Semakan Kehakiman fatwa: “Kenapa mohon bantahan awal jika yakin anda benar?” – Abdul Hakim

SHAH ALAM 21 Disember – Mahkamah Tinggi Syariah hari ini membenarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memfailkan bantahan awal terhadap permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Abdul Hakim Othman, yang mewakili Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) dalam sebutan pertama kes ini pagi tadi.

MAIS yang diwakili oleh peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dari Tetuan Zainul Rijal Talha dan Amir, memohon mahkamah menolak permohonan ini atas alasan pra matang dan pemohon (Abdul Hakim Othman) tidak mempunyai locus standi (hak dari segi undang-undang) untuk memfailkan kes ini. Peguam MAIS itu juga memohon agar Jawatankuasa Fatwa Selangor selaku Responden Kedua, dikeluarkan dari senarai responden, atas alasan jawatankuasa tersebut tidak ada legal entity untuk disaman.

Selain itu, Zainul Rijal turut menyatakan bahawa Mahkamah Syariah tidak ada bidangkuasa untuk mendengar permohonan Semakan Kehakiman ini kerana kuasa yang diberi kepada mahkamah wujud setelah fatwa dikeluarkan. Fatwa telah dikeluarkan lebih awal, yakni sebelum mahkamah ada hak untuk mendengar permohonan ini, hujah Zainul Rijal yang juga merupakan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Abdul Hakim, yang tidak diwakili oleh mana-mana peguam, bangun untuk membantah tetapi diminta oleh mahkamah supaya menjawab secara bertulis melalui afidavit, setelah MAIS juga diminta untuk mengemukakan afidavit terhadap permohonan bantahan awal mereka oleh mahkamah.

Mufti Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), yang merupakan Responden pertama dan keempat dalam kes ini, diwakili oleh peguam Wan Aiza Wan Abdullah, tetapi peguamnya menjelaskan bahawa beliau belum menerima wakalah dari anak guamnya itu dan JAIS belum menerima permohonan dan afidavit sokongan yang sepatutnya diserahkan oleh mahkamah bagi pihak pemohon.

Dalam jawapannya kepada wartawan di luar dewan mahkamah, Ustaz Hakim yang juga Jurucakap HTM melahirkan rasa kesal atas bantahan awal yang dipohon. Mereka (responden) sepatutnya memfokuskan kepada permohonan Semakan Kehakiman ini dan mengemukakan afidavit jawapan, bukannya mencari alasan atau hujah teknikal untuk melakukan bantahan awal.

“Jika mereka merasa berada di pihak yang benar, silakan berhujah, jawab sahaja afidavit saya, bukannya menggunakan peruntukan undang-undang yang ada untuk melakukan bantahan dalam usaha memastikan kes ini tidak didengar. Ini suatu yang tidak gentleman”, jelas Abdul Hakim.

“Kita sepatut fokus kepada fatwa, bukan kepada persoalan teknikal undang-undang. Biar mahkamah dengar hujah tentang fatwa, tidak perlu lengahkan masa mahkamah dengan membangkitkan perkara yang tidak perlu” tegas Jurucakap HTM itu lagi.

Abdul Hakim menegaskan yang HTM bagaimanapun akan menjawab bantahan awal itu nanti apabila permohonan bertulis dan afidavit mengenainya dikemukakan oleh MAIS.

Hakim Tuan Mohamad Zakian Dio menetapkan tarikh 25 Januari 2017 untuk sebutan yang akan datang.