SN287 – PARTI POLITIK DAN FUNGSINYA DI DALAM ISLAM

PDF

SN keluaran 16 Disember 2011

  alt
 
PARTI POLITIK DAN FUNGSINYA DI DALAM ISLAM
 

 

[SN287] Penubuhan sesebuah parti (hizb) adalah dibenarkan di dalam Islam, sama ada di dalam Negara Khilafah mahupun sebelum Khilafah berdiri, dengan syarat parti-parti tersebut hendaklah ditubuhkan atas asas akidah Islam dan segala peraturan yang digunapakai di dalam parti-parti ini adalah selaras dengan syariat Islam. Menubuhkan sesebuah parti tidak memerlukan keizinan dari sesiapa kerana Allah SWT telah membolehkannnya. Bukti (dalil)nya diambil dari Al-Quran, “Hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung” [TMQ Ali Imran (3):104].
Dalil yang membolehkan penubuhan parti politik ini dapat dilihat dari Firman Allah SWT yang memerintahkan kaum Muslimin agar mewujudkan di kalangan mereka (Muslim) sebuah kelompok yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan iaitu menyeru kepada Islam, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar. Firman Allah, “Hendaklah ada di kalangan kamu” ini bermaksud perintah untuk menubuhkan sebuah kelompok dari kalangan kaum Muslimin (sahaja), kerana lafaz “di kalangan kamu” bermaksud di kalangan umat Islam. Oleh yang demikian, maksud “Hendaklah ada di kalangan kamu” ialah perintah kepada umat Islam untuk menubuhkan sebuah kelompok dari kalangan umat Islam.

Perlu difahami bahawa ayat ini membawa dua pengertian. Pertama, mewujudkan (menubuhkan) sebuah kelompok dari kalangan kaum Muslimin merupakan sebuah kewajipan (fardhu) kifayah dan bukan fardhu ain. Kedua, ‘wujud’nya kelompok ini sudah cukup (terlepas kewajipan kifayah) bagi umat Islam di dalam rangka menjalankan perintah ayat tersebut, tidak kiralah berapa ramai sekalipun anggotanya (mesti lebih dari tiga), selama mana ia mampu menjalankan tugas-tugas yang diwajibkan ke atasnya di dalam ayat tersebut. Lafaz “waltakun” (hendaklah ada) merupakan sighat amar (bentuk perintah) dan qarinah (indikasi) yang wujud di sini menunjukkan bahawa ia bersifat qath’ie (tegas) dan mengikat. Oleh itu, penubuhan kelompok ini adalah wajib (fardhu) dan kaum Muslimin keseluruhannya akan berdosa jika kelompok ini tidak diwujudkan.

Allah SWT memerintahkan kaum Muslimin menubuhkan kelompok yang wajib menjalankan tugas-tugas tertentu yang telah digariskanNya dan tidak sayugia bagi kelompok tersebut melakukan kerja-kerja lain yang tidak digariskan. Berdasarkan ayat yang diperintahkan itu, tugas yang perlu dijalankan oleh kelompok tersebut ada dua iaitu “menyeru kepada kebajikan (Islam)” dan “menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar”. Arahan untuk menubuhkan kelompok ini disertai dengan arahan “tugas” yang wajib dipikulnya. Dengan kata lain, perintah untuk menubuhkan kelompok ini datang dengan perintah yang telah menentukan atau membataskan apakah fungsi kelompok ini.

Parti Politik

Sesungguhnya ‘kelompok’ yang diperintah untuk ditubuhkan di dalam ayat di atas adalah ‘parti politik’. Dalil yang menunjukkan bahawa ‘kelompok’ tersebut adalah ‘parti politik’ dapat ditinjau dari dua aspek:-

Pertama: perlu difahami bahawa perintah Allah di dalam ayat ini bukanlah perintah menyeru kepada kebajikan dan amar makruf nahi munkar, tetapi perintah untuk ‘menubuhkan’ sebuah kelompok yang (tugasnya) menyeru kepada kebajikan, amar makruf nahi munkar. Dengan kata lain, perintah Allah adalah untuk menubuhkan kelompok, manakala menyeru kepada kebajikan, amar makruf dan nahi munkar adalah ‘karakter’ yang wajib dimiliki oleh kelompok tersebut.

Kedua: untuk kelompok tersebut dikatakan layak (telah mematuhi) perintah Allah dan mematuhi tugas yang ditetapkan ke atasnya, ia perlulah memenuhi kriteria tertentu. Pembentukan kelompok ini memerlukan adanya ikatan yang mengikat anggota-anggotanya sehingga menjadikannya satu entiti (jamaah). Manakala untuk menjadikan kelompok ini berfungsi, perlu ada seorang amir (ketua) yang wajib ditaati oleh setiap anggota. Ini kerana syarak telah mewajibkan pelantikan seorang amir bagi kelompok yang melebihi tiga orang. Rasulullah SAW bersabda,

“Tidak halal bagi tiga orang yang berada di muka bumi kecuali melantik seorang ketua di kalangan mereka” [HR Abu Daud].

