Tolak Politik Sekular, Kembali Kepada Politik Islam yang Hakiki!

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyeru kepada kewujudan kerajaan perpaduan bagi mengeluarkan negara ini daripada kemelut politik yang berpanjangan. Menurutnya lagi, rakyat bosan dengan politik kepartian yang memecahbelahkan negara serta memburukkan lagi masalah ekoran pandemik COVID-19 [The Malaysian Insight].

Semua orang sudah nampak dan mengakui bahawa Malaysia sekarang berada dalam keadaan politik yang paling tidak stabil. Namun apa yang mereka tidak nampak, termasuk Mahathir, ialah apakah penyebab kepada hal tersebut. Malah lebih buruk, ramai ahli politik yang tidak nampak dan tidak mahu mengakui bahawa merekalah sebenarnya yang menjadi punca kepada masalah ketidakstabilan yang berlaku.

Menurut Islam, politik bermaksud ri’ayah asy-syu’un al-ummah (mengurus urusan umat) dan ia merupakan tanggungjawab yang mulia dan berat. Pemerintah seharusnya berperanan menjaga dan mengurus urusan umat, dengan hukum-hakam Islam, baik di dalam mahupun luar negara.

Tetapi hari ini isu-isu politik semakin memualkan ramai pihak, malah perkataan politik itu sendiri sudah cukup memualkan. Ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana para politikus hari ini telah begitu lama bergelumang dengan politik sekular demokrasi dan mengamalkan prinsip-prinsip politik Barat seperti “matlamat menghalalkan cara”, “tidak ada kawan dan lawan yang abadi tetapi yang ada hanyalah manfaat yang bersifat abadi” dan sebagainya.

Senario politik di Malaysia cukup menggambarkan betapa rosaknya pemikiran dan percaturan para politikus yang terlibat, kerana masing-masing jelas mementingkan diri sendiri atau parti masing-masing sahaja. Perebutan kuasa yang begitu ketara menunjukkan betapa elit-elit politik hanya mengejar manfaat dan jawatan semata-mata, dengan sanggup mengetepikan dan mempertaruhkan kesejahteraan dan keselamatan rakyat yang (kononnya) mereka wakili.

Justeru, kebosanan dan kemualan rakyat kepada para politikus dan politik kepartian, kepada ‘politik’ itu sendiri adalah cukup berasas. Apa yang Mahathir tidak sedar ialah kenyataan beliau yang sebenarnya terkena kepada batang hidungnya sendiri yang merupakan pemain politik paling senior dan paling berpengalaman dalam kancah politik caca-marba di Malaysia pada hari ini.

Inilah realiti politik dalam sistem demokrasi, dan kerosakan ini sudah tidak dapat diperbaiki selagi padang permainannya (demokrasi) yang rosak teruk ini tidak ditukar. Politik yang berasaskan sistem dan amalan sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan) ini memang berlawanan seratus peratus dengan Islam, dan wajib ditolak.

Apa yang sepatutnya dan sewajibnya dilakukan oleh pemerintah ialah menerapkan hukum Allah secara kaffah, manakala parti-parti politik yang ada berfungsi untuk melakukan amar makruf nahi mungkar bagi memastikan hukum Allah terus diterapkan, dan rakyat dijaga serta tidak dizalimi. Inilah politik Islam yang amat jauh berbeza dan bertentangan dengan politik demokrasi.

Umar Hussein

Pimpinan Pusat HTM