Kemelut politik Malaysia: FB sekat laman sesawang HTM

Di saat kekecohan politik yang sedang melanda Malaysia sekarang, pihak Facebook (FB) secara tiba-tiba telah bertindak menyekat laman sesawang Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) daripada di akses di semua akaun FB. Kami mengesan sekatan mula dilakukan oleh pihak FB sejak semalam.

Posting terakhir kami di laman sesawang kami ialah pada 20hb lepas iaitu artikel Sautun Nahdhah yang bertajuk “Pembohongan Terbesar Demokrasi di Malaysia” yang menyentuh mengenai isu peralihan kuasa antara Mahathir-Anwar.

Kami mula mengesan sekatan dilakukan oleh pihak FB apabila ramai netizen mengajukan komen bahawa link kepada artikel tersebut tidak boleh diakses, dengan kata lain telah disekat, di FB masing-masing. Setelah diperiksa, ternyata pihak FB telah menyekat bukan sahaja link artikel berkenaan, tetapi keseluruhan link dari laman sesawang HTM.

Sekatan ini menunjukkan ada pihak-pihak tertentu yang sudah kebuntuan idea untuk melawan kebenaran yang dibawa oleh Hizbut Tahrir, sehingga mereka menyangka dengan melakukan sekatan sedemikian, kebenaran akan dapat disekat. Sungguh mereka telah melakukan kesilapan apabila beranggapan sedemikian!

Walaupun ini adalah kali pertama pihak FB menyekat laman sesawang HTM, namun ia sudah banyak kali dilakukan oleh pihak FB terhadap FB Hizbut Tahrir di seluruh dunia.

Untuk makluman, sebelum ini pihak SKMM sendiri telah menyekat laman sesawang HTM sebanyak dua kali, sehingga kami terpaksa bertukar kepada domain yang lain. Walaupun link kami telah disekat di FB, para pembaca bagaimana pun masih dapat mengakses laman sesawang kami seperti biasa setakat ini.

Apa pun perancangan mereka, Allah (swt) juga melakukan perancangan, dan Dia (swt) adalah sebaik-baik Perancang dan sebaik-baik Pembalas segala perancangan mereka.