Tugas parti politik Islam ialah muhasabah, bukan kerjasama dengan kerajaan atau parti sekular

Berapa banyak daripada parti Islam yang ada, yang sudah lari dari perjuangan dan lari dari kewajipan sebagai sebuah parti politik. Lebih buruk, mereka lari daripada mentaati Allah kepada kemaksiatan kepada Allah. Tugas atau fungsi parti politik ialah sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT,

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat (jemaah) yang menyeru kepada kebajikan (Islam), menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar” [TMQ Ali Imran (3):104].

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT memerintahkan kepada parti politik untuk melakukan dua tugas iaitu menyeru kepada kebajikan (Islam) dan melakukan amar ma’aruf nahi munkar.

Kerajaan sekular ialah kerajaan yang melaksanakan sistem buatan manusia, yang bertentangan dengan wahyu dan yang memisahkan wahyu daripada kehidupan. Kerajaan yang menerapkan demokrasi pada hakikatnya adalah sebuah kerajaan sekular kerana demokrasi merupakan sistem kufur yang datangnya dari Barat dan bertentangan sepenuhnya dengan Islam. Inilah realiti kerajaan sekarang, yang menerapkan sistem demokrasi, yang merupakan sebuah kemungkaran yang nyata.

Allah dan RasulNya memerintahkan agar setiap individu Muslim dan parti politik Islam agar merubah kemungkaran dan bukannya untuk bekerjasama dengan orang / kerajaan yang melakukan kemungkaran. Sabda baginda SAW,

“Barangsiapa yang melihat kemungkaran dari kalangan kamu, hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya, jika dia tidak mampu maka (cegahlah) dengan lidahnya (perkataan), jika dia tidak mampu (juga), maka (cegahlah) dengan hatinya (membenci), demikian itulah selemah-lemah iman” [HR Muslim].

Apakah kemungkaran yang lebih besar daripada sebuah kerajaan yang berhukum dengan selain dari apa yang Allah turunkan? Firman Allah SWT,

“…dan siapa sahaja yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah orang-orang kafir” [TMQ al-Maidah (5):44],

“…dan siapa sahaja yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah orang-orang zalim” [TMQ al-Maidah (5):45]

dan

“…dan siapa sahaja yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah orang-orang fasik” [TMQ al-Maidah (5):47].

Tugas parti politik Islam iaitu untuk memuhasabah setiap kemungkaran yang dilakukan oleh kerajaan. Sekiranya muhasabah ini tidak didengar, maka setiap parti politik wajib berusaha untuk meraih kekuasaan bagi menggantikan kerajaan sekular ini dengan sebuah pemerintahan Islam yang sekali gus bermaksud merubah negara ini kepada Negara Islam (Khilafah). Perlu diperhatikan bahawa jalan untuk merubah negara sekular kepada negara Islam hendaklah dengan jalan yang diajar oleh Rasulullah SAW dan bukannya dengan jalan yang diajar oleh demokrasi yang bertentangan dengan Islam.

Setiap Muslim dan setiap parti politik Islam wajib berusaha untuk memuhasabah pemerintah yang tidak menerapkan Islam dan bukan menjalin kerjasama dengan mereka. Kerja sama dengan kerajaan yang tidak menerapkan Islam bermaksud kerjasama dalam kemaksiatan kepada Allah SWT dan hal ini adalah dilarang (haram). Sama juga kerja sama (tahaluf) dengan parti-parti politik lain yang tidak ditubuhkan atas asas Islam, juga merupakan kemaksiatan kepada Allah SWT, kerana telah bekerja sama dalam kemungkaran.

Sebuah parti Islam tidak sepatutnya bermuka-muka, berubah-ubah pendirian atau mencari kepentingan dunia. Muhasabah wajib dilakukan ke atas pemerintah yang zalim, yang menerapkan hukum selain dari apa yang diturunkan oleh Allah SWT, sehingga ke tahap maksimum walaupun terpaksa berkorban harta dan nyawa kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW,

“Penghulu para syuhada adalah Hamzah bin Abdul Muthallib dan orang yang berhadapan dengan pemerintah yang zalim, lalu dia mengingatkan penguasa tersebut (kepada kemakrufan) dan melarangnya (dari kemungkaran), kemudian penguasa itu membunuhnya” [HR al-Hakim].

Justeru, sungguh malang sekiranya ada parti politik Islam, yang mengaku bahawa asas penubuhan dan perjuangannya adalah Islam, tetapi sanggup bekerja sama dengan kerajaan dan parti yang tidak mahu menerapkan Islam.