SN695 – Mengembalikan Kuasa Global Umat Islam

Bil: SN695 (PDF/Print) – 10 Zulkaedah 1447 / 27 April 2026
Konflik antara Amerika Syarikat dan Iran terus membara tanpa tanda penghujung yang jelas. Rundingan demi rundingan telah diadakan, cadangan genjatan senjata diketengahkan, namun realiti di lapangan tetap sama—ketegangan tidak pernah benar-benar reda. Dalam keadaan ini, persoalan yang sering berlegar ialah siapakah yang sedang menang, dan siapakah yang sedang kalah? Hakikatnya, jawapannya tidak semudah yang disangka. Dalam konflik ini, tiada kemenangan mutlak. Sebaliknya, dunia sedang dicatur oleh kuasa-kuasa besar yang bersaing untuk mempertahankan kepentingan masing-masing.
Menurut International Energy Agency, dunia kini berada di ambang krisis tenaga yang berpotensi menjadi lebih parah sekiranya konflik ini berlanjutan. Lonjakan harga minyak bukan sekadar angka di pasaran global—ia adalah realiti yang dirasai secara langsung oleh rakyat biasa. Harga makanan meningkat, kos pengangkutan melonjak, dan tekanan inflasi semakin menghimpit, khususnya golongan berpendapatan rendah di seluruh dunia.
Ketika pentas global terus diselubungi konflik antara Amerika Syarikat dan Iran, realiti di peringkat domestik pula memperlihatkan cabaran yang tidak kurang getir. Dalam keadaan rakyat bawahan terpaksa mengikat perut dan merancang perbelanjaan dengan penuh berhati-hati, wacana awam sering dipenuhi retorik yang lantang, namun masih jauh daripada penyelesaian yang benar-benar menyentuh keperluan rakyat.
Di pihak pembangkang, situasi ini dilihat sebagai peluang strategik untuk menghakis kredibiliti parti-parti komponen dalam kerajaan, apatah lagi dengan Pilihan Raya Umum yang semakin hampir. Tekanan politik semakin meningkat, seiring dengan usaha meraih sokongan dan kepercayaan rakyat. Sementara itu, kerajaan pula berada dalam kedudukan yang serba mencabar. Di satu pihak, mereka perlu memastikan kelangsungan pentadbiran negara serta merangka langkah untuk menampung peningkatan kos akibat krisis global. Di pihak yang lain, mereka berdepan tuntutan untuk mengekalkan keyakinan rakyat, walaupun terpaksa mempertimbangkan langkah tidak popular seperti rasionalisasi atau penghapusan subsidi bahan api. Dilema ini menjadikan ruang gerak kerajaan semakin sempit, antara keperluan fiskal dan kebajikan rakyat. Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan—baik di dalam negara mahupun melalui kerjasama antarabangsa—kesannya masih belum benar-benar dirasai oleh rakyat. Hakikatnya, krisis bekalan tenaga yang dihadapi kini bukan berpunca daripada faktor domestik semata-mata, tetapi sangat dipengaruhi oleh dinamika konflik luar negara.
Oleh itu, pendekatan penyelesaian tidak boleh terbatas kepada kerangka dalaman sahaja. Sebaliknya, ia memerlukan perspektif yang lebih menyeluruh dengan mengambil kira realiti geopolitik global. Dalam konteks ini, dunia Islam sebenarnya memiliki potensi yang besar—daripada kekayaan sumber alam hingga kedudukan strategik di laluan perdagangan antarabangsa. Jika potensi ini dapat digembleng secara kolektif dan bersepadu, ia bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan kepada kuasa luar, malah berupaya menjadi asas kepada kestabilan ekonomi yang lebih mampan di peringkat global.
