SN696 – Ibadah Haji: Penyatuan Ruhiyah Tanpa Penyatuan Politik

Bil: SN696 (PDF/Print) – 3 Zulhijjah 1447 / 20 Mei 2026
Walau di ceruk mana sekalipun umat Islam berada di muka bumi ini, mereka tetap tidak terlepas daripada kewajiban menunaikan rukun Islam yang kelima, iaitu ibadah haji di Mekah. Itulah keistimewaan agama Islam dan umatnya yang sanggup menempuh perjalanan jauh serta pelbagai kesukaran demi melaksanakan tuntutan ibadah tersebut. Umat Islam pada hari ini terdiri daripada pelbagai bangsa dan latar belakang dari seluruh pelosok dunia. Meskipun dipisahkan oleh jarak yang beribu-ribu batu, mereka yang berkemampuan tetap beriltizam untuk berhimpun setiap tahun pada bulan Zulhijjah. Usaha untuk menunaikan ibadah ini bukanlah sesuatu yang mudah seperti ibadah-ibadah lain kerana pelbagai bentuk pengorbanan perlu dilakukan bagi menyempurnakannya.
Keindahan agama Islam dapat disaksikan oleh seluruh dunia apabila jutaan umat Islam berhimpun di satu tempat dengan mengenakan pakaian yang sama tanpa membezakan warna kulit, pangkat, mahupun asal-usul. Setiap Muslim mengenakan kain ihram berwarna putih yang memenuhi segenap ruang di Mekah sebagai simbol permulaan ibadah tersebut. Setiap individu tekun melaksanakan ibadah ruhiyah dengan penuh harapan agar segala usaha dan pengorbanan yang dilakukan memperoleh keredhaan Allah SWT. Pelbagai bahasa dituturkan, pelbagai lapisan usia hadir menunaikan ibadah, dan pelbagai perjalanan telah ditempuh semata-mata untuk melaksanakan satu bentuk ibadah yang seragam sebagaimana dicontohkan oleh Baginda Rasulullah SAW yang dikasihi. Kepelbagaian fizikal, bangsa, dan latar belakang manusia akhirnya tunduk serta bersatu dalam melaksanakan ritual ibadah yang telah ditetapkan. Namun demikian, di sebalik kesatuan yang jelas terpancar itu, masih wujud satu perkara yang hingga kini belum mencapai titik kesepakatan. Di sebalik jutaan umat Islam yang berhimpun dalam satu ibadah yang sama, masih terdapat halangan yang membatasi penyatuan umat secara menyeluruh, iaitu perbezaan pemikiran dalam kalangan mereka.
Umat Islam di seluruh dunia mempunyai kepelbagaian pemikiran yang menjadi antara penghalang utama kepada penyatuan umat. Kepelbagaian ini berpunca daripada berbagai faktor. Namun begitu, faktor yang paling dominan adalah kewujudan sempadan-sempadan palsu yang dibina di atas tanah umat Islam, membawa kepada semangat assabiyah yang semakin menebal. Kewujudan sempadan-sempadan tersebut merupakan hasil ciptaan pihak penjajah Barat dalam membentuk negara-negara moden seperti yang wujud pada hari ini, sedangkan pada suatu ketika dahulu sempadan tersebut tidak pernah ditetapkan secara jelas. Kesan daripada pembentukan sempadan ini telah melahirkan 195 buah negara di dunia dengan keluasan wilayah yang tidak seimbang. Terdapat negara yang terlalu kecil dan tidak memiliki keupayaan untuk menjamin kelangsungan kemandirian mereka sendiri. Meskipun begitu, negara-negara tersebut tetap mahu diiktiraf sebagai negara yang berdaulat.
Begitu juga keadaan negara-negara yang majoriti penduduknya terdiri daripada kaum Muslimin di Asia Tenggara, Timur Tengah, dan Afrika. Sempadan negara-negara tersebut telah ditentukan oleh kuasa penjajah tanpa berasaskan landasan yang kukuh, sebaliknya didorong hanya oleh kepentingan penjajah untuk memecah-belahkan wilayah umat Islam. Pada suatu ketika dahulu, wilayah-wilayah tersebut tidak dipisahkan dengan sempadan yang jelas seperti hari ini. Selepas sempadan-sempadan palsu ini diwujudkan, diciptakan pula bendera negara serta sistem pemerintahan yang tidak berlandaskan Al-Quran, sekali gus memperkukuhkan kerosakan terhadap pemikiran umat Islam di kawasan tersebut. Akibatnya, umat Islam di negara-negara berkenaan tidak lagi hidup berteraskan asas Islam yang sebenar, sebaliknya menurut acuan yang telah dibentuk oleh penjajah. Semua ini dilakukan dengan tujuan untuk merosakkan pemikiran umat Islam serta menghalang penyatuan umat secara menyeluruh.
