Munaqashah Tahaluf Siyasi: muhasabah untuk parti Islam

BANDAR BARU BANGI 18 November – Munaqashah (diskusi) bulanan oleh HizbutTahrir Malaysia (HTM) di Khilafah Centre kali ini membincangkan tentang tahalufsiyasi(kesepakatan politik) di antara parti-parti yang wujud hari ini, khususnya yang melibatkan parti Islam dan parti kufur/sekular.

Ust Umar Hussein selaku ahli panel pertama menyingkap sejarah gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia yang bertahaluf dengan parti sekular dan juga parti kufur. Umar yang juga merupakan AJK Pusat HTM menjelaskan realiti tahaluf yang dimasuki parti Islam dengan rakan-rakan mereka dari parti kufur/sekular yang selalu meletakkan Islam sebagai bahan kompromi dan gadaian. Kesemua tahaluf yang berlaku tidak pernah memenangkan Islam walaupun parti Islam yang bertahaluf mendakwa sebaliknya.

Umar juga menjelaskan kekeliruan parti Islam yang meletakkan maslahat (kepentingan) sebagai kayu ukur atau dalil untuk bertahaluf, sedangkan maslahat tidak boleh dijadikan dalil kerana dalil hanya wajib diambil dari Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ Sahabat dan Qiyas.

Presiden HTM, Ust Abdul Hakim Othman selaku ahli panel kedua menjelaskan dengan menyeluruh akan kesalahan dalil-dalil yang digunakan oleh parti Islam di dalam melakukan tahaluf. Beliau menjelaskan secara terperinci setiap nas yang digunakan oleh parti Islam untuk menjustifikasi tindakan mereka bertahaluf dengan parti kufur/sekular.

Hakim selanjutnya menerangkan banyak nas dari Al-Quran dan Al-Hadis yang melarang umat Islam dari mengambil orang-orang kafir sebagai wali (teman, pelindung, pemimpin dan sebagainya) dan keharaman umat Islam condong kepada orang-orang yang zalim serta haramnya memerintah dan berkongsi kuasa dengan orang-orang kafir/sekular yang tidak menerapkan hukum Allah. Kesemua keharaman ini dilakukan oleh parti Islam yang bertahaluf, jelas Abdul Hakim.

Munaqashah di akhiri dengan sesi soal jawab dan komen. Dari persoalan dan komen yang diajukan, ternyata para hadhirin mengakui kesalahan parti Islam yang bertahaluf dan memuji majlis penjelasan yang diadakan.