Kata-kata ‘Membodek’ Dari Seorang Ahli Politik Sekular

najib-perkasaNajib ‘role model’ terbaik
KUALA LUMPUR 10 Dis. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah ‘role model’ terbaik untuk generasi muda kerana kejayaan beliau mengatasi sepenuhnya jurang antara generasi dalam tempoh kurang dua tahun selepas mengambil alih tampuk pemerintah negara. Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, Najib seorang pemimpin yang tidak takut menongkah arus apabila tampil berani melaksanakan transformasi bagi mendekatkan dirinya dengan generasi muda. “Penghayatan beliau terhadap aspirasi orang muda dengan mengaitkan masa depan negara adalah masa depan mereka, berjaya menarik sokongan generasi muda terhadap kepimpinannya. Najib tidak takut kepada darah muda ketika ramai pemimpin lain gerun kepada semangat itu. “Pendekatan yang dipelopori menerusi media sosial sehingga boleh mengajak generasi muda menonton bola sambil minum teh di rumahnya adalah satu sikap yang amat mempersonakan. Pendek kata Najib telah menjadi ‘role model’ kepada generasi muda,” katanya di sini hari ini.

Sumber : Utusan Malaysia 11/12/11

Kata-kata ‘Membodek’ Dari Seorang Ahli Politik Sekular

 “Najib adalah ‘role model’ terbaik untuk generasi muda”! Begitulah kata-kata Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), pertubuhan yang asas perjuangannya adalah assabiyyah. Bagi mereka yang memahami selok-belok politik sekular hari ini, kata-kata yang memualkan ini adalah tidak lain hanya bertujuan untuk ‘membodek’ Najib menjelang pilihanraya umum ke-13 yang nampaknya semakin hampir.

Sebagai seorang Muslim, marilah kita berfikir sejenak dengan pemikiran yang jernih dan mendalam. Apakah dengan hanya sekadar mengajak generasi muda menonton bola sambil minum teh di rumahnya dan melakukan ‘transformasi’ mendekatkan diri dengan generasi muda melalui pelbagai aktiviti yang rata-rata berbentuk maksiat, Najib sudah layak dinobatkan sebagai seorang “role model” bagi golongan muda hari ini? Selepas ini, siapa pula? Apakah mungkin Tan Sri Muhyidin Yassin, Dato’ Sabery Chik, Khairy Jamaluddin juga akan menyandang gelaran “role model” ini? Jauh panggang dari api sebenarnya jika itulah yang akan kita harapkan. Sungguh dangkal cara berfikir seorang ahli politik sekular seperti Ibrahim Ali ini. Bagaimana mungkin kita boleh mengiakan  gambaran bahawa Najib adalah “ role model” golongan muda sedangkan faktanya hari ini kita dapat melihat  bagaimana masalah sosial dan kes jenayah di kalangan remaja dan belia semasa beliau berkuasa sekarang ini masih tetap tidak menemui titik penghujungnya. Masalah golongan remaja hari ini semakin lama semakin parah. Anak-anak muda Malaysia kini terus disogok dan dikhayalkan dengan pelbagai bentuk hiburan, budaya kuning Barat, serta pemikiran-pemikiran kufur Barat seperti  kebebasan, hak asasi manusia dan pelbagai lagi bentuk rancangan yang merosakkan akhlak para remaja. Kesemua bentuk kerosakan ini ternyata terus berkembang dengan suburnya di zaman pemerintahan Najib. Dengan semua perkembangan negative ini, apakah kita  wajar memberikan gelaran “role model” kepada Najib untuk dicontohi oleh para belia?  Sebagai seorang muslim, kita hendaklah berfikir terlebih dahulu sebelum berkata-berkata. Ibrahim Ali hendaklah sedar bahawa kata-katanya akan dihisab di hadapan Allah SWT di hari akhirat kelak. Sebagai seorang muslim juga, kita wajib mengetahui siapa dan apakah kriteria “role model” untuk kita ikuti. Tidakkah cukup firman Allah SWT di bawah ini menjawab segala-galanya?

”Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” [TMQ al-Ahzab (33) :21].

“Tidaklah kami mengutus kamu (Muhammad) selain sebagai rahmat bagi semesta alam” [TMQ Al Anbiyaa’(21):107]

“Dialah yang mengutus Rasul-Nya(Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama, meskipun orang-orang musyrik membencinya.”
[TMQ Ash Shaff (21):9]

“Dialah yang mengutus Rasul-Nya(dengan membawa) petunjuk (Al Quran) dan agama yang benar agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya”. [TMQ At Taubah(9):33]

Allah SWT sebagai Rabb yang Maha Mengetahui telah menegaskan kepada kita siapakah  “role model” yang sejati untuk kita ikuti. Tiada yang lebih mulia dan lebih layak kecuali junjungan besar kita Muhammad SAW. Begitu tersasar sekali gambaran Ibrahim Ali!!