Wajibkah parti-parti politik bersatu membentuk kerajaan campuran?

JENGKA, 19 MEI 2012 , Bahang Pilihanraya Semakin Terasa...Walaupun tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) belum diketahui namun tanda-tanda demam pilihanraya mula terasa apabila bendera parti politik Umno,Pas dan Barisan Nasional terpacak dan melekat di tepi jalan menuju ke Felda Jengka 15,Pahang ini.Sesiapa sahaja yang melalui jalan itu pasti tertarik melihat bendera-bendera parti seolah-olah pilihanraya semakin hampir.Apa yang menarik bendera Umno dan Pas berselang seli antara satu sama lain. Gambar : MAHATHIR ALI

Kewajipan untuk bersatu dalam Islam sudah dimaklumi oleh setiap Muslim. Firman Allah SWT,

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai” [TMQ Ali-Imran (3):103].

Persoalannya, penyatuan bagaimanakah yang diperintahkan oleh Allah SWT ke atas umat Islam? Di Malaysia, penyatuan antara parti-parti politik, khususnya yang majoriti Melayu, sering menjadi polemik. Baru-baru ini, semasa kedatangan Dr Zakir Naik, penceramah terkenal asal India, turut menyeru agar dua parti terbesar yang majoriti ahlinya Muslim, iaitu PAS dan UMNO untuk bersatu, seterusnya bakal membentuk kerajaan campuran (unity government) jika ia berjaya direalisasikan.

Namun, di sebalik seruan untuk menyatukan parti-parti politik itu, tidak ramai yang sedar bahawa sistem demokrasilah yang menjadi pemecah belah umat selama ini. Kewujudan parti-parti politik di bawah sistem demokrasi adalah untuk meraih kekuasaan atau setidaknya untuk mengurangkan kuasa majoriti parti pemerintah.

Ketamakan kepada kerusi dalam Parlimen tidak boleh lepas dari sikap setiap parti politik yang bertanding dalam pilihan raya demokrasi. Di sinilah berlakunya usaha jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain. Bahkan lebih buruk, segala bentuk pergaduhan, penipuan, fitnah, caci-maki, penghinaan, perlecehan dan lain-lain, semuanya merupakan fitrah dalam proses pilihan raya demokrasi. Perebutan kerusi untuk ke Parlimen sudah menjadi malapetaka besar buat umat Islam yang tidak pernah kunjung padam dalam sistem demokrasi.

Parti manapun yang menang dalam pilihan raya demokrasi, maka sudah tentu parti tersebut akan mengekalkan kesinambungan sistem demokrasi dan terus memelihara keutuhannya. Walhal sistem demokrasilah yang menjadi pemecah-belah umat. Kerana itu, kitaran kerosakan terus berlanjutan dan dapat disaksikan dari semasa ke semasa. Malangnya, parti-parti yang terlibat dalam pilihan raya demokrasi tetap sahaja tidak nampak hakikat ini kerana ditutup oleh agenda dan ketamakan mendapatkan kerusi, jawatan dan kekayaan.

Jadi, jika ingin melihat umat ini bersatu, punca kepada perpecahan umat ini, iaitu demokrasi, hendaklah dihapuskan terlebih dahulu.

Itu dari satu sudut. Dari sudut yang lain, persoalannya ialah, apakah bentuk penyatuan yang dituntut oleh Islam itu berupa penyatuan parti-parti politik? Tentu tidak! Tidak ada nas yang menerangkan bahawa parti-parti politik wajib bersatu, tetapi nas menerangkan bahawa umat Islam wajib bersatu. Hal ini membawa kepada persoalan berikutnya iaitu, bagaimanakah bentuk penyatuan yang dituntut ke atas umat Islam?

Umat Islam, dari segi akidahnya adalah satu dan dari segi syariahnya juga satu. Perbezaan pandangan dalam masalah hukum syariah bukan menunjukkan perpecahan kerana perbezaan pandangan dalam hukum syarak sudah dikenal luas dalam fiqh Islam dan tidak pernah meletakkan umat ini dalam perpecahan. Perpecahan hanya wujud apabila umat Islam tidak lagi mengikut syariah Islam iaitu suka mengkafirkan atau menyesatkan orang lain yang tidak sependapat, suka memfitnah, suka melaga-lagakan, mengamalkan assabiyyah dan wathaniyyah, tunduk kepada Barat dan lain-lain bentuk pelanggaran syariah. Inilah yang memecah-belahkan umat Islam yakni apabila syariah Islam tidak diamalkan.

Sejarah kegemilangan Islam telah membuktikan bagaimana umat Islam mampu bersatu di bawah seorang pemimpin yang bergelar Khalifah di bawah naungan sebuah negara adidaya yang menguasai dua pertiga dunia iaitu Khilafah Islamiyyah. Kesatuan dalam bentuk politik dan negara ini mampu bertahan selama kira-kira 1400 tahun, walaupun ternyata warga Daulah Khilafah terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan, warna kulit bahasa dan sebagainya yang berbeza-beza.

Umat Islam secara umumnya berada dalam kesatuan yang utuh dalam tempoh masa yang cukup panjang, meskipun dicemari dengan beberapa tragedi perpecahan dalam tempoh tersebut. Sungguhpun demikian, umat pada waktu itu tetap bersatu di bawah Daulah Khilafah dan sepakat mempertahankannya dari musuh. Umat Islam faham dan mengamalkan perintah Rasulullah SAW bahawa tidak boleh ada lebih dari satu kepimpinan dalam Islam,

“Apabila dibaiah dua orang Khalifah, maka bunuhlah yang terakhirnya” [HR Muslim].

Musuh-musuh Islam terutamanya Barat mengetahui bahawa kesatuan umat Islam dalam bentuk negara adalah sesuatu yang menjadikan umat Islam kuat dan sukar untuk dikalahkan. Justeru, antara agenda besar Barat adalah meruntuhkan Khilafah dan usaha ini telah berjaya mereka lakukan kira-kira 95 tahun yang lalu.

Racun yang ditanamkan ke dalam minda umat Islam untuk memecahkan kesatuan politik dan negara Khilafah ini adalah konsep negara bangsa berasaskan nasionalisme dan pemerintahan demokrasi. Hasilnya, umat Islam terpecah-belah kepada negara-negara kecil yang lemah sehingga kini dan dibelenggu dengan perpecahan dari segenap sudut.

Oleh yang demikian, umat Islam perlu sedar bahawa kewajipan terbesar mereka ketika ini adalah untuk mengembalikan semula kesatuan umat Islam dalam bentuk politik dan kenegaraan. Dalam merealisasikan penyatuan sedemikian, wajib bagi umat Islam untuk mencampakkan sejauh-jauhnya sistem kufur demokrasi yang selama ini menjadi akar kepada perpecahan mereka.

Tidak ada tuntutan untuk mempersatukan parti-parti politik dalam Islam dan tidak ada konsep kerajaan campuran dalam Islam. Kewajipan seluruh umat Islam ketika ini adalah untuk mewujudkan kembali Khilafah, sebuah negara yang akan menerapkan syariah Islam secara kaffah dan mempersatukan umat Islam di bawah satu kepimpinan dan satu bendera. Yakinlah bahawa selagi mana sistem demokrasi masih tetap dijadikan acuan politik bagi umat Islam, maka selagi itulah kesatuan umat Islam tidak akan terwujud.

Wallahu a’lam.