Adapun dakwah kepada kebajikan (Islam), hal ini boleh dijalankan oleh mana-mana kumpulan ke arah itu, apa sekalipun namanya. Bagaimanapun, amar makruf nahi munkar hanya boleh dijalankan oleh sebuah parti politik. Ini kerana, aktiviti amar makruf nahi munkar adalah wajib dijalankan hatta ke atas pemerintah sekalipun, malah berdasarkan hadis, amar makruf nahi munkar ke atas pemerintah adalah yang paling afdhal (utama). Melakukan amar makruf nahi munkar kepada pemerintah merupakan tugas paling penting sesebuah parti politik, malah aktiviti inilah yang sebenarnya menunjukkan bahawa sesebuah kelompok itu adalah parti politik. Aktiviti ini tentunya tidak dijalankan oleh kelompok selain politik seperti Kelab Rekreasi, Kelab Peminat Vespa, Kumpulan Gitar Rancak, Pertubuhan-pertubuhan Profesional, Badan-badan Khairat dan seumpamanya.

Oleh kerana tugas amar makruf nahi munkar terhadap pemerintah (namun turut wajib dijalankan ke atas seluruh manusia) merupakan tugas utama kelompok ini, maka ini bermakna Surah 3:104 sebenarnya telah mensasarkan satu kelompok tertentu yang menjalankan tugas tersebut. Kelompok jenis inilah yang diperintahkan oleh Allah untuk diwujudkan di kalangan kaum Muslimin dan tidak ada kelompok lain yang mematuhi kriteria ini kecuali parti politik. Tidak dapat dikatakan bahawa wujudnya kelompok yang menyeru kepada kebajikan dan amar makruf nahi munkar yang mengecualikan pemerintah di dalam aktiviti mereka, sebagai telah mematuhi ‘tugas’ yang wajib dijalankan oleh kelompok yang diperintahkan oleh Allah di dalam ayat di atas. Ini kerana tugas itu tidak dipenuhi sehinggalah mereka menjalankan keseluruhannya. Perlu difahami bahawa huruf “wau” di dalam ayat di atas merupakan “wau athaf” (bersambung) yang membawa maksud ko-ordinasi hukum (tugas) secara serentak. Lagipun, sebagaimana yang telah dijelaskan di awalnya, perintah melakukan amar makruf nahi munkar adalah bersifat umum yang merangkumi sesiapa sahaja termasuklah pemerintah, tanpa kecuali.

Perintah Allah di dalam ayat di atas untuk mewujudkan sebuah ‘parti politik’ juga dapat difahami dengan jelas dari ‘fungsi’ yang wajib dijalankan oleh kelompok yang diperintahkan tersebut, yakni ia wajib menjalankan fungsi yang telah ditetapkan, bukan sekadar menubuhkan sebuah kelompok semata-mata. Ayat tersebut dengan jelas menggariskan apakah kerja-kerja yang mesti dijalankan oleh kelompok yang berkenaan yakni menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (Islam) dan melakukan amar makruf nahi munkar. Deskripsi tugas yang diberikan sangat spesifik dan hanya terbatas kepada dua fungsi sahaja. Jadi, kaum Muslimin wajib mendirikan parti politik yang (tugasnya) mesti memenuhi dua fungsi ini. Maka, tidak seharusnya bagi sesebuah parti politik, dengan mengatas namakan parti, mengelolakan aktiviti selain dari yang diperintahkan oleh Allah SWT seperti menganjurkan permainan bolasepak, futsal atau lain-lain aktiviti kesukanan, hari keluarga, pertandingan melukis dan seumpamanya.

Dari aspek nama atau sebutan ‘parti’ (hizb), tidak menjadi masalah untuk menyebut atau menamakannya dengan hizb atau apa sahaja nama-nama yang bertepatan. Allah SWT sendiri menyebut lafaz hizb di dalam Al-Quran serta menyebut orang-orang yang menolongNya dengan sebutan hizb. Firman Allah,

“Barangsiapa yang mengambil Allah, RasulNya serta orang-orang beriman sebagai penolongNya, maka sesungguhnya hizb (pengikut) (agama) Allah itulah yang pasti menang”
[TMQ al-Ma’idah (5):56].

