Apakah Fungsi Parti Politik Islam Yang Sebenar?

Parti serpihan tidak kekal – Zahid

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Para pemimpin UMNO yakin Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan saja tiada masa depan malah tidak akan kekal kerana sejarah politik Malaysia membuktikan bahawa parti serpihan hanya bersifat sementara.  Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti-parti utama seperti UMNO, MCA dan MIC ini bertahan kerana memberi keutamaan kepada pembelaan nasib dan hak rakyat.  ”Manakala parti serpihan seperti Parti Melayu Semangat 46, Berjaya dan Hamim akhirnya menemui kegagalan kerana mereka memperjuangkan hak individu atau kumpulan tertentu saja.

”Itulah yang akan berlaku kepada PKR kerana mereka memperjuangkan kepentingan individu, lama kelamaan momentum untuk meraih sokongan rakyat itu akan hilang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.  Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad baru-baru ini yang menyifatkan PKR sebagai parti ‘bateri bersaiz 3A’ yang kekuatannya hanya ditentukan Presiden, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan Naib Presiden, Azmin Ali.  Ahmad Zahid berkata, mengikut kajian akademik, lazimnya parti-parti yang memperjuangkan individu hanya mampu bertahan kira-kira 10 tahun.

Sumber: Utusan Malaysia 26/10/09

Bagaimanakah Sepatutnya Sesebuah Parti Politik Islam Itu Beraktiviti?

Aqidah Islam adalah landasan berdirinya sesebuah parti politik Islam. Firman Allah SWT: ” Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”. [TMQ Ali ‘Imran (3) : 104]. 

Parti politik Islam itu mestilah sebuah ”kutlah” yang terorganisasi, iaitu ”kutlah” yang berdiri di atas dasar aqidah Islam bukannya berdiri di atas fahaman dan mabda yang selain dari Islam seperti Kapitalisme, Sosialisme, Patriotisme, Nationalisme, Sekularisme dan yang seumpamanya. Kutlah itu juga mestilah dipimpin oleh seorang amir dan ahli-ahlinya diikat dengan ikatan mabda Islam. Berkenaan aktiviti sebuah parti politik pula, berdasarkan ayat di atas jelas parti politik Islam itu wajib memikul dan menyeru dakwah kepada al-khayr (Islam) dan wajib melakukan aktiviti politik (amar makruf dan nahi mungkar). Justeru itu persoalannya di sini ialah bukannya isu apakah sesebuah parti itu parti serpihan ataupun parti utama. Tetapi isunya ialah apakah sesebuah parti politik yang berdiri itu telah memenuhi tuntutan sebagaimana perintah Allah SWT sepertimana ayat di atas ataupun tidak? Jelas secara fakta dan realitinya tidak kira UMNO mahupun PKR, asas berdirinya kedua-dua parti tersebut adalah Nationalisme (assobiyyah) dan Sekularisme.

Melihat dari sudut aktiviti yang dilakukan oleh kedua-dua parti itu sendiri ia juga tidak memenuhi tuntutan sebagaimana aktiviti yang wajib dipikul oleh sesebuah parti politik Islam. Sebagai sebuah parti politik Islam, adalah wajib bagi parti itu berperanan dan berfungsi sebagai parti politik yang menyeru manusia kepada kebaikan yakni Islam dan melakukan aktiviti amar makruf dan nahi mungkar termasuklah melakukan aktiviti politik yang terbesar iaitu memuhasabah pemerintah sesuai dengan firman Allah SWT di atas. Oleh itu, sebagai seorang Muslim, sewajarnya Zahid berusaha untuk mengubah UMNO mahupun PKR agar menjadi sebuah parti politik  Islam yang memenuhi tuntutan sebagaimana ayat di atas dan bukannya mengalih perbincangan kepada selain dari asas di atas . Ya, walaupun UMNO telah mampu bertahan selama puluhan tahun memerintah dan menguasai kerajaan Malaysia namun kewujudan UMNO itu tidak lain hanyalah menjadi mata rantai untuk mengekalkan dan mempertahankan sistem sekular peninggalan penjajah. Begitu juga dengan apa yang cuba diperjuangkan oleh PKR. Untuk itu tidak ada pilihan lain bagi umat Islam itu sebenarnya termasuklah Zaid, melainkan bergabung dengan ”kutlah” politik Islam yang memenuhi tuntutan sepertimana ayat di atas.