Fatwa Negeri Sembilan Haram Hizbut Tahrir: Sebaiknya MB Tabayyun Dulu!

Pada Rabu lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan telah mengumumkan terdapat enam ajaran yang difatwakan haram di negeri tersebut, susulan fatwa yang dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Dalam kenyataan yang dipetik agensi berita Bernama itu, Aminuddin turut menyenaraikan Hizbut Tahrir sebagai salah satu daripadanya.

Setakat carian yang dijalankan, rekod fatwa mengenai Hizbut Tahrir di Negeri Sembilan telah dikeluarkan semenjak 2015, namun setakat ini masih dalam proses pewartaan, dan belum dijumpai maklumat bahawa ia telah diwartakan. Wallahu a’lam.

Menurut carian juga, isi kandungan fatwa tersebut sama sahaja seperti mana fatwa Selangor yang telah memfitnah Hizbut Tahrir dengan pelbagai perkara yang tidak betul. Jabatan Mufti Negeri Sembilan seharusnya membaca jawapan Hizbut Tahrir terhadap fatwa Selangor, serta mengambil iktibar daripada kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor, agar fitnah yang sama tidak berulang, yang tidak akan mendatangkan apa-apa manfaat kepada si pemfitnah, kecuali dosa. [Jawapan kami kepada Selangor boleh diakses di pautan berikut – https://mykhilafah.com/bantahan-fatwa/]

Beberapa tahun lepas, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah pun bertemu dan memberikan penjelasan kepada pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan mengenai isu ini, namun tiada sebarang respons sesudah pertemuan tersebut sehinggalah keluarnya kenyataan Menteri Besar negeri itu semalam.

Demi kebaikan Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan sendiri, maka kami nasihatkan di sini, tarik baliklah fatwa tersebut serta-merta. Ia bukan hanya mencalar kredibiliti sebuah institusi yang seharusnya dihormati oleh umat Islam, malah dosa yang tidak berkesudahan akan terus ditanggung oleh si pemfitnah selagi fitnah tersebut terus bertebaran di muka bumi sampailah ke hari kiamat.

Kami juga ingin katakan dengan tegas dan tanpa berlapik atau berkias, bahawa semua fatwa yang dikeluarkan ke atas Hizbut Tahir oleh pihak berkuasa agama negeri setakat ini, semuanya tidak lebih daripada sebuah fatwa politik yang cuba menjatuhkan kredibiliti HIzbut Tahrir di mata umat, tetapi dengan izin Allah (swt), kredibiliti pihak yang memfitnahlah yang akan jatuh.

Kami juga ingin katakan dengan jelas di sini bahawa usaha untuk menjauhkan umat daripada Hizbut Tahrir merupakan usaha kuffar Barat yang sudah cukup takut dengan dakwah yang dilakukan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia, yang semakin lama semakin disambut oleh umat…dakwah yang akan mempersatukan semula umat ini di bawah naungan Khilafah yang akan memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.

Jadi, sebagai Muslim, kami menasihatkan dan menyeru Menteri Besar Negeri Sembilan agar bertabayyun terlebih dahulu akan kebenaran fatwa yang dikeluarkan. Kami sentiasa terbuka dan bersedia untuk bertemu dan menjelaskan kepada sesiapa sahaja mengenai Hizbut Tahrir. Bukalah hati dan minda anda, ayuh kita duduk semeja dalam rangka mencari kebenaran, dan anda tidak perlu takut sekiranya anda yakin anda di pihak yang benar. Bukalah medan perbincangan tatkala banyak pihak telah menutup pintu kerana ketakutan mereka kepada kebenaran.