FirmanNya yang lain,

“Merekalah kelompok (hizb) Allah. Ingatlah bahawa hizbullah itulah yang pasti menang” [TMQ al-Mujadilah (58):22]

Boleh Lebih Dari Sebuah Parti Politik

Adalah salah sekiranya menafsirkan perkataan “ummatun” di dalam Surah 3:104 sebagai bermakna ‘satu’ parti sahaja, yang bermaksud wajib wujud hanya satu parti sahaja di kalangan umat Islam. Ini kerana ayat tersebut tidak menunjukkan demikian. Ayat ini tidak menyebut ‘satu umat’ yang bermaksud ‘satu kumpulan’ tetapi menyebut ‘ummatun’ dalam bentuk isim nakirah (tidak spesifik) tanpa sebarang sandaran. Sama sebagaimana kedudukan hadis Rasulullah SAW yang berbunyi, “Barangsiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia merubahnya…”, di mana lafaz “munkaran” dalam hadis tersebut bukanlah bermakna ‘satu kemungkaran’ sehingga kaum Muslimin hanya diperintah untuk merubah satu kemungkaran sahaja.

Ayat di atas menunjukkan kewajipan mendirikan ‘sekurang-kurangnya’ satu parti, di mana apabila telah berdiri satu parti (yang memenuhi fungsinya), maka kewajipan (untuk mendirikan parti-parti lagi) telah tergugur dari umat Islam, kerana fardhu kifayah telah dipenuhi. Ayat ini langsung tidak menghalang penubuhan banyak parti, asalkan setiap parti yang ditubuhkan itu menjalankan fungsi yang telah ditetapkanNya. Inilah pengertian fardhu kifayah, di mana sekiranya seseorang telah menunaikannya, ia tidak sekali-kali menghalang orang-orang lain dari turut sama menunaikannya.

Banyak lagi dalil lain yang memerintahkan atau menghalang kaum Muslimin terhadap suatu perbuatan, yang tidaklah bermaksud hanya ‘satu’ perbuatan sahaja atau ditujukan hanya kepada ‘satu’ orang sahaja walaupun dari segi lafaz seolah-olah menunjukkan demikan. Umpamanya kes melihat anak bulan untuk menentukan awal Ramadhan atau Syawal. Rasulullah SAW telah menetapkan bahawa cukup hanya dengan kesaksian seorang Muslim sahaja yang melihat hilal, maka masuklah Ramadhan/Syawal. Namun ini tidak bermakna bahawa kaum Muslimin yang lain dihalang dari melihat hilal atau dihalang dari memberikan kesaksian. Kesimpulannya, syarak mewajibkan untuk umat Islam menubuhkan sekurang-kurangnya satu parti dan dalam masa yang sama, syarak membenarkan penubuhan banyak parti, asalkan ia memenuhi fungsi yang telah ditetapkan.

Tindakan menghalang umat Islam dari menubuhkan banyak parti merupakan suatu kesalahan kerana ia bertentangan dengan syarak. Ia bermaksud menghalang seseorang dari melakukan fardhu kifayah. Justeru, tindakan pemerintah yang menghalang penubuhan mana-mana parti politik yang menjalankan tugas sebagaimana diperintah oleh Allah di dalam Surah 3:104 adalah sebuah keharaman dan dosa. Begitu juga, adalah suatu kesalahan kepada mana-mana parti Islam atau umat Islam yang menghalang atau mempersoalkan wujudnya lebih dari satu parti politik. Jika mereka benar-benar berpegang kepada nas, maka langsung tidak timbul dan tidak perlu timbul persoalan seperti, “jika telah ada Parti A, kenapa Parti B perlu wujud?”. Hanya golongan yang tidak memahami atau tidak mahu mengikuti nas sahaja yang akan mempertikai atau mempersoalkan perkara ini! Semoga Allah SWT menunjuk mereka ke jalan yang benar.

Bagaimanapun, hal di atas hanya terpakai ke atas parti yang ditubuhkan atas asas Islam. Adapun parti-parti yang ditubuhkan atas dasar sekularisme, atas dasar perkauman (assabiyyah), patriotisme (wathaniyyah), liberalisme atau parti-parti yang menyeru kepada pemikiran-pemikiran kufur, maka parti-parti seumpama ini haram untuk didirikan. Negara wajib menghalang penubuhan parti-parti seperti ini dan sesiapa sahaja yang tetap berdegil menubuhkannya atau menjadi anggotanya, maka ia wajib dikenakan uqubat (hukuman) oleh Negara. Bagaimanapun, sekiranya sesebuah parti itu ditubuhkan atas dasar perkara-perkara yang mubah (harus), maka penubuhan parti-parti ini dibolehkan, cumanya ia tidak memenuhi syarat dan fungsi yang Allah SWT telah tetapkan, kerana yang diperintahkan (oleh Allah) adalah menubuhkan parti politik yang menjalankan fungsi dakwah kepada kebajikan dan melakukan amar makruf nahi munkar.

Tugas Parti Politik Apabila Tidak Ada Negara Islam (Khilafah)

Kewujudan parti politik tetap menjadi kewajipan tanpa mengira sama ada Negara Islam wujud atau tidak. Cuma, apa yang berbeza ialah ‘tambahan’ tugas ke atas parti politik ini dalam keadaan di mana Negara Islam (Khilafah) tidak wujud. Dalam keadaan tidak ada sebuah Negara Islam pada hari ini, hampir keseluruhan perkara makruf telah dibuang atau diketepikan. Manakala hampir semua perkara munkar telah wujud atau dilakukan dengan sebebas-bebasnya. Ini kerana, akar kepada segala kemungkaran adalah hukum kufur yang diterapkan di dalam negara sekular hari ini. Oleh itu, untuk membuang segala kemungkaran ini, maka akar kemungkaran (sistem kufur) haruslah dibuang dan digantikan dengan sistem Islam. Akar kemakrufan yang akan menumbuhkan kembali kesemua kemakrufan adalah dengan wujudnya Negara Khilafah yang akan menerapkan hukum berdasarkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya dan mengembangkan dakwah Islam ke seluruh penjuru dunia dalam rangka membawa kerahmatan kepada seluruh alam. Oleh yang demikian, pada hari ini, tugas tambahan yang penting dan mulia yang wajib dipikul oleh parti politik adalah mendirikan semula Negara Khilafah dan membawa dakwah Islam ke seluruh pelusuk dunia.

Di dalam usaha menegakkan Negara Islam, parti politik ini pula wajib mengikuti thariqah (jalan) yang telah dilalui (ditetapkan) oleh Rasulullah SAW dan bukannya mengikuti jalan demokrasi yang diajar oleh sang kuffar penjajah. Parti politik ini juga hendaklah melengkapkan dirinya dengan segala keperluan bagi mendirikan Khilafah seperti mempunyai fikrah yang jelas, cemerlang dan jernih dalam bab aqidah dan sistem pemerintahan Islam, sistem ekonomi Islam, sistem pergaulan (sosial) Islam, pendidikan dan juga polisi luar negeri yang telah digariskan oleh Islam. Tidak sepatutnya bagi sesebuah parti politik yang ingin menubuhkan sebuah Negara dan menerapkan Islam, namun tidak mempunyai ilmu atau kepakaran di dalam perkara-perkara di atas, sehingga apabila Allah SWT menganugerahkan kekuasaan kepada mereka, pada masa itu barulah mereka terkial-kial untuk mempelajari uqubat Islam, ekonomi Islam, perundangan Islam, pendidikan Islam dan sebagainya. Dan adalah lebih menyedihkan sekiranya sesebuah parti politik itu hanya sekadar menjalankan Islam dalam kerangka demokrasi, membuat undang-undang mengikut acuan demokrasi, bertahalluf dengan parti kafir dan sekular di dalam pemerintahan dan sebagainya lagi yang menyalahi Islam.

Tugas ‘tambahan’ sesebuah parti politik yang merupakan kewajipan untuk mendirikan Khilafah juga diambil dari kaedah syarak,

“Ma la yatimmul wajibu illa bihi fahuwa wajib” (Suatu perkara/perbuatan yang menyempurnakan sebuah kewajipan, maka hukum perkara/perbuatan itu juga adalah wajib).

Mendirikan Khilafah adalah wajib, dan Khilafah tidak dapat berdiri kecuali dengan adanya sebuah parti politik yang memperjuangkannya, maka kewujudan parti politik untuk memperjuangkan tegaknya Khilafah adalah wajib. Perlu difahami di sini bahawa, walaupun kewajipan ini (asalnya) adalah fardhu kifayah, namun ia menjadi fardhu ain selama mana kewajipan tersebut masih belum “disempurnakan (terlaksana)”. Ini kerana, ukuran gugurnya kewajipan kifayah adalah “selesainya” sebuah kewajipan. Selagi mana kewajipan tersebut belum selesai, maka ia tetap menjadi fardhu ain (wajib ke atas setiap individu) untuk menunaikannya. Justeru, oleh kerana Khilafah masih belum tertegak, maka adalah merupakan fardhu ain ke atas setiap individu untuk menegakkannya. Hanya mereka yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan Khilafah akan terlepas dari dosa, manakala mereka yang berdiam diri, apatah lagi menghalang penegakannya, akan berdosa di sisi Allah SWT.

Wallahu a’lam.