Sumber alam yang dimaksudkan adalah merujuk kepada minyak dan gas. Negara-negara umat Islam memainkan peranan besar dalam industri minyak dan gas global, khususnya di rantau Timur Tengah. Berdasarkan data industri tenaga, negara Arab sahaja memegang kira-kira 43% dari jumlah rizab minyak dunia, manakala keseluruhan negara majoriti Muslim dianggarkan menguasai sehingga 55–75% rizab minyak global . Ini menunjukkan dominasi jelas dalam sumber tenaga strategik dunia. Dari segi pengeluaran, negara-negara ini juga sangat berpengaruh. Negara-negara Arab menghasilkan sekitar 26 juta tong minyak sehari, iaitu hampir satu pertiga daripada bekalan dunia . Secara lebih luas, dunia Islam dianggarkan menyumbang kira-kira 40% pengeluaran minyak global dan sekitar 25% pengeluaran gas asli dunia . Antara pengeluar utama termasuk Arab Saudi, Iraq, Emiriah Arab Bersatu dan Iran, yang masing-masing menghasilkan jutaan tong minyak sehari . Selain itu, rantau Timur Tengah sahaja menyimpan lebih 50% rizab minyak dunia , menjadikannya pusat utama keselamatan tenaga global. Dalam sektor gas pula, negara-negara Arab memiliki lebih 25% rizab gas dunia. [Bassam Fattouh “Energy and Arab Economic Development”, Arab Human Development Report Paper Series, 2012]
Dari segi geopolitik, potensi yang dimiliki oleh umat Islam adalah amat besar. Ini melibatkan apa yang dikenali sebagai ‘choke points’ atau yang bermaksud laluan sempit yang mempunyai kepentingan strategik tinggi dan laluan perdagangan. Menurut laporan Financial Times, kawalan terhadap laluan perdagangan global merupakan salah satu faktor utama dalam menentukan kuasa ekonomi sesebuah negara atau blok (Financial Times, 2021). Oleh itu, penguasaan ‘choke points’ boleh menjadi alat strategik untuk meningkatkan kedudukan ekonomi dan politik. Di antara ‘choke points’ yang paling penting ialah Terusan Suez di Mesir, Selat Bosphorus dan Dardanelles di Turkiye, Selat Melaka, serta Selat Hormuz.
Terusan Suez ( Nadi Perdagangan Timur-Barat) : Terusan Suez merupakan salah satu laluan paling kritikal dalam perdagangan global. Terusan ini menghubungkan Laut Mediterranean dengan Laut Merah, memendekkan perjalanan antara Eropah dan Asia secara signifikan. Dianggarkan sekitar 12–13% perdagangan dunia melalui terusan ini setiap tahun, dengan nilai mencecah USD 1 trilion. Secara harian, nilai dagangan yang melaluinya berada dalam lingkungan USD 3 hingga 9 bilion. Angka ini menunjukkan betapa sebarang gangguan kecil di Terusan Suez mampu memberi kesan domino terhadap rantaian bekalan global—seperti yang pernah berlaku dalam insiden kapal Ever Given.
Selat Bosphorus & Dardanelles (Pintu Tenaga Eurasia) : Selat Bosphorus dan Dardanelles pula membentuk laluan utama dari Laut Hitam ke Laut Mediterranean. Semua kapal yang keluar masuk dari rantau Laut Hitam—termasuk Rusia dan negara-negara sekitarnya—mesti melalui dua selat ini. Pada tahun 2025, sekitar 84,640 kapal melalui laluan ini dengan jumlah muatan 1.58 bilion tan kasar. Selat ini amat penting sebagai laluan eksport minyak mentah, gas, bijirin, dan barangan industri. Dianggarkan sekitar 3.7 juta tong minyak sehari melalui kawasan ini—bersamaan kira-kira 5% bekalan minyak dunia, dengan nilai sekitar USD 259 juta sehari. Selain tenaga, laluan ini juga kritikal kepada keselamatan makanan global, terutamanya eksport bijirin dari rantau Laut Hitam. Secara keseluruhan, sekitar 2–3% bekalan minyak dunia melalui selat ini, dengan nilai antara USD 170 hingga 270 juta sehari.
Selat Melaka ( Laluan Perdagangan Tersibuk Dunia) : Selat Melaka merupakan salah satu laluan maritim paling sibuk di dunia, menghubungkan Lautan Hindi dan Laut China Selatan. Sekitar 25% perdagangan dunia melalui selat ini dengan nilai dagangan tahunan dianggarkan antara USD 6 hingga 7 trilion. Setiap tahun, kira-kira 94,000 kapal melaluinya. Dari sudut tenaga, nilai minyak yang melalui Selat Melaka dianggarkan sekitar USD 350 hingga 400 bilion, manakala kira-kira 20% bekalan gas asli cecair (LNG) global bergantung kepada laluan ini. Kepentingannya bukan sahaja kepada Asia Tenggara, tetapi juga kepada ekonomi besar seperti China, Jepun, dan Korea Selatan yang sangat bergantung kepada import tenaga melalui laluan ini.
