Fatwa sarat fitnah dan kekeliruan: HTM failkan Semakan Kehakiman

mahkamah4SHAH ALAM 29 Nov – Setelah melihat langsung tidak ada tanda-tanda yang Jawatankuasa Fatwa Selangor akan menarik balik fatwa ke atasnya, sebaliknya semakin agresif menyebarkan fitnah di muka bumi,  Hizbut Tahrir Malaysia hari ini telah memfailkan permohonan Semakan Kehakiman (Judicial Review) di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, menuntut agar mahkamah menyemak dan memerintahkan fatwa tersebut ditarik balik.

Abdul Hakim Othman, yang mewakili HTM dalam tindakan ini, menamakan empat orang iaitu Mohd Tamyes Abd Wahid (Mufti Selangor), Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai Responden.

Abdul Hakim, yang juga Jurucakap HTM tiba di perkarangan mahkamah sekitar jam 10.30 pagi, diiringi oleh beberapa orang pimpinan dan anggota HTM yang lain.

Bercakap kepada wartawan di kawasan lobi mahkamah, Jurucakap HTM itu menjelaskan yang Semakan Kehakiman itu difailkan setelah pihak berkuasa agama Selangor menutup pintu kepada sebarang perbincangan mahupun perdebatan dengan HTM dan tidak mahu menarik balik fatwa yang sarat dengan fitnah, pembohongan, pemesongan dan kekeliruan terhadap Hizbut Tahrir.

“Kita yakin kita berada di pihak yang benar dan kita mengharapkan mahkamah akan memberi ruang secukupnya dan seadilnya kepada kedua-dua belah pihak untuk berhujah, setelah pihak berkuasa agama tidak memberi ruang tersebut kepada kita”, jelas Abdul Hakim.

Kes Semakan Kehakiman ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia yang difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah, yang bakal menjadi duluan kehakiman (precedent) kepada kes-kes selepas ini. Tidak pernah ada mana-mana pihak yang “mencabar” keputusan fatwa ke mahkamah syariah mana-mana negeri sebelum ini.

Mahkamah menetapkan 21 Disember depan sebagai tarikh sebutan.

Pada 17 September 2015, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah mengeluarkan fatwa bahawa ajaran Hizbut Tahrir menyeleweng dari fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, suatu fatwa yang disifatkan oleh Hizbut Tahrir sebagai fatwa politik dan berniat jahat terhadap Hizbut Tahrir.