarkan laporan berita, Umno menyatakan yang mereka kekal menyokong kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan, tetapi keputusan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin sebagai Menteri Besar akan kekal. Pening rakyat dibuatnya. Persoalannya, adakah kesemua 14 ADUN tersebut masih percaya kepada Menteri Besar atau tidak?

Jika masih memiliki kepercayaan, maka isu dikira selesai. Menteri Besar selamat. Tetapi jika tetap dengan pendirian hilang kepercayaan, maka jawatan Menteri Besar secara teknikal sebenarnya telah tergugur, sebab sudah kehilangan majoriti. Terdapat khabar yang Umno akan mengusulkan undi tak percaya dalam persidangan DUN yang akan datang. Wallahu a’lam.

Bagaimana mungkin soal “kepercayaan” boleh menjadi seperti itu, boleh berubah-ubah dalam masa yang cukup singkat? Ala kulli hal, demikianlah sifatnya politik demokrasi – tidak pernah berdasarkan logik, tidak pernah berdasarkan rasional, tidak pernah berdasarkan intelektual, bahkan pada banyak masa tidak pernah berdasarkan undang-undang. Jauh sekali untuk dikatakan berdasarkan prinsip. Ini kerana segala-galanya hanyalah berdasarkan manfaat atau kepentingan semata-mata! Segala-galanya adalah demi survival dan kuasa.

Walaupun mungkin kita rasa pening dengan perubahan drastik “sekejap ada sekejap tak ada” ini, tetapi kita akan dapat memahami dengan mudah segala yang berlaku apabila kita kaitkan bahawa ini semua hanyalah sebuah drama. Dalam drama, segala-galanya hanya berlaku mengikut skrip dan ia tidak akan lari daripada skrip. Kedua-dua pengarah dan pelakon memainkan peranan masing-masing untuk mencapai tujuan yang sama – pulangan hasil @ habuan. That’s all.

Inilah wajah sebenar mereka yang sedang berada di pentas demokrasi. Mereka selamanya tidak akan pernah berpegang kepada prinsip, kerana politik demokrasi hanya berpaksikan kepentingan. Tidak pernah ada “kawan abadi” dan tidak pernah ada “musuh abadi” dalam demokrasi. Apa yang ada hanyalah “kepentingan abadi”.

Inilah tabiatnya demokrasi, inilah formulanya dan inilah hukumnya, yang tidak akan berubah. Selama mana ada kepentingan, kita berkawan. Apabila kepentingan telah hilang, kita bermusuh. Apabila kepentingan datang semula, kita berkawan semula. Apabila kepentingan hilang balik, kita kembali bermusuh…itulah yang terjadi secara berulang-ulang di pentas demokrasi selagi pentasnya masih wujud.

Lupakan seketika politikus demokrasi dan drama mereka. Persoalan yang paling penting untuk rakyat ialah, apakah yang rakyat (khususnya umat Islam) dapat daripada krisis ini, atau daripada segala kejadian-kejadian politik yang terjadi?

Rakyat seharusnya sedar, dan seharusnya telah lama sedar, bahawa wakil-wakil mereka (wakil rakyat) tidak pernah melakukan tindakan atau membuat keputusan politik untuk kepentingan rakyat. Semuanya dibuat demi kelangsungan manfaat parti dan perut masing-masing politikus. Apa yang berlaku di Negeri Sembilan hanyalah salah satu bukti dari sekian banyak bukti yang telah kita saksikan di Malaysia.

Jadi, sampai bilakah umat Islam mahu menaruh harapan dan kepercayaan kepada parti-parti politik dan para politikus yang akan terus mempermainkan mereka atas nama demokrasi? Sudah berapa kali sebenarnya rakyat “menghukum” parti-parti dan para politikus ini dalam pilihan raya, lalu diganti dengan parti-parti dan para politikus lain, namun natijahnya tetap sama.

Masanya telah tiba, bahkan telah lama tiba sebenarnya, untuk umat Islam meninggalkan sistem demokrasi dan para politikusnya yang sudah terbukti tidak boleh dipercayai. Apa yang lebih buruk daripada semua itu ialah, umat Islam perlu faham bahawa sistem demokrasi merupakan sistem kufur yang berasal dari Barat yang haram untuk diambil, diterapkan dan disebarluaskan. Umat Islam wajib menolak sistem kufur ini, dan wajib berjuang untuk menggantikannya dengan sistem Islam di bawah naungan Khilafah – satu-satunya institusi politik yang benar lagi syarie untuk umat yang mulia ini.

Wallahu a’lam.