Kerosakan pemikiran ini dapat dilihat dengan jelas apabila umat Islam gagal menyelesaikan pelbagai isu global yang melanda dunia Islam, seperti pencerobohan entiti haram Yahudi di bumi Gaza, konflik peperangan antara entiti haram Yahudi-Amerika Syarikat dan Iran, serta pelbagai isu lain yang terus menimpa umat Islam. Umat Islam di negara-negara yang terikat dengan sempadan-sempadan palsu ini gagal menggerakkan kekuatan mereka secara menyeluruh, sebaliknya hanya mampu bertindak melalui usaha individu atau kumpulan-kumpulan kecil dalam menyalurkan bantuan. Perhimpunan bantahan secara besar-besaran di peringkat global sememangnya berlaku, namun kewujudan sistem yang lahir daripada dasar sempadan palsu tersebut telah membatasi sebahagian besar umat Islam dari bertindak secara lebih bersatu, tersusun, dan berkesan.
Kesan daripada keadaan ini juga dapat dilihat dalam kalangan kaum Muslimin di negara ini apabila membicarakan isu-isu yang melibatkan umat Islam, seperti isu Rohingya. Di ruang maya media sosial, didapati lebih banyak kata-kata negatif dilemparkan terhadap mereka berbanding usaha untuk memahami akar permasalahan yang berlaku. Ungkapan yang berunsurkan assabiyah juga sering muncul seolah-olah tidak mencerminkan bahawa umat Islam itu merupakan satu umat yang bersaudara. Hakikatnya, isu berkaitan Rohingya dapat diselesaikan dengan lebih baik sekiranya seluruh umat Islam di dunia, termasuk di Malaysia, berganding bahu serta bersatu dalam menangani permasalahan yang berlaku di tempat asal mereka. Umat Islam merupakan satu umat yang bersaudara tanpa membezakan asal-usul dan latar belakang mereka. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi adalah seperti satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh merasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasakan kesakitan sehingga menyebabkan tidak dapat tidur dan demam.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Ibadah haji pada hari ini dilihat masih belum mampu menjelmakan kesedaran ke arah penyatuan umat Islam secara menyeluruh, sebaliknya lebih tertumpu sebagai ibadah ritual yang bersifat ruhiyah semata-mata. Keadaan ini amat malang kerana peluang untuk kaum Muslimin daripada pelbagai bangsa berinteraksi ketika menunaikan haji tidak dimanfaatkan sepenuhnya dalam memupuk kasih sayang sesama Muslim serta memahami permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam di tempat masing-masing. Bukan itu sahaja, kaum Muslimin yang sedang menunaikan ibadah haji juga tidak dibenarkan membicarakan secara terbuka isu-isu yang melanda umat Islam di peringkat global, seperti isu Palestin yang ditindas oleh entiti haram Yahudi, isu umat Islam di Sudan yang menjadi korban konflik antara dua pihak tentera yang bertelagah, isu penindasan kaum Muslimin di India, serta pelbagai isu lain yang melibatkan umat Islam di seluruh dunia. Sekiranya terdapat pihak yang berbuat demikian, mereka berisiko dikenakan tindakan oleh pemerintah Saudi yang mengawal perjalanan ibadah haji. Pemerintah Saudi yang berkiblatkan Barat dilihat bimbang bahawa peningkatan kesedaran politik dalam kalangan umat Islam ketika musim haji berpotensi menjadi titik permulaan kepada kebangkitan kesedaran umat serta penyatuan umat Islam di negara masing-masing sekiranya perkara tersebut tidak dibendung lebih awal.
Apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam pada tahun ini sempena ibadah haji yang sedang berlangsung ialah meninggalkan pemikiran yang berasaskan sempadan negara serta kembali bersatu atas dasar pemikiran Islam yang sebenar. Kaum Muslimin di Malaysia hakikatnya tidak mempunyai sebarang perbezaan di sisi Allah SWT berbanding kaum Muslimin di negara-negara lain. Perkara yang membezakan setiap individu di sisi Allah SWT hanyalah tingkat ketakwaan mereka. Kaum Muslimin perlu menanam sikap untuk bersatu serta bergerak bersama-sama ke arah penyatuan umat. Jika sebelum ini wujud prasangka negatif terhadap sesuatu golongan umat Islam, maka sikap tersebut perlu dibuang jauh dan digantikan dengan sikap bersangka baik sesama kaum Muslimin. Umat Islam juga perlu melihat setiap permasalahan yang berlaku dengan meneliti punca utama kepada masalah tersebut secara menyeluruh. Setiap isu yang melibatkan umat Islam pasti mempunyai jalan penyelesaian sekiranya Islam benar-benar dijadikan panduan tanpa dicampur-adukkan dengan unsur-unsur yang tidak berasaskan Islam seperti sekularisme, assabiyah, dan seumpamanya.
Idea untuk mempersatukan umat Islam melalui kesatuan pemikiran merupakan sesuatu yang amat ditakuti oleh musuh-musuh Islam. Mereka menyedari bahawa sekiranya umat Islam benar-benar bersatu, segala agenda dan perancangan untuk menguasai dunia akan runtuh serta musnah sama sekali. Seorang orientalis Belanda, Christiaan Snouck Hurgronje, pernah mangungkapkan bahawa ibadah haji bukanlah sekadar ibadah ritual, namun merupakan satu ruang pertemuan umat Islam dari seluruh dunia yang berpotensi membangkitkan kesedaran politik dan semangat penyatuan umat. Oleh sebab itu, Barat dan ejen-ejennya sentiasa memandang haji sebagai ibadah yang perlu diawasi dan dikawal dengan teliti. Mereka juga memahami bahawa penghimpunan besar umat Islam ketika ibadah haji mampu menjadi pencetus kepada kebangkitan umat sekiranya tidak dibendung lebih awal. Atas sebab itu, sejak awal lagi mereka menanam racun wataniah dengan memecah-belahkan umat Islam melalui pembentukan sempadan-sempadan palsu agar umat Islam terus terikat dengan masalah tempatan semata-mata tanpa memikirkan nasib umat Islam di tempat lain. Pada ketika ini, perancangan tersebut dilihat berjaya. Namun begitu, sedikit demi sedikit umat Islam di seluruh dunia semakin menyedari hakikat tersebut. Perkara ini dapat dilihat melalui isu Gaza apabila umat Islam di seluruh dunia melahirkan kekecewaan terhadap negara-negara umat Islam di sekitarnya yang tidak terlibat secara langsung dalam memberikan bantuan dengan alasan bahawa tentera mereka hanya bertanggungjawab menjaga rakyat dan sempadan negara masing-masing. Orientasi berfikir yang melahirkan alasan seperti ini hakikatnya tidak pernah wujud sebelum sempadan-sempadan negara palsu dipaksakan ke atas umat Islam.
Penyatuan hakiki umat Islam melalui kesatuan pemikiran tidak akan dapat direalisasikan sekiranya tiada entiti yang melaksanakannya. Entiti yang dilihat mampu memikul tanggungjawab tersebut ialah Khilafah, iaitu penyatuan kaum Muslimin di bawah satu kepimpinan tanpa dibatasi sempadan negara bangsa. Khilafah berperanan mengatur urusan umat Islam secara menyeluruh serta membela umat Islam apabila mereka ditindas di mana-mana sahaja.
Selama lebih daripada seribu tahun, Khilafah pernah menjadi institusi yang menyatukan umat Islam di seluruh dunia, dan pada ketika itu umat Islam tidak berhadapan dengan penindasan seperti yang berlaku pada hari ini. Namun, Khilafah telah runtuh sejak lebih seratus tahun yang lalu sehingga umat Islam kembali terpisah-pisah di bawah sempadan negara bangsa. Penyatuan umat Islam tidak akan berlaku dengan sendiri tanpa adanya usaha untuk mengembalikan semula entiti yang menyatukan kaum Muslimin tersebut. Umat Islam perlu berusaha membangunkan kembali kesatuan umat berasaskan Islam serta berjuang menegakkan semula Khilafah sebagai institusi yang menyatukan umat Islam di bawah satu kepimpinan. Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, semakin ramai kaum Muslimin mula menyedari hakikat tersebut dan berusaha memperjuangkan agar Khilafah dapat ditegakkan kembali. Mudah-mudahan ibadah haji pada tahun ini menjadi ibadah haji terakhir sebelum tertegaknya kembali Khilafah yang akan menyelamatkan seluruh umat Islam di dunia ini. Insya-Allah.