Kemelut politik Malaysia: Apa alternatif yang ada?

Dengan kemelut yang melanda negara sekarang ini, para politikus demokrasi semakin menampakkan segala kudis di wajah mereka, dan sikap hipokrit mereka turut jelas kelihatan di samping konspirasi mereka juga sedang terbongkar satu per satu. Mereka berkumpul dan terus berkumpul, melakukan perancangan demi perancangan, yang nyata adalah demi survivor politik masing-masing, bukannya demi rakyat.

Dalam suasana terdesak ini, kesemua mereka mendakwa bahawa apa yang mereka lakukan ialah untuk kepentingan rakyat. Apa yang mereka mahukan ialah kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara. Mereka bercakap tentang kuasa rakyat, dan kononnya mereka ingin mengembalikan mandat kepada rakyat. Walhal merekalah yang telah mengkhianati rakyat dan mengkucar-kacirkan negara dengan apa yang mereka lakukan.

Mereka cuba membentuk pakatan baru dalam usaha mereka berebut kuasa, tetapi menemui kegagalan demi kegagalan. Setelah gagal, ada dalam kalangan mereka mencadangkan agar dibubarkan Parlimen dan PRU diadakan segera untuk rakyat membuat pilihan; ada pula yang mencadangkan agar diadakan kerajaan perpaduan dan sebagainya. Persoalannya, jika sudah terbukti parti-parti politik dan para politikus ini mengkhianati rakyat dengan mandat yang diberi sebelum ini, apa jaminan yang ada bahawa mereka tidak akan mengkhianati rakyat lagi selepas ini? Jawapannya – tidak ada jaminan sama sekali!

Parti politik dan politikus yang bertanding dalam PRU telah terbukti menjaga kepentingan masing-masing sahaja, bukannya kepentingan rakyat. Mereka mewakili parti mereka dan bukan mewakili rakyat. Para politikus ini telah terbukti mengkhianati rakyat dan yang lebih jelas lagi, terbukti mereka telah mencabul sistem demokrasi yang mereka sendiri agung-agungkan selama ini. Hakikatnya, demokrasi hanya digunakan untuk kepentingan parti dan diri mereka sahaja, dan rakyat terus tertipu. Sistem inilah yang telah merosakkan negara dan merosakkan umat Islam selama ini. Apa yang lebih penting dari semua itu, terbukti selama ini mereka tidak pernah berusaha dan tidak mahu menerapkan hukum Allah (swt) dalam pemerintahan mereka!

Persoalannya – Masihkah kita percaya kepada parti-parti politik dan para politikus ini? Masihkah kita percaya bahawa sistem demokrasi adalah sistem yang terbaik, yang kononnya merupakan pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat? Setelah PRU siapa yang untung dan siapa yang rugi? Siapakah yang hidup mewah dan siapakah yang terus menderita selepas setiap kali PRU?

Persoalan seterusnya – Apakah alternatif yang ada?

Hizbut Tahrir sejak sekian lama telah menawarkan negara Khilafah, sebuah Negara Islam yang diwarisi daripada Rasulullah (saw) dan para sahabat. Hizbut Tahrir telah pun siap dengan Perlembagaan yang mengandungi 191 Fasal yang kesemuanya berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Negara Khilafah merupakan satu-satunya negara yang wajib bagi umat Islam, dan kembalinya Negara Khilafah ini merupakan janji daripada Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw). Sesungguhnya tidak ada jalan lain untuk menyelamatkan Malaysia kecuali dengan penerapan syariah secara kaffah di bawah Negara Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah…dan Hizbut Tahrir sudah lama bersedia untuk itu dengan izin Allah (swt).

Apa yang kami perlukan ialah sokongan dari umat dan dukungan dari Ahlul Quwwah, sebagaimana Rasulullah (saw) mendapat sokongan dari penduduk Madinah dan dukungan dari Aus dan Khazraj, sehingga Daulah Islam berjaya didirikan dan hukum Allah (swt) berjaya diterapkan secara kaffah.