Fatwa Kedudukan Hizbut Tahrir : HTM serah Bantahan/Jawapan Rasmi ke Jabatan Mufti

photo_2016-06-29_05-01-12SHAH ALAM 28 Jun – Setelah usaha untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan ditolak oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) hari ini menyerahkan Bantahan/Jawapan Bertulis secara rasmi kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, bagi menjawab fatwa yang dikeluarkan ke atas Hizbut Tahrir yang dipenuhi dengan segala macam fitnah, pemesongan dan kekeliruan.

Jawapan Bertulis setebal 20 mukasurat itu diserahkan oleh Ustaz Abdul Hakim Othman di tingkat bawah Bangunan Sultan Idris Shah, setelah delegasi HTM tidak dibenarkan naik ke atas untuk menyerahkannya secara langsung ke pejabat Mufti.  En. Rizal Ramli yang menerima Jawapan Bertulis tersebut mengesahkan bahawa beliau telah diberi arahan untuk menerimanya bagi pihak Mufti di bahagian bawah bangunan dan tidak membenarkan delegasi HTM naik ke pejabat Mufti.photo_2016-06-29_05-01-16

Ustaz Hakim yang juga Jurucakap HTM menjelaskan bahawa Jawapan Bertulis tersebut diserahkan setelah HTM tidak diberi keadilan sewajarnya dalam pertemuan sebelum ini dan setelah usaha untuk mengadakan pertemuan susulan dengan Jabatan Mufti dalam rangka menyelesaikan perkara tersebut dengan baik dan ukhuwah, ditolak oleh Jabatan Mufti.

“Kami meminta agar Mufti dan Jawatankuasa Fatwa membaca jawapan kami dengan hati yang ikhlas, penuh keinsafan dan ketundukan kepada Allah SWT dan mengharap redhaNya semata-mata, serta menjauhi segala rasa kebencian dan permusuhan terhadap sesama Muslim, apatah lagi di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini,” jelas Jurucakap HTM itu semasa menyerahkan Bantahan Bertulis tersebut.

photo_2016-06-29_05-01-17Abdul Hakim seterusnya menegaskan dan mengulangi tuntutan agar Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor menarik balik fatwa tersebut yang dipenuhi dengan fitnah, pemesongan dan kekeliruan terhadap HizbutTahrir dan seterusnya memohon maaf secara terbuka kepada Hizbut Tahrir dan menyiarkan permohonan maaf tersebut di media cetak utama mahupun media elektronik.

Proses penyerahan Jawapan Bertulis itu disambut dengan baik oleh wakil Mufti, dengan diperhatikan oleh beberapa pegawai penguatkuasa JAIS. Turut hadir ialah sejumlah anggota Cawangan Khas daripada PDRM yang turut mengambil kesempatan bertanya kepada Jurucakap HTM berhubung isu-isu yang terkait dengan fatwa berkenaan.

Sebelum beredar, HTM sempat menghulurkan sekeping kad Selamat Hari Raya kepada En. Rizal untuk diserah ke Jabatan Mufti.

Sila Klik di SINI untuk membaca Surat Bantahan HTM ke atas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor