Masjid Perlu Bebas Dari Politik – Sekular YES! Tapi Bagi Politik Islam NO!

Masjid perlu bebas politik

GOMBAK 12 Sept. – Beberapa masjid di negeri Selangor yang semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dulu bebas daripada unsur-unsur politik perlu dipulihkan daripada terus dicemari dengan perjuangan politik parti tertentu.  Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar berkata, terdapat beberapa buah masjid di negeri ini semakin berani menyelitkan unsur-unsur politik dalam khutbah Jumaat yang menimbulkan rasa kurang senang jemaah.  Tambahnya, masjid dan surau tidak sepatutnya dijadikan tempat untuk memperjuangkan ideologi politik tanpa memikirkan perasaan jemaah yang ingin beribadat. 

“Hentikan kegiatan berpolitik di masjid-masjid dan surau-surau di negeri ini. Ia akan menimbulkan ketidakpuasan hati sesetengah jemaah.   “Kami selaku ahli UMNO akan menyiapkan memorandum untuk diserahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkenaan perkara ini,” ujarnya.   

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan Program Ihya Ramadan anjuran UMNO Bahagian Gombak di sini hari ini.   Hadir sama Ketua UMNO bahagian itu, Rahim Kamaruddin dan Naib Ketua, Aziz Jantan.   Seramai 200 penerima bantuan terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), fakir miskin, warga emas dan anak yatim menerima sumbangan wang tunai RM100 setiap seorang serta kuih raya.   UMNO bahagian itu turut memberi sumbangan wang tunai kepada surau-surau dan masjid-masjid di kawasan tersebut untuk tujuan kebajikan surau dan masjid berkenaan.

Sumber: Utusan Malaysia, 12/09/09

Masjid Perlu Bebas Dari Politik Sekular YES! Tapi Bagi Politik Islam NO!

“Islam tidak boleh dicampur dengan urusan politik”. “Jangan cakap politik didalam masjid”. “Jangan cemari masjid dengan politik” . “Masjid perlu bebas politik”.  Ini semua adalah cakap-cakap yang keluar dari pemikiran sekular yang melingkari kehidupan sebahagian umat Islam terutamanya para pemimpin politik sekular yang berkuasa saat ini. Malangnya apabila masjid digunakan untuk kegiatan mereka maka itu tidak salah, tetapi ini tidak bagi pihak lain. Para pemimpin Kapitalis ini sering melihat politik sebagai suatu unsur yang asing dari Islam dan perlu dijauhkan daripada perkara-perkara yang mulia di sisi Islam seperti masjid dan sebagainya. Inilah kesannya apabila umat Islam telah dikalahkan pemikirannya oleh pemikiran politik Kapitalisme iaitu suatu pemikiran yang memisahkan urusan agama dengan kehidupan sedangkan Islam mengajarkan bahawa politik ataupun siasah itu adalah merupakan perkara yang termasuk di dalam ajaran Islam. Islam tidak mengenal konsep pengasingan di antara urusan dunia dengan akhirat. Malahan dunia adalah merupakan jambatan untuk mendapatkan kebaikan di hari akhirat kelak.

Bukankah Rasul SAW menjadikan masjid sebagai pusat pentadbiran bagi Daulah Islam Madinah untuk mengatur kehidupan warganegara Madinah suatu masa dulu? Hari ini, hakikatnya berbeza. Perkara yang berkaitan dengan muhasabah dan peringatan ke atas para pemimpin yang kerap disuarakan di dalam masjid ditolak oleh para pemerintah sekular sebagai suatu yang tidak wajar. Para pemimpin sekular yang ada pada hari ini nampaknya tidak dapat menerima muhasabah dan teguran yang ditujukan kepada mereka walaupun ianya adalah suatu kebenaran.

Wahai para pemimpin sekular! Jika kamu tidak mahu diri kamu dimuhasabah ataupun diingatkan dengan kebenaran maka amat malanglah sebenarnya keadaan diri kamu itu. Wahai para pemimpin sekular! Lihatlah teguran dan muhasabah itu dengan pandangan yang positif, bukannya dengan pandangan yang negatif malahan yang paling buruk lagi ialah apabila kamu menutup pintu-pintu hidayah yang Allah SWT anugerahkan kepada kamu berupa mata, telinga dan akal untuk kamu memahami Islam agar kamu mendapatkan hidayah dengannya. Firman Allah SWT :

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam kebanyakkan dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai”. [TMQ Al-A’raaf (7) : 179]. 

Apakah salah jika kita membincangkan ayat-ayat sebegini di dalam masjid?

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya”. [TMQ An-Nisaa’ (4) : 65].

Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir”. [TMQ Al- Maaidah (5) : 44].

Dan banyak lagi ayat-ayat yang sepertinya. Bukankah kita diperintahkan untuk memberikan peringatan sesama umat Islam?

Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman”. [TMQ Adz-Dzaariyaat (51) :55]

Bukankah apabila tiba bulan Ramadhan, kebanyakan surau dan masjid penuh dengan jemaah dan inilah saat yang cukup baik untuk majlis-majlis tazkirah dilakukan semoga mesej Islam itu dapat disampaikan kepada umat Islam yang hadir. Oleh kerana itu sepatutnya tidak akan timbul isu bercakap politik di dalam masjid seperti yang digusari oleh pemimpin sekular di atas. Hanya mereka yang tidak mahu tunduk kepada kebenaran sahaja akan kepanasaan dan gelisah dengan keadaan yang sebegini. Yang pastinya masjid sememangnya perlu dibebaskan dari politik kufur sekular tetapi tidak untuk politik Islam.