Kuasa politik kufur atau politik Islam yang perlu dipertahankan?

altUmat Islam perlu pertahan kuasa politik

JELI 15 Feb. – Umat Islam di negara ini perlu mempertahankan kuasa politik yang ada bagi memastikan syiar Islam dapat dikembangkan dan tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini terbukti dengan kuasa yang ada, kerajaan Barisan Nasional menyediakan pelbagai kemudahan untuk umat Islam di negara ini. Jelasnya, kewujudan Tabung Haji dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) umpamanya, adalah untuk membela nasib umat Islam di negara ini. Sehubungan itu, katanya, umat Islam perlu bersatu padu dan mempertahankan kuasa itu tanpa membiarkan mana-mana pihak memecah-belahkan perpaduan yang sedia wujud.

“Dengan kuasa yang ada, kerajaan mengadakan pelbagai kemudahan dan prasarana untuk umat Islam di negara ini dan kita boleh melihatnya sendiri. “Ada orang kata kerajaan yang ada ini kerajaan jahiliah tetapi kerajaan jahiliah inilah yang buat Tabung Haji untuk memudahkan umat Islam melakukan ibadah, kita bina Bank Islam dan masjid,” katanya. Beliau berkata demikian pada sambutan Maulidur Rasul 1432 Hijrah Jabatan dan Agensi Kerajaan dan Masyarakat Kelantan di Pusat Dakwah Jeli (Pondok Moden), di sini hari ini. Majlis tersebut bermula pukul 10 pagi serta berakhir pada 4 petang dan antara pengisiannya adalah pembentangan kertas kerja oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh. Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, Islam menganjurkan perpaduan dan bukannya melabelkan perkara buruk kepada pihak tertentu sehingga menghuru-harakan masyarakat. “Perkara seperti ini tidak harus berlaku. Ini tujuan sambutan hari ini, kita elakkan prasangka dan benci membenci, kita harus bina perpaduan di kalangan umat Islam. “Sebab itu, saya kata, ulama tidak maksum, tak boleh bongkak, harus terima kritikan dengan fikiran terbuka. Saya tak tuju pada sesiapa, saya tuju kepada ulama dalam Malaysia khususnya ulama politik Pas,” katanya. Beliau berkata, sekiranya UMNO memerintah Kelantan, usaha untuk memartabatkan Islam akan diteruskan dan ia sejajar dengan hasrat perjuangan parti itu.

Sumber : Utusan Malaysia 16/02/11   


Kuasa politik kufur atau politik Islam yang perlu dipertahankan?


Sekali lalu, apa yang diperkatakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed ini ada benarnya kerana beliau meminta umat Islam mempertahankan kuasa politik supaya Islam dapat terjaga dan terpelihara. Tetapi apa yang menjadi kekeliruan adalah apabila yang ingin dipertahankan itu adalah kuasa politik sekular yang merupakan politik kufur, bukannya kuasa politik Islam.

Lebih mengelirukan apabila Mustafa dengan rasa bangga menyatakan bahawa UMNO telah banyak memberikan kemudahan dan mengembangkan syiar Islam di negara ini, hanya kerana kerajaan berjaya menubuhkan Tabung Haji dan membina masjid! Alangkah mudahnya untuk UMNO membangga diri sebagai penjaga Islam dengan sedikit usaha yang dilakukan walhal UMNO-lah selama ini yang menerapkan segala macam sistem dan undang-undang kufur di Malaysia. Sistem pemerintahahan adalah demokrasi sama sebagaimana yang diterapkan di negara Barat, sistem ekonomi yang diterapkan adalah Kapitalis, sistem sosial pula dicedok dari Barat dengan segala macam kebebasannya, sistem uqubat (punishment) sudah sedia maklum diwarisi dengan bangganya dari British, sama macam sistem pendidikan yang dicedok dari negara kafir itu…pendek kata kesemua sistem yang ada adalah sistem kufur yang diwarisi dari penjajah, malangnya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu cuba mengatakan bahawa BN adalah parti yang menjaga Islam!? Bilalah agaknya ahli-ahli politik UMNO ini akan sedar dan berhenti dari membohongi rakyat serta bertaubat kepada Allah?

Tidakkah mereka belajar sejarah dan memahami bahawa selama 1400 tahun yang lalu, Islam berkembang dan diamalkan syiarnya di bawah satu sistem Islam yang di asaskan oleh baginda Rasulullah S.A.W dan diteruskan oleh para sahabat melalui sistem Khilafah? Islam bukan sekadar soal mendirikan banyak masjid, menubuhkan tabung haji atau bank Islam, malah jauh lebih dari itu. Islam adalah agama yang sempurna yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk mengatur hubungan manusia dengan Penciptanya, hubungan manusia dengan dirinya sendiri dan hubungan manusia dengan manusia lain. Dengan kata lain, Islam merangkumi semua aspek kehidupan yang menjadi way of life kepada setiap penganutnya. Firman Allah SWT: 

“Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang terang nyata” [TMQ al-Baqarah (2):208].

Sesungguhnya kerajaan sekular UMNO telah banyak membantutkan pengembangan syiar Islam dan UMNO-lah yang selama ini menjadi penghalang kepada tegaknya agama Allah di Malaysia. Wahai parti yang memerintah! Kembalilah kepada sistem Islam yang sebenar iaitu sistem Khilafah yang terbukti dapat mengembangkan syiar Islam ke seluruh dunia seterusnya menjunjung kalimah LA ILAHA ILLALLAH MUHAMMADUR RASULULLAH.