Selat Hormuz ( Titik Tekanan Tenaga Dunia) ; Selat Hormuz sering dianggap sebagai choke point paling sensitif di dunia dari segi tenaga. Melalui selat sempit ini, sekitar 21 juta tong minyak sehari diangkut—bersamaan kira-kira 21% penggunaan minyak global harian.
Laluan Sutera Moden (BRI) ; BRI merupakan salah satu rangkaian ekonomi terbesar di dunia, melibatkan lebih daripada 150 negara merentasi Asia, Timur Tengah, Afrika dan Eropah. Apa yang menarik, sebahagian besar laluan BRI merentasi dunia Islam—daripada Asia Tenggara ke Asia Tengah dan Timur Tengah. Di Asia Tenggara, negara seperti Malaysia dan Indonesia menjadi pintu masuk maritim utama. Di Asia Selatan, Pakistan dan Bangladesh memainkan peranan penting sebagai hab industri dan logistik. Di Asia Tengah pula, negara seperti Kazakhstan, Uzbekistan dan Turkmenistan menjadi jambatan darat yang menghubungkan China ke Eropah. Manakala di Timur Tengah, kuasa tenaga seperti Arab Saudi, United Arab Emirates, Iran dan Turkey menguasai sumber asli serta laluan strategik Secara keseluruhan, rangkaian ini dianggarkan menyumbang sekitar 40% perdagangan global. Dari sudut nilai, perdagangan antara China dan negara-negara BRI mencatatkan jumlah kumulatif sekitar USD 19–20 trilion bagi tempoh 2013 hingga 2023. Ini menjadikan BRI sebagai enjin pertumbuhan ekonomi global yang sangat signifikan. Dengan anggaran USD 2–3 trilion perdagangan setahun dalam rangka BRI, negara-negara Islam sebenarnya berada di tengah-tengah aliran ekonomi bernilai trilion dolar ini.
Fakta-fakta ini menunjukkan betapa besarnya potensi yang ada pada tanah-tanah kaum Muslimin. Walaupun begitu, segala potensi kekayaan tersebut masih belum dapat diagih-agihkan kepada umat dan rakyat bawahan kerana keadaan umat Islam yang masih hidup berpecah mengikut negara kebangsaan masing-masing. Ianya berpunca daripada pemikiran assabiyyah yang masih kental bersarang di dalam benak para pemimpin mereka sehinggakan usaha untuk mempersatukan umat Islam di bawah satu kepimpinan dianggap sebagai sukar dan tidak masuk akal. Padahal, ianya pasti akan berlaku sebagaimana yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis:
“Di tengah-tengah kalian terdapat zaman kenabian, atas izin Allah ia tetap ada. Lalu Dia akan mengangkatnya jika Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada Khilafah yang mengikuti manhaj kenabian. Ia ada dan atas izin Allah ia akan tetap ada. Lalu Dia akan mengangkatnya jika Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada kekuasaan (kerajaan) yang zalim; ia juga ada dan atas izin Allah ia akan tetap ada. Lalu Dia akan mengangkatnya jika Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada kekuasaan (kerajaan) diktator yang menyengsarakan; ia juga ada dan atas izin Alah akan tetap ada. Selanjutnya akan ada kembali Khilafah yang mengikuti manhaj kenabian.” Beliau kemudian diam. [HR Ahmad].
Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad, s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain; dan cukuplah Allah menjadi Saksi (tentang kebenaran apa yang dibawa oleh RasulNya itu [TMQ Al Fath (48) : 28]
Kesimpulan
Konflik antara Amerika Syarikat dan Iran terhasil daripada sejarah panjang campur tangan politik, perbezaan ideologi, dan perebutan kepentingan strategik. Selat Hormuz sebagai ‘choke point’ sebenarnya menjadi bukti bagaimana penutupannya mampu menggugat dan mencabar negara-negara kuasa besar dunia dan berpihak kepada umat Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh Iran. Bayangkan jika seluruh umat Islam bersatu dan membentuk satu kepimpinan di bawah Sistem Khilafah. Ia akan menjadi suatu kuasa dunia yang kuat dan hebat.